malaysiakini logo
story-image
ADS

Pada 17 Januari 2020 lalu, saya telah diundang menyampaikan ceramah bertajuk "Tarbiah dan Dakwah Kampus: Menuju Universiti Rahmah".

Ceramah saya disampaikan di hadapan lebih kurang 30 pimpinan tertinggi Rakan Siswa Yadim (RSY) seluruh negara.

Dalam ceramah sekitar 1 jam 30 minit tersebut, saya telah menyentuh beberapa ilmu asas tarbiah dan dakwah serta isu dan cabaran semasa kemahasiswaan kini.

Antara penekanan yang saya berikan ialah berkaitan perihal alamiyah sebagai salah satu ciri-ciri khusus ajaran Islam itu sendiri. Alamiyah bolehlah diertikan sebagai “sejagat”.

Sebagai Muslim, sifat kesejagatan ini dapat mendorong kita agar memahami dan meyakini Islam sebagai sebuah agama yang universal, tidak terikat dengan masa, tempat dan ruang. Malah, Islam sesuai untuk semua manusia, setiap bangsa dan tidak terbatas pada masa-masa tertentu.

Semua manusia tanpa mengira bahasa, warna kulit dan bangsa mempunyai kedudukan yang sama di sisi Sang Pencipta. Tidak ada satu bangsa yang lebih mulia ke atas bangsa lain kerana warna kulit atau bahasa semata-mata.

Faktor tunggal yang membezakan seseorang dengan yang lain ialah tahap ketakwaan kepada Allah. Hal ini dinyatakan dalam al-Quran, surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sungguh, semulia-mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa, (bukan kerana keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Manifestasi kesejagatan Islam tidak terhad pada perihal sesama manusia semata-mata, ia merangkumi keseluruhan ciptaan Tuhan. Dalam surah Al-Anbiya' ayat 107, Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan tidaklah Kami (Allah) utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai (pembawa) rahmat ke seluruh alam.”

Menurut tafsir Ibn Katsir, alam ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang wujud, selain daripada Allah. setiap angkatan dalam kurun zaman atau generasi juga disebut sebagai alam. Ini meliputi cakerawala, langit, bumi, bintang, manusia, haiwan, tumbuhan, benda dan sifat benda, makhluk berunsur roh atau nyata dan bukan benda, kesemuanya adalah termasuk sebagai alam.

Kerana sifat 'kesejagatan' Islam dan istilah 'Alam' inilah, kita dapat memahami bagaimana utusan terakhir Nabi Muhammad SAW telah diperakukan dalam al-Quran sebagai pembawa mesej kerahmatan ajaran Islam untuk sekalian apa sahaja yang wujud.

Justeru, ajaran Islam diturunkan bukan semata-mata untuk mengemukakan keadilan, kemaslahatan serta jalan keluar kepada permasalahan bani manusiawi, tetapi meliputi segenap aspek kehidupan termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan, alam sekitar dan sebagainya.

Sekiranya seluruh Rakan Siswa Yadim dapat memahami dan menghayati mesej kesejagatan Islam dalam dakwah mereka, saya cukup yakin dan percaya mereka mampu menjadi agen kebaikan di kalangan mahasiswa seterusnya menjadi qudwah hasanah (contoh ikutan terbaik) di lapangan universiti dan ummah umumnya.

Lebih dari itu, RSY mampu menjadi pemegang taruh di kalangan anak muda mahasiswa dalam mempromosikan konsep pendekatan Islam yang 'rahmah' melangkaui segala perbezaan sama ada warna kulit, bahasa, bangsa dan agama dalam realiti kemajmukan Malaysia.

Barang harus diingat, saya bercakap dalam konteks dakwah adik-adik RSY di kampus. Dengan menghayati Islam sebagai sebuah ajaran bersifat sejagat inilah, akan lahir para pendakwah yang manis mukanya, lembut dan bijak tutur katanya, berhikmah dan penuh hemah dalam tindakannya, tegas dalam santun tegurannya, mesra dan disenangi pergaulannya serta penuh cinta dan kasih dalam jiwanya.

Hal ini seterusnya dapat memadamkan api doktrinisasi perkauman dan keagamaan yang sempit, penuh kebencian, prejudis dan memecahbelahkan.

Semoga dakwah RSY dapat benar-benar menjiwai sifat alamiyah Islam itu sendiri dan bertindak sebagaimana peranan merealisasika gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dipikul Nabi Muhammad SAW.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah anggota exco Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen