malaysiakini logo
story-image
ADS

Umum tahu PAS telah beberapa kali menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri – sekurang-kurangnya sehingga tamat penggal pilihan raya umum ke-14.

Sokongan terbuka PAS disuarakan pemimpinnya termasuk setiausaha agung Takiyuddin Hassan dan khusus presiden parti Abdul Hadi Awang.

Baru baru ini Hadi sekali lagi menyatakan pendirian sokong Mahathir. Kali ini dengan nada keras. Kata beliau pihak yang “nak sangat jadi PM, buat lah undi tak percaya”. Maksudnya kemukakan di parlimen usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Jelas kata kata itu diluahkan berikutan desakan beberapa pihak yang mahu Mahathir melepaskan jawatan Mei ini - genap dua tahun Pakatan Harapan mentadbir negara.

Bagi Hadi suasana ketika ini memerlukan Mahathir kekal memegang jawatan PM. Beliau bagaimanapun tidak menghuraiakan apa atau bagaimanakah “suasana ketika ini “ yang dimaksudkan.

Beberapa pemerhati dan pengulas politik termasuk saya hairan mengapa PAS perlu kerap mengulangi sokongan terhadap Mahathir – seolah-olah parti itu “bertungkus-lumus” cuba menyakinkan semua pihak akan keikhlasan sokongan mereka itu.

Tidak kurang juga pemerhati politik yang “pelik” PAS menyokong Mahathir kerana bagi mereka jika ada pemimpin politik yang boleh “letak PAS di tempatnya” atau dalam bahasa Inggeris “put PAS in its place”, orang itu ialah Mahathir.

Malah Mahathir sejak dulu lagi kerap “menyerang “ keras PAS. Beliau juga tidak pernah menyembunyikan pendapat bahawa beliau tidak setuju dengan “Islam yang dibawa PAS”.

Jadi mengapa PAS menyokong Mahathir? Adakah PAS percaya kerajaan Pakatan Harapan lebih mudah ditumbangkan bila tiba masanya jika ia terus diterajui Mahathir?

Ada penganalisis mengaku ada benarnya jika itu yang PAS percaya. Namun ada juga yang berkata parti itu tersilap langkah jika berpegang dengan kepercayaan itu kerana Mahathir kata mereka “bukan calang-calang lawan”.

Tentang Anwar, bukan Mahathir

Pun begitu beberapa lagi pemerhati dan penganalisis politik berpandangan isu ini “is more about Anwar Ibrahim rather than Mahathir” - lebih mengenai Anwar daripada Mahathir.

Kata mereka PAS tidak atau belum memaafkan Anwar terhadap apa yang beliau lakukan ke atas PAS. Imbas kembali tahun 1982. Anwar menerima pelawaan Mahathir yang ketika itu presiden Umno dan perdana menteri keempat dan menyertai Umno.

Penyertaan Anwar dalam Umno lihat sebagai sesuatu yang amat memerangsangkan parti itu. Bagi PAS pula ia satu tamparan. Ramai teman Anwar ada dalam PAS. Antaranya allahyarham Fadzil Noor, Hadi dan Mohamad Sabu - sekadar menamakan tiga sahaja. Mereka semua bersama Anwar dalam Abim seketika dahulu.

Lantas mereka menjangka Anwar akan menyertai dan berkempen untuk PAS pada pilihan raya umum yang menjelang tiba. Sebaliknya kehadiran Anwar dalam Umno membantu Umno/BN menang cemerlang pilihan raya umum 1982. PAS hanya memenangi lima kerusi parlimen.

Itu mencetus kemarahan PAS ke atas Anwar. Kemarahan menyemarak apabila Anwar yang berada dalam kabinet Mahathir memerangi PAS. Tidak memeranjatkan kerana Anwar yang ketika itu cukup setia adalah antara panglima perdana menteri waktu itu.

Bagaimanapun ada pihak mendakwa Anwar pernah cuba menjalankan usaha berbaik baik atau menjalin kerjasama Umno-PAS yang masa itu dipimpin Fadzil Noor yang merupakan sahabat baik beliau. Ini bagaimana pun tidak dapat disahkan.

Bekas presiden PAS allahyarham Fadzil Noor 

Namun PAS “memaafkan” Anwar apabila beliau disingkir Mahathir pada tahun 1998 dan menyertai gerakan reformasi anjuran Anwar. Seterusnya menyertai Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat.

Bukanlah satu rahsia itu semua khususnya sokongan PAS untuk Anwar banyak didorong dan terjadi atas kemahuan Fadzil Noor walaupun ada pemimpin dalam PAS yang tidak setuju.

Itu kisah lama. Kisah sekarang ialah PAS pimpinan Hadi sokong Mahathir kerana tidak mahu Anwar jadi perdana menteri. Itu andaian atau anggapan beberapa pemerhati dan penganalisis politik. Bagi PAS, asal bukan Anwar kata mereka.

Seorang penganalisis menginatkan saya sejak dalam Pakatan Rakyat lagi ada pertembungan PAS dengan PKR.

Kebencian presiden, bukan PAS

Dan kata beliau: “pertembungan PAS dan PKR sebenarnya diwakili pertembungan peribadi Haji Hadi dan Anwar. Dalam banyak isu sewaktu dalam Pakatan Rakyat Haji Hadi tidak sehaluan dengan Anwar. Seperti Langkah Kajang dan isu MB Selangor.”

Namun ada pihak berpendapat PAS bimbang Anwar dengan latar belakang agama dan pengetahuannya mengenai PAS boleh “kerjakan” parti itu jika atau apabila beliau mengepalai Pakatan Harapan.

“Ini antara barangkali ketakutan PAS tapi ia persepsi sahaja”, kata penganalisis tadi.

Mohd Sayuti Omar 

Pemerhati PAS dan penulis veteran Mohd Sayuti Omar juga berpendapat PAS mahu Mahathir kekal sebagai PM ialah “sebab utama dia tak nak Anwar jadi PM. Itu saja.”

Hadi dan Anwar, kata Sayuti, tidak ada beza pada segi prinsip dan dasar. Namun menurut beliau tidak ada alasan “fizikal” kenapa Hadi tidak suka Anwar selain isu personal.

Dan kata beliau lagi ini soal “kebencian presiden bukan PAS keseluruhan”. Namun perlu diakui ahli PAS setia dan dengar kata presiden.

“Marah dan benci bukan prinsip tetapi peribadi. Sebab itu dalam bacaan saya jika Hadi tak lagi pimpin PAS, parti itu tidak begitu menjurang jauh dengan Anwar.

“Tengok Tuan Ibrahim boleh duduk minum dengan Anwar di parlimen, kata Sayuti.

Yang dimaksudkan ialah Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden PAS.

Apa pun hakikatnya Hadi masih kukuh dalam PAS.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen