malaysiakini logo
story-image
ADS

Jika kami beritahu kamu bahawa dunia seni catan Malaya sedang bising dan bisingnya sama saja dengan kontroversi Anugerah Juala Lagu baru-baru ini, tentu kamu tidak akan percaya.

Hal ini kerana, khalayak seni catan Malaya dan juga khalayak dunia muzik popular kita adalah dua dunia yang jarang bertembung. Masing-masing membawa hal sendiri-sendiri.

Kerana itu apabila berlaku kontroversi dalam dua dunia ini, tindakan yang terhasil daripadanya adalah jauh berbeza.

Para penyanyi yang teruk dihentam khalayak biasanya akan segera mengepit ekor untuk memohon maaf.

Menurut pandangan Syed Omar Syed Husin, iaitu seorang pemerhati budaya yang juga tukang urut tenaga dalam lelaki terkenal, ia berpunca daripada sifat penyanyi hanyalah penyampai kepada lagu ciptaan orang lain.

Kadang-kadang mereka tidak memahami atau memamah apa yang sedang mereka sampaikan pun.

Mereka juga hanya sekadar melakonkan apa saja yang diarahkan oleh kurator persembahan dan terhasillah aksi tanpa apa yang dikenali sebagai 'jiwa'.

Kerana itu mereka akan segera gelabah apabila kena kritik.

Terlepas peluang besar

Berlainan pula dengan apa yang berlaku kepada penggiat seni catan. Apabila karya mereka diarah supaya diturunkan dari sesuatu pameran, artis tersebut segera mempersoalkan tindakan berkenaan.

Mereka akan segera meminta penjelasan daripada pihak yang mengarahkan tindakan tersebut diambil. Hal itu kerana langkah berkenaan - yakni menurunkan sesuatu karya - dilihat sebagai memperlekehkan hasil kerja seniman.

Dengan sokongan daripada rakan-rakan sebidang, kelantangan mereka dalam bersuara akan bertambah kuat.

Sokongan begitu tidak berlaku kepada para penyanyi yang dikecam tempoh hari.

Ketika kolum ini ditulis, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, telah campur tangan dan mengarahkan supaya pameran At The End Of The Day Even Art Is Not Important diteruskan seperti asal. Yakni tanpa sebarang tapisan.

Kami menggalakkan orang ramai supaya memgambil peluang untuk berkunjung ke pameran tersebut dengan segera bagi menghayati sendiri maknanya.

Pameran itu sedang berlangsung di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur sehingga akhir bulan ini.

Dari sisi lain pula, ada sebahagian kalangan penduduk dunia seni catan berpendapat, cara pelukis yang karyanya ‘digam’ itu mempertahankan karyanya bukanlah cara yang selayaknya untuk seorang artis.

Mengadu akan nasib malang bukanlah suatu sifat seorang seniman.

Mereka berpendapat, karyawan berkenaan telah terlepas peluang untuk menjawab kekalutan yang dialamai itu dengan sesuatu yang lebih berseni.

Hal itu ialah dengan menghasilkan satu lagi karya bagi melepaskan rasa tidak puas hati atas apa yang berlaku. Ia adalah antara tindakan yang dilihat sebagai suatu gerak reaksi sebenar untuk seorang seniman tulen.

Seniman yang berjiwa besar akan sentiasa menjadikan karya mereka sebagai senjata untuk menentang apa saja ketidakadilan.

Terjun dalam dunia sentimen dan berasa menang apabila disokong oleh ramai kawan adalah tindakan popular dan mudah.

Pihak yang dikecam pula - dalam hal ini, Balai Seni Negara - boleh kembali menang sekiranya mereka sedia mengadakan suatu dialog yang membicarakan perkara yang bersangkut paut dengan hal sebegini, iaitu apakah dasar dan juga kekangan yang dihadapi.

Berjiwa besar walaupun menjadi tohmahan adalah suatu sifat yang tentu saja dihormati oleh semua orang.

Artikel kali ini dihiasi foto dari majlis perasmian pameran Aku Ini Binatang Jalang oleh Azizan Paiman. Ia sedang berlangsung di galeri A+ Work Of Art di Sentul, Kuala Lumpur.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis yang tidak peduli.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen