malaysiakini logo
story-image
ADS

Baru-baru ini selepas Sidang Kemuncak KL 2019, ada sebuah negara yang dilaporkan sentap kerana kurang dilibatkan sama telah membebel di belakang. Analoginya seperti seorang budak selekeh yang tidak tahu melakukan kerja berkumpulan ketika kelas pengajian. Jika Sidang Kemuncak KL hujung tahun lalu berusaha mencari jalan pembangunan ummah. Budak selekeh yang sudah bertahun-tahun menerajui OIC (Persidangan Negara Umat Islam) kelihatannya mencari jalan untuk merobohkan.

Terdapat laporan bahawa atase agama di sebuah Kedutaan di Kuala Lumpur, di satu konvensyen anjuran sebuah kumpulan pro-Saudi berleter; yang ajaran Syiah adalah cabaran terbesar kepada umat Islam.Kenyataan tersebut basi. Nasi basi. “Perbezaan antara Ahli Sunnah dengan Syiah bukan membabitkan soal Fiqiyyah semata-mata, tetapi juga antara haq dengan yang batil,” demikianlah kata ulama basi seperti dilaporkan Berita Harian. Kenyataan ini dipetik ketika ulama nasi basi berucap di Konvensyen Ilmu Sunnah Peringkat Kebangsaan oleh Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu). Dan, sebagaimana yang kita maklum, Ilmuadalah entiti rapat Umno. Ahh Umno lagi.

Masalah dengan budak selekeh ialah mereka mahu umat Islam percaya ia adalah wakil umat Islam. Sedangkan nama budak selekeh itu sendiri hanyalah nama sebuah puak padang pasir, wakil sebuah bani yang kecil.

Ini mengingatkan saya kepada catatan-catatan Ali al Wardi, seorang sosiologis Iraq yang berpengaruh. Ali al Wardi sebetulnya adalah pakar solusi masyarakat yang diraikan. Cuma beliau, yang kurang dikenali di rantau sebelah kita kerana kurang sekali terjemahan karyanya. Al Wardi ada menyebut begini:

I believe Muhammad was nobler than that; his great message was not to establish the supremacy of one person or tribe over others. Rather, he was a social revolutionary and criticized his own people before criticizing others.”

Maksudnya lebih kurang adalah Nabi Muhammad itu kerjanya untuk mengangkat keunggulan setara, tanpa perlu ada satu manusia atau satu puak itu berasa lebih baik dari yang lainnya.

Nabi Muhammad mengkritik bangsanya sendiri sebelum pergi jauh, iaitu bangsa Arab. Jika ada satu bangsa yang mula-mula melawan Nabi Muhammad, bangsa itu bukan bangsa Melayu, atau Jawa, bukan juga Bugis atau Mamak, bahkan bukan Parsi, apatah lagi Jepun. Yang mula-mula melawan Nabi Muhammad adalah bangsa Arab, kerana baginda itu seperti kata Ali al Wardi, seorang “revolutionary”.

Tetapi apalah kaitan budak selekeh dengan revolutionary?

Inilah masalah budak selekeh di penjuru kelas yang kebetulan bapanya kaya, dan boleh menabur duit banyak kepada PIBG. Begitulah analoginya. Mereka terlupa ajaran Islam adalah seperti kata Ali al Wardi, “to liberate human beings from the circumstances that enslave them”, untuk memerdekakan manusia dari keadaan-keadaan yang memasung dan menghambakan mereka.

Perut Melayu kecil

Masalah budak selekeh ialah mereka menawarkan nasi basi. Hidangan itu ditawarkan dengan beberapa ekor kambing gurun dan kibas yang bergolekan. Kemudian ada Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu), yang perasan masih ada yang akan tergiur dengan nasi basi dan kambing bakar golek ini. Mereka lupa, Melayu makan sedikit sekali kerana perut Melayu kecil, dan Melayu banyak bersembang sambil makan, dan pulang untuk berpantun. Melayu dulu Lebai Malang. Melayu sekarang, pandai sedikit selepas Sidang Kemuncak KL 2019.

Ulama yang mengomel hal sektarianisme seperti di atas; sesuai diperi gambaran oleh Ali al Wardi, si sosiologis terkemuka Iraq itu. Yang menurut al Wardi, inilah rupa perangai ulama yang mengerat-ngerat bacaan mengikut selera mereka yang basi, berteriak ke sana sini di tempat awam, tanpa melakukan renungan dan penyelidikan mendalam.

Kata al Wardi, “they picked out paragraphs and interpreted them as they saw fit, and rushed to public places shouting […] It is time for them to learn that the time of crying has already passed, replaced by the time of careful reflection and methodical research”.

Padahal Sidang Kemuncak KL 2019 telah cuba melampaui semua itu. Dan budak selekeh, serta Ilmu? Mereka ingin kembali ke belakang lagi. Masuk ke dekad belakang yang sudah kita tinggalkan.

Budak selekeh telah diberi peluang mengetuai dunia Islam melalui OIC. Kita semua tahu ketidakupayaan budak selekeh. Mereka banyak wang, budak selekeh di sudut yang bapanya banyak wang, tetapi hanya mampu menangis dan berteriak bila disuruh memimpin kelas. Mereka, budak selekeh telah gagal melakukannya. Itu sebab pengawas dalam kelas seperti Turki berasa bosan. Dan Malaysia, “budak pandai” dalam kelas berasa tiada keperluan menurut ketua kelas yang bebal begini.

Ketidakupayaan budak selekeh terlihat dengan cara mereka mengurusi Makkah dan Madinah. Kota-kota suci itu agak besar tetapi ketiadaan roh. Kamu boleh melihat Paris Hilton di situ tetapi apakah warisan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang masih ada? Di manakah kediaman Saidina Umar atau Saidina Abu Bakar yang kita agungkan untuk dihayati? Mana ada. Bahkan, wanita kita yang singgah di Madinah untuk dua hari tiga malam mengikut pakej umrah akan hanya berpeluang menjengah raudhah sekali; demikian tidak efisien. Mereka yang cuba menghimbau sirah Nabi dengan memanjat bukit untuk tiba di Gua Hira akan disambut sampah sarap. Jika Makkah dan Madinah di tangan Dr Mahathir, kita akan merasa turun naik ke puncak bukit dengan tren furnikular cap DAP ala di Bukit Bendera. Budak selekeh gagal. Nasi basi.

OIC di tangan Saudi

OIC di tangan mereka juga gagal. Juga nasi basi. Siapakah misalnya yang membawa kes Rohingya ke Mahkamah Antarabangsa? Gambia. Negeri kecil. Anggap Gambia budak kenit di dalam kelas yang benar-benar memberi perhatian kepada guru, dan juga bosan dengan sang selekeh yang banyak menceceh. Masalah-masalah dunia Islam di tangan OIC yang dipimpin Budak Selekeh itu hanya tinggal menjadi basi. Itulah sebabnya Sidang Kemuncak KL 2019 menyatakan dengan jelas, kami bosan.

Itulah sebabnya Erdogan, pemimpin Turki yang dijulang-julang kerana himbauan Othmaniyyah nya berani mengatakan begini:

We will have the opportunity to talk freely about our issues, from Islamophobia to terrorism, divisions, internal fights ravaging our region, and sectarian and ethnic conflicts. We still haven’t made any progress regarding the Palestinian cause, we still can’t stop the exploitation of our resources, we still can’t say ‘stop’ to the fragmentation of the Muslim world over sectarianism, that’s why.”

Erdogan secara mudahnya mengatakan masalah yang banyak dunia Islam selama ini tidak terungkapkan, sebabnya apa? Sebabnya ada budak selekeh tukang buli yang bapanya kaya menyogok PIBG. Inilah ilmu yang mesti diterokai Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu). Bahawa orang bosan makan nasi basi.

Ulama dengan lauk dan nasi basi seperti ini adalah ulama yang menghidang kemalasan dan keberakan. Kita terpesona dengan kambing golek Badwi tetapi kita lupa ia boleh mengakibatkan kita cirit-birit. Justeru satu formula untuk menilai ulama yang suka merepek begini adalah dengan menggunakan tips yang diberikan sosiologis Iraq, Ali al Wardi.

Kata Al Wardi, “the clerics represent religion in people’s minds, and with every bad thing they commit they demolish religion without knowing. Humans interpret things at facevalue, and religion became entrusted to the clerics, so if they become untrustworthy, then religion goes down with them. To God, the greatest sin is to do the opposite of what is said. I do not mean to say that all clerics are of this sort. Fairness requires us to admit there are a number of truly pious and decent people among them. I know a lot of those, and I have found them to be of the revolutionary sort, committed to reform, just like the disciples of the Prophet, however they are silent and their problems are because of their silence.”

Makanya berdasarkan tips ini kita tahu, satu, ulama yang cakap tidak serupa bikin harus kita jauhi. Kedua, ulama yang mendorong kepada keruntuhan ummah seperti sektarianisme harus kita hindari. Ketiga, ulama yang tidak adil dan bercakap sepihak harus kita nyahkan. Keempat, Juga ulama yang diam seribu bahasa apabila ummah didorong nasi basi harus pula kita kutuki.

Hari ini masalah umat Islam memang banyak. Tekanan dari kuasa imperialisme sangat besar. Akan tetapi apakah yang budak selekeh dan Pertubuhan Ilmu lakukan untuk melawan imperialisme dan penindas jahanam? Mereka menakut-nakutkan umat dengan perkara tiada, membakar rasa yang menjelakkan seperti perkara mazhab, sambil membodohkan kita dengan hal-hal kecuaian kita yang kononnya dibesarkan. Bak kata Ali al Wardi, “our preachers let the opulent oppressors do what they like, concentrating their attention on the people to count their mistakes and make their lives miserable with the fear of God”. Mereka kekal menggunakan formula basi, menyebarkan mitos kejahatan Syiah, sambil memetik sumber itu ini yang amat basi. Basi. Sungguh basi.

Selepas Sidang Kemuncak KL

Kepada Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu) sudah-sudahlah makan nasi basi, sektarianisme adalah nasi basi. Budak selekeh dengan gagasan basi adalah nasi basi. Kita sudah masuk tahun 2020. Sektarianisme adalah menu basi dekad lalu. Sudah-sudahlah menyuruh kita layan hidangan basi.

Apa pesan Ali al Wardi, sosiologis Iraq, mengenai mereka yang menabur racun basi sektarianisme?

“Sectarianism is not religious, but rather an aspect of attachment to a sect or a specific person. Thus the sectarian, in his zeal, is not concerned with the spiritual or moral principles of his sect, as these are beyond his faculties. All he is concerned with is his inspired feeling of loyalty towards his group and animosity against others. In other words, he perceives his sect exactly the same way the Bedouin regarded his tribe”.

Selepas Sidang Kemuncak KL kita sudah belajar. Kepada budak selekeh, berhentilah mengacum umat Sunni dengan umat Syiah. Sektarianisme bukan satu belahan agama. Ia bukan kerohanian. Jangan campurkan kemazhaban sebagai suatu tunjang keimanan. Ia adalah perpecahan. Ia adalah kepercayaan diri benar. Rasulullah SAW ajar kita bersatu. Yang basi ini perangai padang pasir. Perangai gurun. Perangai barbarik. Kerja menghasut adalah kerja syaitan. Kerja munafik.

Kita mohon kepada Allah untuk dilindungi dari kerja-kerja basi perpecahan ala Dajal seumpama ini. Kita sudah jadi budak pandai. Kita ingin belajar dan bergabung dengan kepandaian yang lain. Kita sudah bosan dengan budak selekeh.

Biar budak selekeh seorang di sudut. Makan nasi basi.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen