malaysiakini logo
story-image
ADS

Ada sebuah hikayat lama yang sudah kurang diketahui orang Melayu kita lagi. Maklumlah, bangsa Melayu seperti anda; kalau bab mempertahankan Jawi, bukan main. Anda malah sanggup turun berjihad. Akan tetapi apabila anda disuguhkan suruh membaca hikayat, Melayu seperti anda jugalah akan melarikan diri lintang-pukang. Padahal hikayat lamalah mutiara yang dapat menjelaskan perangai, pemikiran dan juga pendekatan Melayu dalam menyelesaikan segala masalah.

Saya ingin mengetengahkan sebuah hikayat yang langka berjudul Hikayat Nabi dan Orang Miskin. Kalau dicari sudah jarang-jarang ada lagi. Meskipun tajuknya menyebutkan mengenai Nabi Muhammad SAW, ia sebetulnya adalah mengenai Fatimah Zahra, puteri baginda. Malah lebih tepat jika ia dinamakan sebagai Hikayat Siti Fatimah dan Orang Miskin.

Hikayat ini terdapat di antara Koleksi Naskah Melayu di Muzium Pusat Jakarta dan hanya terdiri dari 14 baris (iaitu lima halaman) dan merupakan milik peribadi pegawai Belanda, JA Van der Chijs pada tahun 1868 sebelum dihadiahkan kepada Van Ronkel.

Di dalam hikayat ini, Fatimah diberi julukan “raja perempuan”. Kisahnya begini, Saidatina Fatimah didatangi seorang pengemis yang melarat, dan kelaparan. Baginda telah menghadiahkan orang fakir tersebut harta yang paling beliau sayangi, iaitu sejenis busana yang berharga disebutkan sebagai ginu:

“...pada suatu hari tiba-tiba datang seorang fakir yang miskin lagi daif datang meminta sedekah di rumah Siti Fatimah. Maka ujar si daif itu, ‘Ya Siti Fatimah, raja segala perempuan, berikan sedekah apa-apa kepada hamba barang apa sekiranya tuan boleh beri pada hamba karena hamba ini sudah tiga hari tiada makan lagi sudah amat daif.’ Maka lalu Siti Fatimah masuk pada tempatnya, diam berpikir pada hatinya, ‘Apa aku boleh sedekahkan pada fakir miskin itu?’ Tiba-tiba takdir Allah Taala ia mendengar suara demikian bunyinya firman Allah Taala, ‘Lamtanalu I-birru, hatta tun min syay’in fa inna I-Laha bihi ‘alimu.’ Maka berfikir Siti Fatimah, tiada apa yang terlebih besar dan terlebih baik disukainya daripada sekalian pakaiannya itu hanyalan suatu pakaian ginu namanya, emas yang bertatahkan dengan permata intan baiduri sekira-kira ribu-ribu harganya. Maka juga lalu segera diambilnya karena ia takut dan menjunjung firman Allah Taala. Yang didengarnya itu melainkan barang yang disukai hati maka boleh sedekahkan pada orang. Maka disedekahkannya ginunya itu, emas yang bertatahkan dengan permata intan itu kepada seorang fakir, lalu diambilnya oleh fakir dan suka hatinya.”

Firman Allah yang didengar-dengar oleh Fatimah Zahra itu sebetulnya adalah “Lan tanalul- birra hatta tunfiqu mimma tuhibbun, wa ma tunfiqu min syai’in fa innallaha bihi ‘alim”, iaitu ayat 92 dari surah Ali Imraan. Ia bermaksud, terjemahannya, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Kisah yang hampir serupa terdapat dalam riwayat Syiah (rujukan Nuzhat-ul-Majalis), ketika Saidatina Fatimah Zahra akan berangkat ke rumah suaminya, Saidina Ali yakni selepas pernikahan mereka, baginda telah didatangi oleh seorang pengemis yang compang-camping. Melihatkan keadaan sang miskin yang sangat daif itu, Fatimah membuat keputusan untuk menghadiahkan busana pernikahannya yang masih baru. Ada kemungkinan kata arkaik Melayu “ginu” dalam hikayat tersebut merujuk kepada sejenis “gaun perkahwinan”.

Di dalam sebuah karangan Baqir Sharif al Quraishi diterjemahkan sebagai The Life of Fatimah Az-Zahra: The Principal of All Women, Study and Analysis, kisah yang hampir sama turut diketengahkan. Dalam riwayat ini, Fatimah memberitahu Nabi Muhammad bahawa seorang pengemis perempuan telah memohon bantuan sedekah, dan Fatimah terkenangkan ayat dari surah Ali Imraan tersebut, lantas memutuskan untuk menghadiahkan gaun perkahwinannya kepada pengemis yang dalam kesusahan itu.

Dalam versi lain mengenai peristiwa yang sama, Fatimah dikatakan menyedekahkan pengemis tersebut sebelum (bukan selepas) majlis perkahwinannya. Ini mengakibatkan Rasulullah SAW terkejut melihat puterinya tidak mengenakan pakaian yang sepantasnya untuk majlis pernikahan tersebut. Rasulullah SAW segera ditenangkan oleh anakandanya, lantas Fatimah mengucapkan kisah di atas.

Akan tetapi, apa yang lebih melongokan dalam Hikayat Nabi dan Orang Miskin ini ialah pemerian seterusnya mengenai Fatimah, dan juga para sahabat rapat Rasulullah SAW. Hikayat Melayu ini memperihalkan, selepas sang pengemis beroleh busana indah tersebut, sesuatu yang tidak dijangkakan berlaku.

Kisahnya adalah bagaimana Saidina Umar dengan “gopoh-gapah” (pemerian sifat ini berdasarkan perwatakan dalam hikayat tersebut) merampas gaun cantik tersebut dengan sangkaan ia dicuri. Apabila pengemis itu dibawa menemui Nabi Muhammad, sang pengemis mengadukan tingkah laku Umar yang merebutkan barangan miliknya. Manakala Saidina Abu Bakar pula, yang berhasrat menebus gaun tersebut dalam satu bidaan, malangnya hajat “tak kesampaian”. Saya petik dari hikayat tersebut:

“Maka berjalanlah fakir itu, maka lalu dijualnya hendak menukarkan beras empat lima gantang juga, yang sekira-kira boleh lekas dimakan. Tiba-tiba datang Umar, dipandangnya ginu Fatimah itu, Tiada seorang dalam negeri ini yang ada pakaian demikian rupanya hanya Fatimah juga, barangkali dicurinya itu. Maka lalu dirampasnyalah oleh Umar ginu itu pada tangan fakir itu, lalu datang diberikan Umar kepada Rasulullah SAW ginu itu.

‘Ya Rasulullah, hamba tadi dirampas Umar, hamba pun milik ginu emas dengan tiada suatu sebab hanya diambilnya juga dan dirampasnya pada tangan hamba.’

Maka lalu Rasulullah SAW (berkata). ‘Pergilah dalam masjid, naik di atas mimbar!’ Maka Rasulullah. ‘Siapa yang hendak beli ginu ini?’

​Maka Abu Bakar, ‘Hamba yang mau beli lima ratus ringgit tetapi belum genap itu, boleh besok.’

​Maka ujar pula Baginda Rasulullah, ‘Sesiapa pula yang hendak membeli ginu ini?’

​Maka ujar Rasulullah SAW. ‘Siapa kamu yang hendak membeli ginu itu pada sekarang ini?’

​Maka tiba-tiba jawabnya Siti Ma’wa, ‘Hambalah yang membeli ginu itu dengan seribu ringgit pada masa sekarang ini.’ Maka diambilnyalah ringgit itu seribu dan ditaruhnya di hadapan Rasulullah, dan ginu itu pun diberikannya oleh Rasulullah kepada Ma’wa. Maka lalu itu ringgit seribu harganya ginu itu telah diberikanlah Rasulullah kepada seorang fakir yang empunya ginu itu, faqad,wailahu a’alam.

Pemerihalan sifat-sifat begini untuk sahabat-sahabat dekat Nabi Muhammad SAW sering ditemukan dalam hikayat-hikayat lama. Ia sama sekali bukan satu penghinaan, ejekan atau perbuatan mengaibkan.”

Gaun tersebut yang dibeli oleh Ma’wa akhirnya tiba kembali ke tangan Fatimah Zahra, apabila pemilik barunya bernazar untuk memerdekakan seorang hamba jika Fatimah sudi menerima hadiah pemberiannya. Tanpa jangka Fatimah Zahra, gaun pengantin baginda itu kembali ke dalam dakapannya tanpa duga. Ia mengakibatkan Fatimah, Raja Perempuan berdukacita:

“Syahdan maka Ma’wa pun pulanglah ke rumahnya, lalu ia mengambil tiga bajunya yang terlebih baik daripada sekalian bajunya, gilang-gemilang yang sekira-kira tiap-tiap tiga baju itu seribu ringgit harganya dalam satu baju itu. Maka disusunnya dalam satu tabak, maka ditaruhnya di atas baju itu tiga ginu itu. Maka ia memanggil pada hambanya seorang perempuan, katanya, ‘Bawa hadiahku ke Siti Fatimah. Jikalau dibukai pintu rumahnya dan diterima hadiahku ini maka jadilah merdeka engkau.’ Maka segera dibawa hambanya hadiah itu ke rumah Siti Fatimah, maka ujar hambanya itu di luar pintu rumah Siti Fatimah tiada dibukai pintu rumah karena takut Siti Fatimah tiada suaminya, maka ujar hamba itu, ‘Wah, niscayalah tiada jadi merdeka diri hamba jikalau tiada tuanku bukai pintu hamba karena hamba ini ada membawa hadiah kepada tuan hamba.’ Maka dibukailah pintu maka ditaruhnyalah hadiah itu di hadapan Siti Fatimah.”

Kembalinya gaun atau ginu itu ke tangan Fatimah sebaliknya bukanlah membuatkan baginda gembira, sebaliknya Fatimah menjadi sangat dukacita kerana merasakan seolah sedekahnya tidak berbaloi di sisi Allah dan dikembalikan sedemikian rupa:

“Setelah Siti Fatimah melihat ginu yang telah disedekahkannya kepada seorang fakir, kemudian maka datang pula bersama-sama dengan tiga baju itu dihadiahkan oleh Ma’wa padanya. Lalu Fatimah masuk dalam kamarnya dan menangis dengan amat tangisnya pada Allah entah tiada diterima Allah sedekahnya. Karena ginu-nya yang telah sudah disedekahkannya karena Allah pada seorang fakir tiba-tiba datang pula dihadiahkan orang padanya. Maka sampailah tujuh lapis langit sampai arasy Allah Taala tangisnya Siti Fatimah sekalian makhluk pun menangis semuanya daripada mendengar tangisnya Siti Fatimah kepada Allah Taala.”

Kedukaan Fatimah tersebut bagaimanapun terlerai setelah malaikat menyinggah di rumah kudusnya untuk memujuk; “Tiba-tiba datang Jibrail kepada Rasulullah dengan membawa firman Allah, berkata, ‘Ya Rasulullah, firman Allah kepada Tuan Hamba, disuruh tuan hamba datang ke rumah Siti Fatimah dan disuruh diam juga tangisnya kepada Allah dan disuruh terima juga hadiah orang padanya, karena sanya Allah Taala menerima sedekahnya Fatimah itu. Hanya sebab itu pembalasan Allah daripada harkat pahala sedekahnya karena Allah. Maka datanglah Rasulullah SAW kepada rumah Siti Fatimah, maka ujar Rasulullah. ‘Hai anakku Fatimah, raja segala perempuan. Engkau terima hadiah orang dan diamlah engkau daripada tangismu, sanya telah sudah diterima Allah sedekahmu itu karena Allah Taala ini sebab pahala sedekahmu karena Allah maka balaslah Allah demikian.’ Maka lalu diam Siti Fatimah daripada tangisnya, lalu diambilnya hadiah Ma’wa pada Fatimah dan jadilah merdeka hamba itu.”

Hakikat bahawa Rasulullah menjelaskan bahawa sedekah Fatimah diterima dengan baik dan dibalas kembali dengan kebaikan, malah menyebabkan baginda dikunjungi malaikat adalah demi memberi petunjuk kedudukan Fatimah, seperti disebut hikayat ini sebagai “raja perempuan”. Ia adalah satu makam yang sungguh istimewa, dan bukan calang diberikan.

Kata “raja” untuk orang Melayu membawa maksud dan makna yang besar. Raja adalah puncak kemuliaan dalam kalangan manusia Melayu. Raja juga dihormati, disetiai, tidak dimungkiri bahkan “disembah”. Pemilihan kata “raja” juga membawa pengertian yang luas, meskipun orang Melayu turut mempunyai kosa kata “ratu” untuk pemerintah wanita.

Pun, hari ini umat Melayu telah jauh dari keperibadian Fatimah kerana sosok kewanitaannya yang sungguh luar biasa dan menyinar begini kurang didedahkan, atau telah luput oleh kikisan budaya Barat dan Salafisasi yang durjana.

Bahkan jika kita rajin membongkar karya tradisional Melayu dengan ciri keislaman, Fatimah, dan bukan lainnya, yang menjadi sosok wanita unggul lagi pilihan Tuhan dan Nabi Muhammad SAW. Hal-hal sebegini tidak syak lagi menunjukkan peneguhan status ahlul bait atau keluarga Rasulullah SAW yang begitu kukuh dan besar tersemat dalam jiwa, dan benak orang Melayu satu ketika dahulu.

Kata “raja perempuan” dalam kerangka Melayu sangat besar ertinya. Tidak mustahil ia digunakan demi mencerminkan kedudukan Fatimah sebagai anggota keluarga Nabi yang suci lagi disucikan. Fatimah adalah satu-satunya perempuan dalam kalangan ahlul bait yang disucikan. Status ahlul bait ini misalnya sering diulang-ulang umat Melayu misalnya dalam tahlil setiap kali kenduri arwah. Namun demikian Melayu hanya melafazkan tahlil itu sambil dalam benak memikirkan kambing masak kurma yang bakal dihidangkan selepas kenduri, dan, bukannya memikirkan maksud terjemahan atau pengertian dari untaian tahlil ini.

Antara ayat terpilih dalam untaian tahlil adalah ayat 33 dari surah Al-Ahzab yang terjemahannya adalah “Sungguh Allah berkehendak menghilangkan segala kotoran padamu, wahai ahlul bait, dan menyucikanmu sebersih-bersihnya,”.

Ini diekori ayat 56 dari surah Al-Ahzab dengan terjemahan, “Sungguh Allah dan para malaikat-Nya bershalawat untuk nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bacalah shalawat untuknya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

Untaian ayat mengenai ahlul bait ini bukan dimasukkan tanpa sebab-musabab di dalam tahlilan orang Melayu. Ia membawa pulang kepada status anggota ahlul bait itu, seperti Fatimah, yang merupakan seorang “raja”.

Namun demikian, hari ini nama Fatimah atau Ali sebagai contoh menjadi satu alergik yang meresahkan sesetengah agamawan, apatah lagi orang awam yang terputus dari sejarah dan budaya bangsa seperti yang saya bentangkan di atas.

Bukanlah sukar untuk kita fahami kini yang kedudukan ahlul bait, seperti Fatimah, dipadamkan dan tahlil dimusuhi oleh puak Wahabi telah menjadi antara faktor mengapa Melayu kehilangan ‘raja perempuannya’ kini.

Siapakah yang dipuji dalam sembahyang dan shalawat kita yang berbunyi; Allahumma shalli ‘ala muhammad wa ‘ala aali muhammad, bermaksud terjemahannya, “Ya Allah, selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad.”

Tanpa mengenali Fatimah Zahra, Melayu terputus dari sumber bersih yang dinyatakan dalam ayat 33 surah al-Ahzab itu. Tahukah kita misalnya bilakah Fatimah dilahirkan, atau wafat? Tahukah kita di mana pusara Raja Perempuan kita di Madinah Munawarrah?

Fatimah mungkin seorang ratu atau raja perempuan yang tidak memiliki akaun Twitter untuk menciap, lantas dihurung kaki sanjung. Tetapi baginda masyhur seantero alam. Tuanku Fatimah adalah bangsawan sebenar. Ini kerana shalawat yang disebut dalam tahlilan kita, dihadiahkan untuk para arwah yang sudah tiada. Itu bukti Fatimah merentas pelbagai alam. Tanpa mengenali seorang pun orang yang dishalawatinya dalam sembahyang, Melayu terawang-awang memegang sosok yang tiada dalil kuat untuk disandarkan. Apabila shalawat yang disebut dalam sembahyang itu tidak dihayati dan dimengertikan, apalah ertinya rukuk sujud tegak tonggek tersebut.

Tentu ada sebabnya mengapa Hikayat Nabi dan Orang Miskin ini dijadikan judul oleh penyalin, sedangkan menurut pengkaji Jumsari Yusuf dalam buku Sastra Indonesia Lama Pengaruh Islam ia asalnya dirujuk sebagai Hikayat Siti Fatimah. Apakah sebabnya nama Fatimah dihilangkan secara paksa?

Putus atau hilangnya orang Melayu dari “raja” mereka bermakna bala. Dalam hal ini raja yang dimaksudkan adalah raja perempuan - Saidatina Fatimah - yang sudah tidak dikenal lagi. Padahal baginda adalah raja yang mesra umat dan akrab dengan diri kita. Apabila baginda tidak lagi diketahui, atau dihilangkan secara strategik; akhirnya Melayu sebagai umat Islam menjadi bahagian dari gopoh-gapah, dan tidak kesampaian dalam hajat dan kehendak.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen