malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Presiden PAS perlu berakhlak dalam berpolitik
ADS

Islam hadir, antara perkara utama yang dibawa adalah akhlak. Dengan akhlak itu, Islam diterima pesat. Dengan akhlak itu, Bilal bin Rabah yang merupakan hamba kepada Umayyah bin Khalaf memeluk Islam.

Melawan perkauman, antara akhlak yang diperjuangkan Islam. Bersifat amanah, merupakan akhlak yang dibawa oleh nabi. Nabi membawa sifat amanah itu sehingga baginda digelar al-Amin. Bagi orang belajar bahasa Arab, kalimah al-Amin itu bukan diterjemah "orang beramanah". Ia diterjemah sebagai "orang yang amat beramanah".

Islam menjulang akhlak kerana mahu dunia ini aman. Dengan akhlak, manusia tidak akan bergaduh. Dengan akhlak, manusia tidak akan bermusuh. Permusuhan dan pergaduhan penyebab kepada kehancuran masyarakat.

Sebarang unsur permusuhan, Islam akan tolak. Dengan sebab itu, amalan takfir (mengkafirkan Muslim) ditolak Islam. Dengan sebab itu, Nabi SAW pernah berpesan agar hati-hati dengan puak Khawarij yang mengamalkan takfir.

"Suatu hari nanti, akan berlaku kebisingan dalam kalangan umat ini - terdapat satu kaum yang mereka membaca al-Quran dengan bagus, tetapi al-Quran yang dibacakan itu tidak lebih sekadar halkum mereka sahaja. Ketika mereka membaca Al-Quran, mereka terkeluar dari agama seperti panah menembusi sasarannya", kata Nabi SAW dalam riwayat yang sahIh yang ditafsirkan oleh ramai ulama hadis sebagai kalangan Khawarij.

Muhammad rasulullah - hiasan di pintu Masjid Nabawi, Madinah, gambar hiasan

Puak Khawarij ini, terdiri dari kalangan "pak lebai" yang kuat beribadat. Dahi mereka hitam kerana kuat sembahyang. Jubah dan serban menjadi pakaian harian mereka. Hafalan al-Quran mereka bagus. Namun, bacaan al-Quran mereka bukan membawa keamanan kepada masyarakat. Cakap Islam mereka tidak mengikut tujuan Islam diturunkan. Mereka membaca ayat al-Quran dan hadis, semata-mata mahu halalkan kejahatan mereka. Al-Quran dan hadis yang mereka baca, tidak berasaskan kepada hidayah, sebaliknya untuk menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.

Gerakan ini bermula pada era Saidina Usman. Mereka berkembang pesat pada era pemerintahan Saidina Ali. Tidak sedikit riwayat membuktikan bahawa Saidina Usman dibunuh oleh mereka.

Pada era Saidina Ali, mereka membaca al-Quran untuk menuduh Saidina Ali sebagai kafir. Manipulasi maksud firman tuhan dan sabda nabi yang dilakukan mereka itu menyebabkan Saidina Ali terpaksa mengungkapkan kata hikmah:

"Perkataan mereka itu benar, tetapi mengandungi tujuan yang batil".

Mereka kata, mereka pentingkan syariah. Dalam masa yang sama, mereka abaikan maqasid - tujuan penurunan syariah.

Soal keadilan tidak penting. Soal menjarah dana negara tidak penting. Soal kestabilan hubungan kaum tak penting. Soal hak semua warganegara tidak penting. Soal afirmatif berasaskan kepada keperluan tidak penting.

Apa yang penting pada mereka adalah ISA - ikut suka aku, ikut selera aku. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka, dia bakal di-ISA-kan, "islamic security act", iaitu dituduhnya kafir, munafik, ahli neraka dan sebagainya.

Presiden PAS

Kita sedar dengan amalan takfir yang diamalkan sebilangan ahli PAS. Menafikan kewujudan amalan itu sama seperti menafikan matahari memancar pada waktu siang.

Dalam YouTube, amalan itu dapat dilihat dalam ceramah PAS. Di laman Facebook, tidak sedikit amalan itu berlaku pada komen-komen ahli PAS. Agak banyak juga berlaku di Whatsapp.

Amalan itu secara konsisten dilakukan terhadap musuh PAS. Dengan sebab itu, dahulu mereka lakukan takfir kepada Umno, tetapi kini mereka lakukan takfir pula kepada bekas rakan seusrah mereka - Amanah.

Tidak dinafikan, tokoh-tokoh takfir dalam PAS, sudah ramai "memeluk Umno". 

Ini diakui oleh pemimpin PAS. Namun, sukar untuk dinafikan bahawa kini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang terkenal dengan amanatnya berbau takfir kepada Umno - beliau sendiri yang bersungguh sungguh menggunakan seribu satu dalil al-Quran dan hadis untuk "kandar" PAS agar kerjasama politik dengan Umno. 

Hadi Awang

Rakyat Malaysia tidak lupa jenama unity government, yang kini ada jenama Muafakat Nasional dan terbaru jenama Pakatan Nasional.

Apa yang pasti, sesiapa sahaja yang mengkritik presiden PAS itu, pengkagum PAS umpama tentera Abrahah datang menyerang. Label takfir dan tanfiq (menuduh munafik) menjadi "peluru" serangan. Bukan sikit, bahkan ramai yang menjadi mangsa serangan.

Pernahkah ahli parlimen Marang itu berfikir bahawa semua ini adalah akhlak buruk yang bukan sekadar beliau sahaja perlu berhenti, bahkan iman beliau perlu sedar bahawa ahli-ahli PAS perlu ditarbiah dengan akhlak Islam - berhenti dari lakukan amalan Khawarij ini.

Beliau bukan sekadar perlu tarik balik "fatwa takfir Umno", malah beliau wajib bertaubat dari amalan takfir itu sendiri - agar rakan-rakan dari Amanah tidak menjadi mangsa serangan dari kalangan ahli PAS yang ditarbiyah dengan akhlak tidak Islam.

Ulama pewaris nabi

Kalau dahulu, ramai yang memeluk Islam dengan melihat akhlak nabi. Ini dapat dilihat pada individu bernama Bilal bin Rabah pada saat mengetahui Islam adalah agama melawan perkauman.

Kalau pun ada yang tidak memeluk Islam, mereka tetap akui kemuliaan akhlak nabi. Mereka menolak Islam kerana prejudis kepada nabi, tetapi mereka tidak ada alasan langsung untuk nak tuduh Nabi buruk akhlak.

Presiden PAS dengan amalan politik beliau, ada teman saya menuduh sebagai political animals. Saya cuba tafsirkan sebagai label-label binatang yang pernah beliau lontarkan kepada musuh politik beliau - seperti pernah menggunakan terma "babi", "anjing", "beruk", "biawak" dan sebagainya. Tetapi, teman saya itu menolak tafsiran itu, malah berhujah dengan merujuk projek "pintu belakang" yang diperkenalkan oleh ulama dari Rusila itu - projek untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Najib Razak

Pernahkah presiden PAS berfikir bahawa projek pintu belakang ini pernah dilakukan oleh Najib Razak dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perak yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang dikepalai oleh PAS pada suatu masa lalu. Ketika itu, dalam ceramah PAS kata, tindakan itu tiada maruah.

Kali ini, tindakan tiada maruah itu cuba diideakan oleh presiden PAS pula. Bak kata Kiai Gus Mus dari jiran seberang, "Kamu ini bagaimana, aku itu harusnya bagaimana?"

Mana mungkin nabi yang berakhlak mulia berpolitik secara binatang. Tetapi, amalan ini dilakukan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang bergelar pewaris Nabi (?).

Imej Islam

Saya kira, ulama dan juga tokoh politik yang boleh kita pelajari adalah Sheikh Abdullah bin Bayyah. Bekas wakil presiden Mauritania itu pernah mengungkapkan kata hikmah:

"Antara maqasid yang diabaikan ramai Muslim adalah mereka tidak menjaga imej baik agama Islam."

Bin Bayyah yang juga ulama terkenal dengan amalan kesufian menekankan begitu, kerana beliau sedar bahawa telah berlaku banyak salah faham oleh ramai masyarakat bukan Muslim terhadap agama Islam disebabkan sifat-sifat Muslim yang tidak mencerminkan akhlak Islam.

Sebagai Muslim, setiap kita ada tanggungjawab dalam menjaga imej baik agama Islam ini. Ia adalah tanggungjawab setiap Muslim. Apa lagi, orang seperti presiden PAS yang memegang gelaran ulama.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen