malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Saya resah sepanjang jalan ke hotel memikirkan bagaimana saya harus membayar minuman keras Putera BD. Mungkin berpuluh, mungkin beratus atau mungkin beribu. Bergantung kepada jenis dan gred minumannya. Dia berkeras suruh saya membayar.

Saya tidak tahu apa perlu di buat. Dia memandang saya dengan mata merah sepanjang jalan.

Kami tiba di hotel yang mahal bayarannya kerana ia hotel terbesar di UAE. Saya memastikan dia berdaftar, dia hanya duduk di kerusi empuk. Semua hal diuruskan oleh saya.

Setelah selesai saya mahu membawa ke biliknya.

Dia enggan dan menyuruh saya mencari bar. Baru pukul enam pagi. Semua kedai tutup. Dia berjalan mencari. Satu pun tidak buka. Dia marah dan meradang.

Saya menelefon AK untuk memberitahu hal yang sebenarnya. AK terdiam dan menyuruh saya mengikutinya. Saya akur.

Akhirnya Putera BD masuk ke bilik dengan tidak puas hati. Saya pulang untuk tidur sekejap. Selepas bangun kembali di hotel lebih kurang pukul sebelas. AK sudah ada menanti Putera BD bersiap.

Kami menunggu sambil berborak. Saya baru tahu AK pernah dua tahun bekerja di Malaysia. Dia bercerita dengan gelak semasa bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa di Malaysia. Dia pernah belajar di Universiti Harvard. Lama di Amerika. Dia sudah bercerai dengan wanita Amerika.

Saya dipanggil untuk menyediakan makan tengah hari di sebuah kompleks yang terkenal untuk meraikan Putera BD. Gadis Palestin RS sudah ada. 

Wafi Mall, tempat makan tengah hari kami

Kami berkejaran untuk menempah sebuah meja dengan 12 kerusi untuk Putera BD dan para pengurus media. Saya merasakan kemesraan RS. Rupanya dia anak kepada seorang rakyat Palestin yang kaya-raya di Dubai. Dari namanya, dengan menyebut nama keluarga, sudah cukup untuk memperkenalkannya. Saya bertanya adakah dia anak kepada tokoh Palestin itu. Dia hanya mengganguk.

Saya terkesima. Dia masih belum berpunya kerana belajar di Harvard dan London, mengambil PhD.

Dalam pukul 12 tengah hari mereka pun tiba kecuali Putera BD dan AK. Semuanya Arab dan RS seorang perempuan. Bercakap dalam bahasa Arab sesama mereka. Saya terkebil-kebil untuk memahaminya. Kemudian Putera BD dan AK pun tiba. Hanya AK seorang Arab tempatan, yang lainnya Arab dari pelbagai negara, ramainya dari UK.

Pelayan datang bertanyakan tentang minuman. Seorang demi seorang meminta minuman keras yang mahal. AK bertanya kepada saya, tak nak minta minuman keras?

Saya menggeleng, hanya oren.

AK ketawa. Dia bercerita di Malaysia dia pernah menerima hadiah satu tong minuman keras sempena tahun baru Cina. Dia minum satu tong semalaman hingga tidak sedar dan cuti seminggu. Semua ketawa. Dia terus bercerita dia minum hari-hari.

Dia berpaling pada saya.

“Kenapa tidak minum. Orang Islam di Malaysia, kawan-kawan saya juga minum!”

Saya diam. Tidak tahu hendak cakap apa. Apakah benar kata-kata itu?

Dalam makan tengah hari itu diumumkan syarikat media itu sanggup berpindah ke Dubai dalam masa enam bulan. Semua bergembira. Tambah lagi minuman keras. Semua mabuk dan bergembira.

Syarikat media terbesar Arab itu tidak perlu membayar apa-apa, satu sen pun. Semua peralatan dan teknologi dibeli baru dengan duit dari kerajaan Dubai. Peralatan yang mereka ada memang sudah lama sejak ditubuhkan. Syarikat dari London itu membayar secara ansuran dua tahun kemudian. Semua staf akan dibawa dari London untuk yang mahu ikut, kalau tidak mereka mencari staf baru.

Dalam diam RS memberitahu saya, dia hanya meminum wain segelas. Dia tidak mabuk seperti orang lain. Dia bersetuju dengan saya yang tidak minum dan dia berkata, segelas wain itulah yang terakhir dia minum. Dia menghormati saya berkeras tidak minum minuman keras. Dia mahu ikut saya untuk tegas dengan pendirian.

Saya tersenyum.

Makan tengah hari itu tidak berakhir di situ. Mereka mengajak pada waktu malam untuk bersantai di sebuah bar. Minum-minum sepuas hati.

Saya mengikut dan dengan RS minum oren. Semua Arab lain minum minuman keras. RS duduk berdua dengan saya sambil bercerita dan menghantar saya pulang awal.

Hampir setiap minggu kami pergi ke bar.

Syarikat media terbesar Arab itu meminta satu bangunan yang diperuntukkan untuk syarikat-syarikat. Kami bersetuju. Lebih mudah membeli peralatan baru yang lebih canggih. Kami bermesyuarat tiap hari dan ke bar di malam hari.

Dalam pada itu CNN mula menunjukkan minat untuk pindah ke Dubai Media City. Saya diarahkan berbincang dengan CNN untuk mengetahui teknologi dan apa perlu dibuat. CNN bersetuju peralatan yang baru untuk melawan media terbesar Arab itu.

Kemudian pelbagai syarikat media yang terpaksa saya hubungi. Staf masih empat orang. Saya bekerja keras untuk memastikan semua orang gembira.

Ada 20 buah syarikat yang mula tawarkan untuk pindah. Dubai Media City menjadi topik panas dan ramai mahu beralih untuk kawasan baru yang serba lengkap.

Saya rasa gembira dan bekerja lebih gigih. Walau pertama kali berjawatan ketua kejuruteraan. Banyak yang saya dapat dari kawan-kawan di TV3 Malaysia. Saya pengurus IT di bahagian kejuruteraan.

Dalam masa sebulan, Hamid Kazim, CEO Dubai Internet City memanggil saya.

You ada masalah dengan CEO Dubai Media City?”

Saya berterus terang.

“Dia kaki minum!”

Hamid Kazim segera menyuruh saya untuk pindah ke pejabatnya. Dia faham masalah saya. Saya merasa lega dan sangat berterima kasih. Saya memberitahu AK yang terkejut, kehilangan ketua kejuruteraan. Dia duduk lama dan bertanya saya adakah saya mahu mengikuti arahan itu. Saya berkata, ya.

Saya menemui RS. Dia lagi terperanjat, saya beritahu sebab saya pindah di suruh Hamid Kazim. RS menangis kerana sedih. Dia berkata kerja saya terlalu singkat, banyak lagi saya boleh buat. Banyak yang kami berdua telah siap untuk dikerjakan.

Saya ketawa sahaja.

Bermulalah kerja saya sebagai pengurus kanan pembangunan bisnes, sama seperti RS!

Bersambung...


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Berkaitan:
Pengerusi media Arab yang mabuk
Al Mankhool
Di Dubai tahun 2000
Di kota Riyadh, sebentar bekerja
Dubai Internet City: 20 tahun berlalu

Lihat Komen