malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya tidak percayai apa yang saya dengar. Hamed melantik saya sebagai sekretarinya. Saya tidak keruan. Sepanjang saya bekerja, tidak pernah mengimpikan sekali pun untuk menjadi seorang sekretari!

Sekretari kepada CEO Dubai Internet City, orang yang paling berkuasa dan paling glamor di Dubai waktu itu. Waktu itu semua orang bercerita mengenai Dubai Internet City yang baru bermula. 2001. Bangunan dalam pembinaan berhampiran istana musim panas Sheikh Mohamad di kawasan yang tiada orang. Jauh lebih kurang 10km dari Dubai.

Hamed hanya mengarahkan kepada saya tanpa bertanya apa-apa kepada saya. Saya senyap dan masih berfikir. Pagi itu saya duduk di kerusi sekretari yang kosong. Hamed terus melepaskan saya dan sibuk dengan tetamu. Kedua rakan dari Amerika dan Sweden terperanjat, sebagaimana saya yang masih tidak percaya mereka ke tempat sekretari dan bertanya kepada saya, apa sudah jadi?

Saya tidak tahu. Arahan Hamed mesti diterima bulat-bulat.

Telefon pun tidak berhenti berbunyi dari satu ke satu. Mahu bertemu dengan Hamed. Saya mula mencari pen dan kertas untuk menulis. Mula-mula tidak dapat membiasakan diri. Nasiblah ada buku temu janji yang disimpan. Nah! Banyak temu janji.

Sambil saya berkemas berkemas dan membetulkan tempat sekretari yang kucar-kacir. Dia sekretari itu meninggalkan tanpa pesan. Hilang begitu sahaja. Saya pun tidak meminta nombor telefon. Dia ada anak kecil, saya faham kenapa dia terus meninggalkan kami.

Hamed keluar dari bilik dan berkata ada hal yang perlu diuruskan. Dia balik lepas pukul empat. Jam baru 10 pagi. Saya terpaksa menjaga pejabatnya. Hamed memandu kereta sendiri walau bertaraf pengarah urusan, CEO dan pengarah kepada lima syarikat. Orang Dubai tidak kisah pasal itu kerana kereta yang mereka miliki kerana semua mahal-mahal.

Kemudian ramai sekretari-sekretari datang bertanya kabar tentang sekretari yang pergi. Saya menjawab tidak tahu dan saya yang mengganti tempatnya. Mereka lagi terkejut. Saya punya jawatan yang lebih tinggi ranking, kini menjadi seorang sekretari.

Sekretari-sekretari itu muda dan cantik-cantik orangnya. Nasib baiklah mereka mudah dipinta tolong dan sama berkemas seketika. Ada dalam lima orang, terdiri dari Arab-arab luar, majoriti dari Lebanon.

Mereka berpesan supaya menelefon kalau ada masalah. Saya berterima kasih pada kebaikan mereka. Rupa-rupanya sama sekretari menjaga kebajikan dan saling membantu.

Saya bekerja sebagai pengurus kanan pembangunan bisnes. Kerja itu pun saya buat. Sibuk untuk mencari rakan niaga Dubai Internet City. AT & T, Singtel dan French Telecom akan datang dua minggu lagi. Pelbagai rancangan untuk memilih dan mengenal pasti.

Iklan di akhbar Arab

Bila waktu makan tengah hari ada seorang lelaki menghantar makanan untuk saya. Lega kerana saya tidak boleh meninggalkan pejabat. Dalam bilik utiliti sudah lengkap dengan peti sejuk, tempat memasak dan bahan makanan seperti limau dan epal. Begitu rapi Hamed menjaga makan, dia sedang diet.

Saya bersolat dalam pejabat.

Telefon terus berbunyi. Dari merata dunia. Semua mahu bertemu Hamed Kazim. Saya ambil nama dan nombor telefon dahulu. Saya tidak tahu apa kerja dan tugasan Hamed. Ada yang bercakap lama dengan saya. Ada bercakap sekejap. Ada mengomel dengan pelbagai suara.

Selepas Asar Hamed kembali. Dia memanggil saya.

Dia berkata, “Kamu pandai menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Kamu rakyat Malaysia yang sopan serta amanah, kuat kerja, diligence dan suka menegur sesiapa sahaja. Kamu sesuai untuk menjadi sekretari sementara!”

Dia memuji. Saya lega bila disebut sementara.

“Saya bekerja seperti biasa?” tanya saya.

“Ya, seperti biasa. Tetapi kamu dahulukan kerja sekretari ini sebab saya tiada di pejabat. Saya banyak syarikat. Sementara itu kamu iklankan kerja kosong sebagai sekretari!”

Saya akur dengan kerja sementara dan mencari sekretari baru.

“Iklankan di semua akhbar Arab sahaja tidak kira di mana!”

Saya tahu kerja mencari sekretari bukan mudah untuk orang seperti Hamed. Dia memilih sekretari yang pantas dan pintar. Di semua akhbar Arab dalam dan luar negara. Tiba-tiba rasa gembira kerana dapat berkenalan dengan pelbagai sekretari.

“Saya bangun sebelum solat subuh untuk tahajud. Kemudian ke masjid. Lepas itu berjoging. Terus ke pejabat. Pukul 12 saya dan isteri-isteri saya. Lepas Asar ke pejabat sampai sepuluh malam. Awak boleh balik bila saya balik!”

Wow! Hamed Kazem seorang yang menjaga displin begitu rupa. Isteri-isteri. Ada berapa isteri?

“Jangan lupa saya ada empat isteri!”

Saya terkejut!

Bersambung...


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Berkaitan:
Telekom Malaysia tidak endah
Arab mabuk
Pengerusi media Arab yang mabuk
Al Mankhool
Di Dubai tahun 2000
Di kota Riyadh, sebentar bekerja
Dubai Internet City: 20 tahun berlalu

Lihat Komen