malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu ini saya meneruskan sambungan tulisan yang muncul akibat heboh-heboh yang ditimbulkan oleh abu mayat Chin Peng. Kali ini saya akan cuba merungkai heboh-heboh yang mengatakan bahawa Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah. Untuk saya pandangan Tanah Melayu tidak pernah dijajah British hanya datang dari mulut Mamat Bebal dan Abdul Bangang. Amin.

Ada daya kerja memesong dan memadam sejarah Tanah Melayu? Apakah ada niat gelap di belakang kerja bebal dan usaha bengong memesong, mengkabur dan memadamkan sejarah Tanah Melayu ini?

Bebal? Bangang? Bengong?

Betulkah mereka yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebagai bebal, bengong dan bangang? Ini satu tuduhan yang amat keterlaluan. Ini sikap angkuh dan kurang sopan. Apatah lagi sosok-sosok yang mengumumkan bahawa Tanah Melayu kita ini tidak pernah dijajah oleh British memiliki pangkat derajah kebesaran bergelar datuk, tan sri, atau tun. Dan ada yang berketayap memakai jubah profesor.

Di sini Hishamuddin Rais menjawab: Betul mereka ada pangkat derajah kebesaran. Betul mereka ada ijazah berjela-jela. Betul ada yang bergelar profesor. Tapi bukan bermakna jika nama ada tersangkut datuk, tan seri atau tun atau berpangkat bergelar profesor itu menjadikan mereka kebal dari menjadi bodoh dan bangang. Pangkat, ijazah dan darjat bukan kalis bodoh dan bangang. Bodoh, bengong dan bangang tidak mengenal siapa tun, tan sri atau profesor. Amin.

Kenapa mereka yang berpangkat dan sudah jadi profesor mereka masih lagi bangang, bengong dan bebal? Inikah sosok-sosok yang bergelar profesor yang diheboh-hebohkan sebagai profesor kangkung? Apakah mereka membebel kerana meroyan dan membebel adalah budaya perangai polis pencen? Jawapannya tidak. Bukan kangkung dan bukan budaya perangai polis pencen.

Mereka ini lebih manai dari kangkong. Lebih haprak dari polis pencen. Jangan hina polis pencen. Sesekali polis pencen boleh diajak menebang buluh untuk mengganti tangga surau. Kalau bukan profesor kangkung dan bukan polis pencen, siapa mereka ini?

Keturunan mana, suku mana?

Jawabnya: Mereka ini adalah Mat Carma dan Minah Carma. Siapa mereka ini. Carma ini apa? Keturunan dari suku mana?

Carma ialah istilah yang diperkenalkan oleh Pak Samad - sasterawan rakyat - penulis novel Salina dan Daerah Zeni. Carma ialah singkatan cari makan. Pak Samad menyebarkan konsep cari makan ini untuk kita sesama memahami apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Istilah carma dimunculkan oleh Pak Samad agar kita dapat memahami kenapa ada kelakuan bangang dan bodoh di sekeliling kita. Atau kenapa ada sosok yang melakukan sesuatu yang tak masuk akal.

Sejarah Tanah Melayu ingin dipesongkan kerana carma? Biar betul.

Betul. Kalau dikaji maka kita akan mendapati bahawa carma ini ialah ajaran Marxis. Cari makan ialah pekerjaan. Pekerjaan ialah asas untuk hidup. Bekerja ialah membuat. Dari pandangan kaum Marxis membuat adalah asas wujudiah manusia. Evolusi manusia yang bermula dari Lembah Sungai Zambezi di Afrika bermula dengan membuat sesuatu untuk cari makan. Hakikatnya carma ini amat penting. Amin.

Pada 9 September 2011 Profesor Zainal Keling dilaporkan berkata bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Pada 17 September 2018 Profesor Tan Seri Khoo Kay Kim pula membuat kenyataan yang sama.

Kenyataan dua profesor ini muncul kerana Mat Sabu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina askar Melayu. Mat Sabu telah menobatkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Dari takrifan Mat Sabu serangan pasukan gerila Parti Komunis Malaya yang dipimpin oleh Mat Indera terhadap rumah pasung Bukit Kepong sebagai sasaran adalah tindakan yang wajar. Ini kerana pada ketika itu – 23 Februari 1950 – rumah pasung itu adalah rumah pasung Inggeris. Pegawai risikan pada ketika itu ialah HW Straithairn yang bersarang di Pagoh. ASP Muar ialah seorang mat salih bernama Brain Edwards. Mat Salih inilah yang menjadi kepala kepada anak anak muda Melayu yang menjadi mata-mata upahan.

Jangan lupa sejarah. Konsep balai polis ini baru muncul. Perkataan dan istilah balai polis dimunculkan dalam tahun 60-an. Nama asalnya ialah rumah pasung. Rumah pasung adalah pemahaman asal Bani Melayu terhadap bangunan yang memasung para pejuang kemerdekaan.

Tuan orang putih

Jangan lupa ketika serangan Bukit Kepong berlaku yang diserang bukan terhadap polis tapi mata-mata. Mata-mata ialah konsep dan istilah asal Bani Melayu terhadap sosok upahan yang memerhatikan orang kampung untuk tuan orang putih mereka.

Begitu juga perkataan dan istilah SB ini baru mucul. Nama asal SB dari Bani Melayu ialah mata-mata gelap. Mata-mata gelap amat tepat. Berbeza dari mata-mata terang yang menjaga rumah pasung.

Istilah dan perkataan anti-Inggeris dan bersifat melawan ini sengaja dipadamkan. Perkataan dan istilah ini tanda kebijaksanan Bani Melayu mewujudkan istilah antipenjajah dan antikuasa tetapi dilihat sopan. Bani Melayu tidak memanggil mata-mata Inggeris sebagai anjing suruhan atau dalam Bahasa Inggeris running dogs. Khalas.

Mat Sabu yang kini presiden Parti Amanah Negara merangkap menteri pertahanan telah membetulkan fakta sejarah kemerdekaan dalam satu ceramah di Markas Tarbiah PAS Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011. Ceramah ini disampaikan 10 hari sebelum apa yang dipanggil Hari Kebangsaan.

Untuk Mat Sabu analisisnya cukup senang. Sila tanya berapa ramai pemimpin United Malays National Organisation yang dimasukkan ke penjara atau dibunuh kerana menentang Inggeris. Atau sila namakan siapa dari pemimpin Parti Ketuanan Melayu ini yang bangun menentang Inggeris.

Hingga ke hari ini tidak ada seorang pun dari satu juta lebih ahli parti United Malays National Organisation yang dapat mematahkan hujah Mat Sabu. Amin.

Tetiba satu Tanah Melayu heboh dengan berita abu mayat Ching Peng. Tetiba hal merdeka, penjajah dan komunis muncul kembali.

Pada petang Krismas 24 Disember 2019, Tun Haniff Omar berucap di satu perhimpunan bekas soldadu dan askar di Padang Merbok. Dalam perhimpunan ini Tun Haniff telah juga mengulangi ayat yang sama: Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. British datang untuk membantu raja Melayu memajukan Tanah Melayu. Ucapan Tun Haniff ini telah dilaporkan oleh semua portal dan media. Kah, kah, kah.

Ucapan Tun Haniff ini bertujuan untuk membakar semangat askar dan polis pencen yang sedang ‘naik minyak’ apabila abu Chin Peng dibawa pulang ke Setiawan tempat tanah tumpah darah

Pakar Utusan dan RTM

Ong Boon Hua. Babak abu Chin Peng ini menjadi heboh dan dihebohkan kerana ada badak berendam dalam baldi. Ada mamat menakung nira dari kencing tupai. Ada yang menangguk udang dari pasar Chow Kit.

Saya mengambil tiga sosok – Haniff, Zainal dan Khoo - yang secara terbuka telah menolak Inggeris sebagai penjajah Tanah Melayu. Untuk mereka Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

Saya tidak akan bertanya dari sekolah umum mana Khoo dan Zainal belajar, dari universiti apa mereka mendapat ijazah? Saya juga tidak akan bertanya bagaimana Hanif boleh memakai tali leher merah putih setiap hari Rabu. Semua ini tidak penting. Semua ini hanya tokoh tambah untuk menyedap selera.

Apa yang saya yakin ialah tiga sosok ini diikat oleh carma. Carmalah yang memunculkan mereka. Carmalah yang memaksa mereka mengeluarkan pandangan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

Khoo dan Zainal dikatakan pakar sejarah. Ini kerana mereka menjadi cikgu mengajar sejarah di universiti. Untuk saya kepakaran mereka tahapnya hanya tahap pakar Utusan dan pakar RTM. Kenapa Utusan dan kenapa RTM?

Hanya Utusan milik United Malays National Organisation yang sentiasa bersedia membuat laporan berita dan memungut pandangan mereka tentang sejarah. Hanya RTM dibawah kuasa United Malays National Organisation yang memaparkan wajah dan komen mereka tentang sejarah Tanah Melayu.

Tetapi sosok-sosok ini dianggap tokok sejarah tanah air kita. Mereka dianggap jaguh sejarah. Tokoh? Kita semua adalah tokoh. Kita semua memiliki ketokohan untuk menjadi apa yang kita mahu. Sabenarnya tidak ada apa-apa penemuan sejarah yang menakjubkan yang keluar dari kepala bana mereka. Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak tahu apakah Datuk Zainal dan Tan Seri Khoo memiliki Jaguh untuk bercada-canda sebagai hobi masa lapang mereka. Kah, kah, kah.

Dalam konteks budaya politik Malaysia kalau kamu memiliki pandangan yang berbeza atau tidak sealiran dari pandangan United Malays National Organisation maka carmakamu akan susah. Silap hari bulan kamu masuk penjara. Jauh sekali untuk mendapat derajat datuk, tan sri atau Tun.

Jika kamu dari Bani Cina dan tidak membodek dan tahu kuasa hegemoni United Malays National Organisation maka carma kamu akan ketat payah dan sempit.

Justeru kesahihan fakta data sejarah, kajian yang profesional, hormat diri, keilmuan sahih tidak penting kerana yang berkuasa ialah United Malays National Organisation boneka kuasa kolonial Inggeris. Apabila mengumumkan Tanah Melayu tidak pernah dijajah, ini bermakna perjuangan para nasionalis dari Kesatuan Melayu Muda, Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya dan dari Parti Komunis Malaya hanyalah keganasan yang sia-sia. Ucapan dan kata-kata dari sosok-sosok ini menjadi habuan merdu untuk telinga tikus United Malays National Organisation. Senang cakap ini membodek Umno untuk cari makan. Amin.

Bagaimana pula dengan Tun Haniff? Sosok ini tidak jauh bezanya dengan mata-mata di rumah pasung Bukit Kepong pada tahu 1950. Mereka adalah mata-mata upahan kuasa kolonial Inggeris. Anak anak muda Melayu direkrut oleh Inggeris sebagai mata-mata atau menjadi special constable (SC).

Rais bin Manaf kawan sakelas Shamsiah Fakeh di sekolah Pondok Lebai Maadah di Juaseh Batu Kikir, ayah kepada Hishamuddin Rais juga direkrut oleh Inggeris untuk menjadi SC. Arwah ayah saya juga carma dengan kuasa kolonial. Bezanya arwah ayah saya direkrut untuk jadi mata-mata Inggeris. Haniff Omar direkrut oleh Inggeris untuk menjadi mata-mata United Malays National Organisation. Amin. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen