malaysiakini logo
story-image
ADS

Saudara,

Hamba sudah mendengar bicara tuan di balik dinding. Tiadalah hamba sempat meneka atau menilik maksud sebenar bicara tuan hamba itu.

Hanya hamba berfikir jurus, tidaklah hamba berfikir banyak untuk menulis warkah ini yang tiada beralamat.

Tiadalah arif hamba berfirasat tentang ketawa tuan hamba kehilangan kuasa. Jauh sekali untuk meragui keikhlasan tuan hamba ketawa.

Tiadalah hamba kecewa tuan hamba hilang jawatan atau turun kedudukan dari singgahsana kuasa.

Hal ini kerana tuan hamba sudah jauh melangkau segala hulubalang Melaka yang ada. Sudah rezeki tuan hamba begitu.

Bukankah ramai juga hulubalang Melaka terliur kehilangan peluang menjadi menteri? Sedangkan tuan hamba juga maklum bahawa ada dalam kalangan mereka mempamerkan segala jasa dan senarai korban dalam perjuangan yang panjang ini.

Tuan hamba hanya berada di gelanggang kuasa tidak lebih sepurnama. Bukankah sebelum ini tuan hamba bergelar sarjana dan berlegar soal teori dan kata? Bukankah saudara sebelum ini, banyak melontar kata di khalayak media tentang good governance?


Baca Pesanan Usman Awang buat cendekiawan


Semalaman hamba mengulang-ulang rakaman bicara tuan hamba itu. Betapa tuan bersetia pada sumpah janji pahlawan Melayu kepada tuannya.

Betapa rapuhnya sultan memperhitungkan nilai nyawa hambanya. Betapa susilanya para pembesar Melaka berbicara soal keadilan.

Biar seluruh anak dara Melaka menangis hingga penuh tujuh tempayan untuk dipersembahkan kepada baginda sultan. Biar seluruh hati nyamuk di belah-belah hingga setinggi puncak Gunung Ledang.

Harus hambakah Jebat itu?

Sudah seratus Jebat yang derhaka. Sudah seratus Jebat yang hilang nyawa. Sudah seratus Jebat yang berakhir di pusara. Sudah seratus.

Tiada cukup lagikah maka perlu ada seratus Jebat lain yang harus diangkat menjadi korban demi satu kesetiaan?

Tiadalah hamba faham makna setia yang tuan hamba ungkapkan itu. Sudah banyak juga kitab dan tuan guru yang hamba pelajari dan belajar. Tiadalah hamba khatam bab setia kepada ketua.

Tiadalah hamba bimbang menjadi Jebat. Jebat tetap akan lahir dan bangkit, biar atas nama sesiapa pun. Tiadalah juga hamba khuatir tuan hamba kekal setia bagai Hang Tuah dengan tuannya.

Hanya hamba bimbang akan terlerai ikatan setia persaudaraan dan persahabatan demi kuasa. Itu sahaja maksud warkah ini disuratkan.


DR MUHAIMIN SULAM ialah aktivis politik, dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen