malaysiakini logo
story-image
ADS

Malam itu – jamuan makan malam itu mungkin sekali imbas – sekali pandang tidak ada apa-apa yang menarik. Makan malam di sebuah restoran masakan Cina di wilayah Subang Jaya Seksyen 19.

Seberang jalan disebelah restoran ialah warung-warung kereta sorong dan gerai-gerai kedai makan yang menayangkan – masakan tom yam, sate dan mee rebus. Wilayah ini - bak kata warga Belgium – rien de spécial - tak ada apa yang teristimewa.

Kami datang untuk makan malam sebagai merayakan sambutan Tahun Baru Cina yang akan sampai pada Sabtu 25 haribulan ini.

Sembilan orang kami datang: Tiga lelaki Cina, seorang wanita Cina bersama suaminya India dan empat jantan Melayu. 

Seorang kawan Gan Yap Swee – bekas setiausaha agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) gagal datang. Petang Ahad yang kami pilih itu telah dilanggar hujan. Gan, kawan lama kami menarik diri atas nasihat doktor. Gan tidak boleh terkena percikan air hujan kerana kaki kanannya baru dipotong akibat pembekuan darah di kaki.

Restoran yang dipilih bukan yang teristimewa atau tersohor. Kami pilih kerana restoran ini dekat dengan rumah kawan kami yang kami panggil Towkay. Kawan kami ini telah mula bertongkat justeru untuk memudahkan pertemuan kami datang ke wilayah yang paling hampir dengan rumah Towkay.

Sebotol air anggur 

Petang itu, restoran ini penuh dengan pelanggan kerana Ahad terakhir sebelum Tahun Baru China. Saya ternampak ramai juga orang India dan Bengali makan semeja dengan kaum keluarga Cina dalam restoran ini. Pasti mereka datang untuk sama-sama merayakan kesampaian tahun baru. Ini budaya Malaysia.

Berapa ramai Melayu? Hanya kami empat orang dalam restoran itu. Amin.

Saya diminta membuat pilihan makanan. Restoran ini adalah restoran ditanggung sendiri. Lalu saya memesan asam kukus talapia, udang kukus, lala greng, sotong goreng tepung, kambas goreng telor masin, kucai goreng dan sayur kegemaran saya – tiga dalam satu.

Saya amat yakin – sayur tiga dalam satu – adalah masakan asli dari Tanah Melayu. Terong, kacang bendi, bersama petai digoreng dengan udang kering.

Saya amat yakin – sayur tiga dalam satu - adalah masakan lahir dari Tanah Melayu bukan dari Chez Maxim dari Paris atau masakan Wan Li dari Beijing atau kedai makan Den Gyldene Freden di Stockholm.

Petai tidak tumbuh di Belgium atau di Perancis. Petai hanya tumbuh di bumi tropika alam Melayu.

Bila makanan sampai semua terbahak ketawa kerana saperti silap mata saya mengeluarkan sebotol Sauvignon dari kerpai buruk saya. Air anggur dari New Zealand ini menjadi ganti yesang tanda bukti bahawa kami setia kepada budaya Malaysia. Kami pun berkenduri. Yummy yummy yummy.

Dari fakta sejarah - kami semua berkenalan ketika ‘berpesta’ di Universiti Malaya (UM).

Tentang umur? Kami semua telah melintasi enam siri kecuali Mus yang datang membantu Towkay Lim. Empat daripada kami berasal usul dari Kolej Kediaman Kelima Universiti Malaya. 

Empat lagi dari Non Hostelite Organisation (NHO). Badan NHO ini bertanggung jawab menyusun pelajar yang tidak tinggal dalam kampus. NHO telah lama menjadi arwah.

Towkay Lim bekas guru ilmu alam ialah anggota Majlis ke-16 ketika saya menjadi Setiausaha Agong Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Adi timbalan saya.

Baskaran suami King - anggota pengarang Mahasiswa Negara – akhbar rasmi PMUM. Suami isteri ini bekerja dengan universiti.

Haris warga asal kelahiran Bukit Bintang anggota Kelab Sosialis. Chee Kok Tiang dan Ong Hin - dua kaki bising ahli sukan Kolej Kelima. Chee seperti Haris seorang ahli perniagaan.

Ong setelah lulus pengajian dari UM menyambung belajar di Amerika untuk menjadi bomoh. Kini Bomoh Ong membuka klinik di Raub, manakala Adi bekas tahanan ISA ialah bekas ketua pengurus iklan syarikat Utusan.

Ditakdirkan – kami semua dipertemukan dalam UM. Kami ialah generasi pasca Mei 13. Kami juga ialah generasi pasca Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku 1971).

Akta ini cuba memadamkan semangat kejujuran dan pejuangan anak muda mahasiswa sesudah 13 Mei. Tugas Auku 1971 gagal meleset. Amin.

Pada tahun 1971, babak gelap lagi hitam Mei 13 baru selesai. Babak pergaduhan Bani Melayu dengan Bani China dan Bani India.

Setelah bergaduh berbunuh maka pada 16 Mei 1969 darurat diistihar. Parlimen digantung. Majlis Keselamatan Negara (Mageran) mengambil alih kuasa. Pada minggu pertama saya di UM bulan pada Mac 1971, parlimen dibuka kembali setelah digantung selama dua tahun.

Sila bertanya: Apakah ketika itu – pada tahun 1971 - suasana dan ambience perkauman keras mendadak? Apakah pada ketika itu hubungan kaum menjadi tegang?

Apakah ketika itu anak-anak muda pelajar di universiti tidak bercampur sesama sendiri? Apakah ketika itu anak muda Bani Melayu merasa tergugat apabila melihat salib di gereja di hadapan bangunan KWSP Petaling Jaya?

Apakah pada ketika itu kami pelajar Melayu di UM merasa gentar dan tercirit-cirit apabila melihat mahasiswa dan mahasiswi Cina membakar tanglong?

Tidak. Tidak. Tidak. Jawabnya tidak.

Cinta tak pilih bangsa, agama

Kami di UM terus berpesta merayakan kemudaan kami. Anak semua bangsa - bangsa semua agama yang muda merayakan kemudaan mereka. Kami sederap sebaris sama seperti anak muda pelajar di Hong Kong, Jakarta, Paris, London, San Francisco, New York, Tokyo , Melbourne atau New Delhi. Budaya muda adalah berpesta.

Ketika di kampus – kami bertemu, berkenal, bercinta, jatuh cinta, bertemu kekasih, ditinggal kekasih, gagal dapat kekasih. Kami tidak memilih bangsa atau agama. Jika serasi maka kami menjadi pasangan. Amin

Bashkaran bertemu King jatuh cinta berumah tangga dan mendapat dua anak lelaki. Haris bertemu Anges dan berumah tangga.

Adi berkawin di luar kampus. Hanya Hishamuddin Rais yang setia untuk terus menjadi peneraju Kelab Gagalis dan berpesta merayakan Hari Gagalis pada 14 Febuari setiap tahun.

Ooh.. bagaimana mana dengan belajar jika asyik berpesta dan jatuh cinta? Belajar? Wajib diberitahu di sini kami yang masuk ke UM bukan kecik anak. 

Kami dipilih ke universiti bukan kerana kami Melayu. Bukan kerana kami bumiputera. Atau kerana ayah kami ketua bahagian United Malays National Organisation. Tidak. Tidak. Tidak.

Peperiksaan kami dinilai di negara kafir luar negara. Mustahil ada soalan bocor. Justeru dalam berpesta-pestaan kami masih menyerlah berjaya mencari ilmu.

“Ingat tak tiga gadis cun bergetah masuk Fifth Kolej tahun 1972?" Tanya Adi sambil ketawa.

"Yes yes… mana satu... ada Mahani... ada Faridah dan ada Shahrizat..." Saya membuka nostalgia.

"Ingat tak siapa tiap pagi datang dengan motosikal ambil Sharizat..." Adi menyoal sambil bubuh minyak untuk merancakkan perbualan.

"Swee Eng yang cute tu, Acai yang dapat," jelas Chee.

"Mahani kahwin dengan John Zainal Carrie… cerai kemudian Mahani kahwin dengan politikus besar dari Perlis," Adi memberi kuliah sejarah seksualiti Kolej Kelima.

Kami semua terbarai ketawa. Hanya Mus yang tidak tahu buah butir tentang apa yang sedang kami bualkan. 

Kini sudah hilang

Kami berlapan kembali melayari detik-detik enak ketika kami mendewasa dalam satu suasana yang amat menjanjikan. Dunia dan alam yang kini sudah jauh hilang.

Malaysia - Tanah Melayu di zaman kami mengikuti kuliah - terletak di atas landasan budaya yang tepat. Kami belajar ke universiti agar Malaysia tidak menjadi negara buta huruf. Justeru untuk tidak menjadi negara buta huruf kami semua buta warna.

Tidak ada India dalam Bashkaran atau Anges. Tidak ada 'Cina bukit' untuk Lim, Ong, King dan Chee. Tak siapa antara kami pernah mempersoalkan bahawa Pardi ayahanda Haris ialah Jawa pendatang.

Kami tidak pernah bertanya apa warna kad pengenalan Adi Satria anak wakil konsul Indonesia di Pulau Pinang. Tidak ada siapa yang berani mempertikaikan susur galur salasilah Jakun Biduanda Hishamuddin Rais.

Lim, King, Chee dan Ong tidak pernah meminati Dong Zong. Di Kolej Kelima Dong Zong tidak wujud dan tidak dibenarkan wujud. Chee dan Ong dibesar di Sungai Petani dengan keselesaan bercampur gaul dengan pelajar Melayu dari Kolej Sultan Abdual Hamid.

Bhaskaran tidak memasuki Persatuan Tamil di Universiti Malaya, sebaliknya menjadi anggota Kelab Sosialis. Lim dan Bhaskaran bertemu di High Scool Muar di mana ayahanda Bashkaran menjadi guru bahasa Inggeris.

Kami anak kelahiran Tanah Melayu. Kami tahu nikmat petai. Kami tahu apa itu talapia kukus ala nyonya. Dalam masa yang sama kami juga adalah warga dunia.

Kami juga tahu nikmat Sauvignon dan Mouton Cadet. Kami juga warga dunia. Kami merayakan budaya sejagat. Tetapi asas budaya jati diri kami lahir dari bumi Tanah Melayu.

Para tamu dalam restoran Cina pada malam itu pasti tidak sedar di satu sudut ada sembilan sosok yang sedang cuba menghidupkan kembali detik-detik yang hilang. Ambiance yang terlungkup. Suasana budaya yang hancur. Setia kawan yang tidak dimungkinkan lagi wujud. Masa yang terhilang.

Apakah ucapan gong xi fa cai akan diharam?

Penulis Perancis, Marcel Proust ( 1871-1922) telah menulis nobel A la reserche du temps perdu – atau Mencari Masa Yang Terhilang. Tapi masa dan zaman yang hilang garapan Proust ini telah menjadi tulang belakang rujukan budaya Perancis.

Adi, Haris, Mus dan Isham ialah Melayu tapi mereka bukan Arab. Mereka ialah Islam Budaya.

Lim, King, Chee dan Ong ialah Cina tapi bukan Cina Dong Zong. Budaya mereka adalah budaya Cina Malaysia. Bhaskaran ialah India tapi bukan dari budaya Bharattiya Janata Party.

Pada petang itu sembilan sosok ini sama seperti Marcel Proust merayakan kembali zaman yang hilang. Mengingat kembali budaya setiakawan yang telah dimusnahkan. Sembilan sosok ini menunjukkan bahawa kami anak semua bangsa dari semua agama bersetia merayakan kehidupan di atas muka bumi.

Akhirnya sebelum kami ditangkap dan didakwa oleh Jakim kerana minum air anggur dalam restoran Cina ditanggung sendiri biar saya ucapan Gong He Fa Chai untuk anak semua bangsa. Opps… apakah ucapan saya ini juga akan diharamkan. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen