malaysiakini logo
story-image
ADS

Berita yang mengejutkan kami ialah peletakan jawatan Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malek. Saya membaca berulang kali kerana dialah satu-satu menteri yang saya hormati sebagai kawan dan ahli politik. Dia lebih muda dan saya mengikuti langkah-langkah beliau dengan minat sebagai menteri.

Saya tidak ingat sejak bila berkenalan dengan beliau kerana strok, mungkin sejak menjadi presiden Akademik UIA tidak silap. Beliau selalu datang ke Dubai untuk berhenti seketika dalam perjalanan ke USA atau sebagainya.

Beliau ada menghantar emel beberapa kali tentang saya di Dubai. Saya rasa gembira seseorang seperti Dr Maszlee yang baik dan kontemporari boleh berkenalan dengan saya. Saya pada mulanya agak sukar menerima orang seperti beliau ada mengikuti tulisan-tulisan saya yang tersiar di berapa akhbar, majalah dan penerbitan Internet.

Beliau ada beberapa kali menghubungi sebelum dan selepas menjadi menteri. Kemudian kerana kesibukan telah terhenti. Saya terus mengikuti arah perjalanan dan kepimpinan beliau yang saya admire sejak mula.

Saya sempat bertemu Dr Maszlee di UKM dalam satu majlis sastera tahun lepas. Saya tidak dijemput walaupun orang sastera. Pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan sembilan Hadiah Sastera Utusan, selain ratusan karya yang yang tersiar. Pengarah DBP pun tidak kenal walau berjumpa. Tetapi tidak mengapa, saya sering dipulaukan dan telah menjadi kebiasaan.

Beliau bertanya tentang penyakit strok yang saya hadapi. Saya menjawab seperti biasa menyampaikan rasa gembira dapat bertemu dengannya. Pertemuan itu agak bersejarah apabila beliau sudah menjadi menteri dan saya seorang biasa di tanah air sendiri. Pulang pun demi terpaksa oleh sakit strok.

Jawatan menteri pelajaran adalah jawatan yang berat dan perlukan komitmen yang tinggi. Tiada menteri pelajaran di zaman BN yang bertaraf doktor falsafah sepertinya. Apalagi di kalangan yang mempunyai kelulusan agama. Dr Maszlee adalah seorang yang pintar dan bijak. Kebetulan seperti saya, ada darah Cina yang mengalir di tubuhnya.

Kebetulan saya sudah menjadi OKU disebabkan strok. Saya reda dengan nasib yang menimpa dan berfikiran terbuka. Dengan penekanan Dr Maszlee terhadap pelajar OKU semakin saya berminat untuk mengikuti kepimpinan beliau. Beliau menghabiskan banyak masa terhadap kanak-kanak OKU dan kurang upaya.

Saya telah mengikuti program ijazah sarjana di UIA di bahagian Pengurusan Halal sejak September lalu. Saya rasa agak bertepatan dengan Dr Maszlee yang menjadi menteri dan saya sebagai seorang pelajar walau lebih berusia. Malah seorang lagi kawan, Dr Daud Bakar menjadi presiden UIA.

Saya melihat senario ini sebagai satu masa yang tepat. Saya tidak dipanggil bekerja kerana OKU dan saya menghabiskan masa dengan mengikuti pelajaran universiti yang saya tinggalkan hampir 40 tahun dahulu. Sedikit sebanyak dapat memberikan intelligen saya berkembang walaupun penyakit lupa masih lagi 40 peratus setelah terkena strok.

Saya terus mengikuti Dr Maszlee dengan pembelajaran khas terhadap anak murid yang OKU. Beliau memberitahu kepada wartawan yang beliau mahukan murid-murid untuk menanam sifat-sifat cinta dan saling hormat dalam pendidikan yang terlalu obses dengan gred dan kedudukan. Saya memuji langkah beliau yang jauh ke hadapan. Pendidikan kita ke belakang dalam soal ini. Asyik ibu bapa kepada kedudukan anak-anak dengan sekolah berasrama penuh dan kecemerlangan hingga lupa soal-soal yang murni.

Anak-anak saya bertiga telah melalui sistem pelajaran British di Dubai. Saya boleh melihat kelainan yang ditunjukkan. Bukan kedudukan yang ditayangkan tetapi nilai kasih sayang sesama insan. Mereka bekerjasama dan saling membantu untuk pencapaian. Anak-anak saya tidak membuat homework di rumah dan asyik bermain sahaja.Tiada kerja rumah dan relax memanjang.

Saya tidak banyak komplen kerana itulah pembelajaran yang sebaik-baiknya. Tidak perlu kedudukan dengan banyak A apabila anak-anak tidak dapat menghirup keistimewaan kanak-kanak sepenuhnya. Anak-anak saya bergembira dan saya berpuas hati biarpun mereka mendapat kesemua A dalam pelajaran.

Sekolah berasrama juga dipenuhi oleh murid-murid yang ditatang oleh ibu bapanya. Anak-anak miskin terus terbiar dan tidak berpeluang untuk mengikuti pelajaran.

Dr Maszlee juga menyeru pentadbiran universiti jangan terlalu obses pada ranking dan lebih melahir graduan yang berintegriti dan diterima sosial oleh masyarakat. Kita sudah ada puluhan universiti untuk graduan-graduan yang tiap tahun muncul sebagai ahli masyarakat. Bagaimana kedudukan mereka yang berpuluhan ribu? Khabarnya 60 peratus mengganggur setelah berada di universiti.

Dalam tahun 2019 sebanyak 526 kelas untuk kanak-kanak keperluan khas dibuka bagi matlamat polisi zero-rejection. Ada sebanyak 88,419 pelajar istimewa, muncul selepas 83,498 di tahun sebelumnya.

Tahun lepas 75 sekolah baru untuk MBK dengan murid-murid seramai 10,200. Pada tahun lepas juga 2,636 pelajar tanpa dokumen lengkap naik ke sekolah.

Selain pendaftaran pelajar miskin dan berpendapatan rendah seramai 51,191 orang. Semakin mendadak bilangannya.

Lebih dari itu, pelajar miskin B40 seramai 38,282 berjaya memasuki universiti selepas beliau memperkenalkan laluan khas untuk pelajar B40 ke universiti awam. Beliau terus memperuntukkan RM68.1 juta biasiswa untuk pelajar B40 ini. Ditambah kuota 60 peratus untuk mereka masuk ke sekolah berasrama penuh dan matrikulasi.

Inilah yang kita harap-harapkan akan terus berada di kalangan kita. Bukan mereka yang sudah senang lenang dengan kebendaan dan keduniaan. Masuk sekolah seperti VIP dengan mak bapa dipimpin masuk dan dilayan.

Sebagai seorang yang datang dari golongan ini saya merasa sistem pendidikan kita masih jauh untuk menengahkan anak-anak miskin dan kurang upaya. Saya kurang bernasib baik tidak ke asrama penuh tetapi lebih menyenangkan untuk duduk di kampung.

Dr Maszlee juga membentuk jawatankuasa untuk melihat pembelajaran Orang Asli dan keperluan murid-murid MBK di sekolah dan pengajian tinggi. Di waktu berhenti kerja beliau turut bekerja untuk menukar undang-undang menjadikan pembelajaran sekolah satu kemestian ke peringkat menengah. Selain pihak yang tidak mendapat privilige, beliau juga fokus untuk menambah baik universiti awam, promosikan kebebasan akademik dan intelek yang autonomi.

Banyak lagi yang di lakukan oleh Dr Maszlee selama 20 bulan lalu selain kasut hitam. Dua puluh bulan terlalu sekejap dan tidak adil menuding jari kepada beliau, bukan mudah mengubah penjawat awam yang sudah biasa dengan pencapaian tidak seberapa. Apalagi kementerian beliau mendapat belanjawan terbesar yang perlu pentadbiran yang berhemah.

Saya berharap pengganti beliau mengutamakan OKU, orang miskin dan kurang upaya yang kembali mencari hero. Tidak tahu lagi apakah pengganti beliau akan meneruskan kerja-kerja tersebut. Walau dari segi kelulusan saya tetap memandang tinggi terhadap Dr Maszlee!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen