malaysiakini logo
story-image
ADS

Di Malaya ini - kalau dalam dunia seninya - yang paling senang dijual ialah seni khat, atau jika kita mahu, boleh juga disebut sebagai seni tulisan Jawi.

Jika semua orang tahu bahawa Jawi ialah duit, maka rasanya langsung tidak akan ada orang yang akan membantah pembelajarannya di mana-mana pun juga.

Pasaran seni Jawi melangkau ke seluruh dunia. Lihatlah saja bagaimana China mengeluarkan dan mengeksport seni khat ke serata alam selama ini.

Khat yang kamu beli daripada budak Pakistan yang menjaja itu, datangnya dari China. Yang digantung di dinding rumah kamu itu, yang kamu jadikan hiasan dengan harapan untuk kelihatan lebih Islamik daripada jiran kamu itu, datangnya dari China.

Jawi ialah duit. Sungguh!

Kamu ke Mekah dan membeli cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenangan. Rantai kunci, hiasan cermin kereta dan sebagainya. Jika terdapat tulisan Jawi padanya, maka besar kemungkinan ia datang dari China.

Berjuta manusia yang ke Mekah dan pulang membawa cenderamata (yang bertulis Jawi) ke negara masing-masing.

Kami percaya kamu mungkin tidak akan tahu betapa besarnya nilai perniagaan tulisan Jawi ini kalau pun kamu mahu tahu.

Tertulis di batu nisan

Jadi kamu hanya perlu percaya kepada kami apabila kami katakan bahawa nilainya ialah berbillion dolar setiap satu.

Jawi ialah duit. Percayalah.

Lihat saja bagaimana pelancong dari China - yang mencuri-curi mencari makan di banyak pasar malam - mengambil upah menulis nama kamu dalam tulisan Jawi yang berunsur China. Mereka akan selalu dikerumuni ramai orang.

Tidak menang tangan beliau menerima tempahan.

Jawi ialah duit. Yakin dan hadamlah itu.

Lihat bagaimana seorang lelaki Cina di negara kita yang kerjanya ialah mengukir tulisan Jawi di batu-batu nisan. Beliau tidak henti-henti menerima tempahan sehingga ada masanya ada tempahan yang terpaksa ditolak.

Beliau mengatakan bahawa kini tidak ada lagi yang berminat melakukan kerja yang dia buat. Bayangkan betapa ruginya suatu perniagaan yang sentiasa ada pelanggan itu dibiarkan mati tanpa nisan.

Harus diingat bahawa batu nisan orang Islam yang ditulis Jawi oleh seorang Cina tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap mayat yang ditanam.

Kerana itu orang Islam tidak kisah pun siapa yang menulis nisan mereka, hatta jika ia ditulis dengan kaligrafi Cina sekalipun, ianya bukanlah satu dosa.

Ada mantra kena hafal

Jawi adalah duit. Ratibkan ini dan nescaya kamu akan dapati ianya akan dipeluk ramai manusia.

Berbalik kepada dunia seni lukis. Dua pelukis tersohor negara, Mat Nor Mahmud dan Husin Hourmain menjadikan khat sebagai subjek karya-karya mereka.

Cikgu Mat Nor memilih ayat-ayat al-Quran, sementara Husin pula hanya menggunakan huruf-huruf Jawi. Kamu lihat bagaimana hasil kerja mereka dipandang tinggi dan dijual pada harga yang tidak murah.

Kemudian kamu bayangkan pula bagaimana jika ada seorang - atau lebih - pelukis India di negara kita, misalnya, menjadikan Jawi sebagai subjek utama karya mereka.

Dapatkah kamu bayangkan penghargaan yang akan beliau terima serta bagaimana karya itu akan menjadi rebutan banyak pihak?

Tentu sekali beliau tidak akan memberi percuma hasil titik peluhnya itu, dan seperti yang kami katakan, Jawi ialah duit.

Ini adalah mantra yang seharusnya menjadi hafalan semua pihak jika semua orang mahu Jawi diterima balik secara baik.

Semua harus melihat Jawi hanya sebagai alat menjana pendapatan dan ianya adalah alat janaan yang amat menguntungkan.

Bila semua orang telah setuju bahawa Jawi ialah duit maka barulah Jawi akan diterima oleh semua orang.

Segala permusuhan terhadap Jawi akan terhapus. Kepada pejuang tulisan Jawi (yang hanya keluar sebagai 'wira' hanya selepas Jawi diserang), kamu boleh masuk tidur semula.

Tidak perlu takut akan kemusnahan budaya dan tradisi kamu itu kerana kami telah menyelesaikannya apabila kami katakan: Jawi ialah duit.


ABDULLAHJONES ialah orang yang menggunakan tulisan Jawi sebagai tandatangannya sejak 1978.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen