malaysiakini logo
story-image
ADS

Kegilaan apakah yang dialami oleh seorang manusia bernama Donald Trump? Mencintai peperangan, menipu dalam percakapan dan fakta serta bertindak tanpa batas undang-undang dan peraturan. Benarlah kata-kata ‘ikut hati mati, ikut nafsu lesu’. Inilah kerosakan yang sedang dialami oleh Amerika Syarikat (AS) dan tempiasnya kepada dunia seluruhnya.

Trump, dihina dan dikeji bukan sahaja lawan malah kawannya sendiri dari Parti Republikan. Trump bukan berusaha membawa Amerika hebat semula sebagaimana tema kempen pilihan raya yang dibawanya pada 2017, tetapi kini seperti membawa Amerika kepada kemusnahan. Sayang seribu kali sayang, lebih 380 juta rakyat Amerika sedang ditipu dan diperdaya oleh Trump, pengganas nombor satu dunia.

Mengapa Trump dianggap pengganas?

Pertama kerana tindakan membunuh Mejar Jeneral Qassim Soleimani, panglima perang dan strategik Iran. Pembunuhan yang dilancarkan dalam keadaan tergesa-gesa, tanpa memikirkan akibatnya kepada Iran, dunia, kemanusiaan mahupun rakyat AS sendiri.

Membunuh panglima tentera sebuah negara bermakna ‘perang’. Hanya yang gila sahaja akan membunuh utusan negara atau individu penting bagi sesebuah negara. 

Fikirkanlah, jika yang dibunuh itu adalah setiausaha negara Amerika, Mike Pompeo atau jeneral tentera Mark A. Miley, pastinya Iran atau mana-mana negara yang melakukan pembunuhan tersebut akan lunyai dibom AS dan sekutunya.

Apa yang lebih kelakar ialah apabila Trump dalam ciapannya kepada dunia mengatakan bahawa pembunuhan itu adalah untuk melahirkan kestabilan di rantau Asia Barat. Cubalah buka mata semua, mana ada satu pun negara yang diserang AS berada dalam keadaan aman dan maju jaya. Afghanistan jadi seperti padang jarak padang terkukur. Iraq dan Syria terus bergolak dan huru-hara. 

Hanya vietnam yang sedikit baik itupun setelah puluhan tahun. Maka, jika alasan Trump ialah untuk membawa kestabilan di Asia Barat, ia hanya kata-kata teroris yang cuba menutup kerosakan yang dilakukannya.

Perlu diingat, sesuatu perbuatan dianggap tindakan keganasan apabila mempunyai motif politik, menggunakan keganasan dan serangan ke atas sasaran awam. 

Jelas dalam insiden serangan ke atas Qassim Soleimani, ia dilakukan dengan motif politik Trump untuk mengancam Iran dan mengalihkan tumpuan rakyat AS dan masyarakat umum daripada kes pemecatannya yang sedang dibawa ke perhimpunan dewan Senat Amerika.

Kedua, Trump mengarahkan satu tindakan pembunuhan dengan menggunakan dron melalui justifikasi oleh beliau sendiri. Ketiga, walaupun Trump mengarahkan pembunuhan seorang komander tentera, ia dilakukan ketika Qassim Soleimani berpakaian biasa dan di lapangan terbang. Ia satu keadaan yang boleh dianggap menyerang masyarakat awam dan di tempat terbuka. 

Ia jelas menyalahi Protokol 1 Konvensyen Geneva (Artikel 52) yang melarang serangan ke atas nyawa dan aset awam.

Ini berlawanan dengan tindakan Iran yang dilihat lebih mematuhi konvensyen Geneva berkaitan peperangan. Justifikasi yang diberi Iran ialah itu tindakan mempertahankan diri. Kedua, ia menyerang kem tentera di Irbil dan Al-Asad, dan ketiga, kedua-dua kem ini adalah dimiliki dan dihuni secara total oleh tentera AS. Mengikut justifikasi ini, tindakan Iran dilihat lebih beretika.

Malah Iran juga melalui kementerian luarnya menghantar surat makluman kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan mempertahankan negaranya daripada ancaman AS. Berbeza dengan Trump yang bukan sahaja tidak memaklumkan kepada PBB, malah kongres AS juga tidak diberitahu terlebih dahulu.

Melihat sejarah, Hitler, Genghis Khan mahupun Daesh mempunyai kecenderungan yang sama, iaitu memusuhi kebudayaan dan memusnahkan kebudayaan negara atau kawasan yang dicerobohinya.

Tempat kebudayaan termasuk dalam 52 sasaran ke atas Iran yang diumumkan Trump. Kalau semua sasaran adalah aset tentera masih boleh diterima, tetapi ini adalah pusat kebudayaan. Undang-undang mana yang membenarkan serangan sedemikian rupa? 

Tetapi apa yang pasti, ia adalah perbuatan terroris sepertimana yang dilakukan Daesh terhadap patung Bamiyan, Hitler memusnahkan rumah-rumah ibadat dan Gengkhis khan yang membakar buku-buku.

Teroris besar bernama Trump ini pastinya akan melahirkan lebih banyak teroris. Dasar-dasar luar yang gila dan terang-terangan menyebelahi Israel akan menyuburkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap AS. Serangan pembunuhan Qassim akan melahirkan lebih ramai ‘pejuang jihad’ yang sedia melakukan ‘syahid’ untuk membalas dendam.

Malah di Iraq, sentimen benci terhadap keberadaan tentera AS sedang meluap-luap. Malah AS telah dipersilakan keluar dari Iraq sendiri. Ini merupakan malu besar kepada sebuah negara kuasa besar ‘Uncle Sam’ ini.

Sekatan yang maha hebat akan dikenakan AS ke atas Iran. Ini adalah satu kekejaman dan bakal melahirkan penderitaan. Akhirnya akan lahirlah lebih ramai teroris dan kumpulan yang bencikan AS dan berusaha mencapai motif politik dan mengembangkan ideologi ganas ini. 

Ia bukan sahaja berlaku di Iran dan Iraq, malah berpotensi untuk berlaku di AS sendiri.


MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen