malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu lalu saya menulis tentang abu mayat Chin Peng. Dalam tulisan itu saya menerangkan bahawa abu Chin Peng hanyalah manifestasi daripada pekara induk yang lebih besar.

Ada gajah di belakang tempayan. Tapi telinga tak nampak. Mata tak dengar. Kaki tak sepak. Mulut tak bingar.

Pada hemat saya ada tiga pekara induk yang melahirkan heboh-heboh tentang abu mayat Chin Peng.

Pertama: sikap antikomunis. Kedua: percubaan untuk mengubah dan memesong sejarah. Ketiga - pekara yang selalu saya timbulkan - persoalan nasional yang masih belum, belum selesai.

Pada pandangan saya tiga pekara induk itu kait-mengait. Agak susah untuk dipisahkan antara satu dengan lain. Walau apa pun saya akan cuba merungkainya satu per satu.

Saya rasa masanya telah sampai untuk satu pencerahan tuntas dihamburkan kepada khalayak, kepada pembaca dan kepada anak semua bangsa untuk menjadi makanan minda.

Saya menolak kata-kata yang selalu kita dengar: Sejarah ditulis oleh yang menang. Untuk saya, sejarah ditulis oleh orang yang menulis sejarah. Sejarah umat manusia ini belum begitu lama berbanding umur Bumi yang telah melintasi 4 bilion tahun.

Dulu bayi perempuan kena tanam

Bumi wujud lebih awal daripada kita, umat manusia. Justeru jangan terlalu angkuh. Amin.

Sistem kenegaraan, sistem kerajaan - termasuk yang super moden hari ini - masih muda lagi. Negara bangsa yang wujud hari ini belum melintasi 400 tahun, malah konsep Malaysia belum mencecah 100 tahun.

Idea tentang demokrasi, kebebasan individu, hak asasi, sistem ekonomi kapitalis, sistem ekonomi sosialis - semuanya masih muda. Perjalanan sejarah umat manusia masih baru.

Contoh terbaik di Saudi Arabia. Hari ini wanita masih boleh memandu kereta dengan bebas. Pada satu ketika dulu di negara Arab itut bayi peremuan ditanam hidup-hidup.

Justeru sistem ekonomi kapitalis pun baru. Idea sistem ekonomi sosialis pun baru. Pertempuran antara sistem ekonomi kapitalis dengan sistem ekonomi sosialis belum selesai. Sama ada disedari atau tidak - hakikatnya pertempuran dan perlawanan antara dua sistem ekonomi itu sedang berjalan.

Buku – The End Of History and The Last Man (1992) – tulisan Francis Fukuyama itu hanyalah rumusan awal. Malah wajib disunting kembali kerana buku itu terlalu cepat terpancut membuat keputusan tentang kemenangan kapitalisme. Walhal perjalanan sejarah umat manusia masih belum selesai.

Sistem ekonomi kapitalis bermula dengan Revolusi Industri pada kurun ke-16. Bermula dengan penemuan tenaga bakar arang batu dan wap dalam lingkungkan 1760. Sistem kapitalis – pasaran bebas – yang kita ketahui hari ini bermula tidak lebih dari 200 tahun dahulu.

Sayugia diberi tahu bahawa pemikiran sosialis dan komunis muncul untuk menjawab sistem ekonomi kapitalis. Wajib juga saya beritahu bahawa teori dan pandangan Karl Marx (1818 -1883) dalam Das Kapital ditulis pada 1867.

Kesatuan kaum buruh, First International - yang mengajukan sistem ekonomi sosialis - bermula pada 28 Sept 1864. Manifesto Komunis muncul pada 21 Feb 1848. Semuanya baru.

Dari kelas bangsawan

Wajib juga saya memberitahu kepada yang mahu tahu bahawa dalam gerakan komunis dan sosialis antarabangasa wujud sosok Bani Melayu yang memainkan peranan penting.

Nama sosok itu ialah Sutan Ibrahim Gelar Datuk Sutan Malaka. Sama saperti Che atau Chin Peng atau Tito, nama perjuangan sosok ini ialah Tan Malaka (1897-1949).

Tan Malaka ini sama seperti Mikhail Alexandrovich Bakunin (1814-1876) iaitu pemula, pemikir dan pengerak politik anarkis dari Rusia. Mereka berdua ini datang dari keluarga kelas bangsawan. Mereka meninggalkan kelas atasan untuk bersama kaum buruh dan tani. Amin

Tan Malaka aktif dalam gerakan kaum buruh antarabangasa - Third International - yang mula wujud pada 1919. Dalam gerakan kiri antarabangsa Tan Malaka memberi pandangan kiri dari kaca mata anak negara tanah jajahan Nusantara.

Tan Malaka

Malah mengikut fakta sejarah di Congress Third International di Kolkata satu sosok wakil Parti Komunis Malaya (PKM) turut hadir. Sosok itu ialah Musa Ahmad yang juga pengerusi PKM.

Jangan buat-buat tidak tahu. Jangan buat-buat tak faham. Jangan buat-buat lupa. Pengerusi PKM ialah Musa Ahmad anak Melayu lulusan sekolah agama Al-Mashoor Pulau Pinang. Khalas.

Apa yang ingin saya paparkan di sini ialah Bani Melayu wujud bersama gerakan kiri, gerakan sosialis dan gerakan komunis antarabangsa. Malah politik kiri, politik komunis dan politik sosialis bukan sesuatu yang asing dalam sejarah politik Bani Melayu.

Anak segala bangsa hari ini wajib diberitahu bahawa perjuangan kemerdekaan dan slogan "Merdeka" muncul dari fikrah dan hati sanubari gerakan Melayu kiri Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada 1938. United Malays National Organisation (Umno) hanya ditubuhkan pada 1946 dengan slogan Hidup Melayu.

Ada termuntah, ada tercirit

Parti Hidup Melayu - United Malays National Organisation - tidak menyokong garis merdeka KMM kerana Bani Melayu belum pandai membuat jarum.

Bani Melayu tidak pandai membuat jarum ini bukan penglipur lara hasil tulisan Hishamuddin Rais, tapi petikan kata-kata dari ucapan Onn Jaafar, pengasas dan presiden pertama parti United Malays National Organisation. Amin

Perlu juga saya rakamkan di sini bahawa ahli dan penganut fahaman kiri sosialis dan komunis yang terbesar dalam dunia - di luar blok Soviet Union - wujud di bumi Melayu di bawah payung Parti Komunis Indonesia (PKI).

Apa yang ingin saya paparkan di sini ialah, idealogi komunis, idea kiri dan idea sosialis itu bukan asing dalam budaya fikrah Bani Melayu.

Jadi, jika fahamam kiri bukan asing, kenapa apabila saja disebut komunis, sosialis atau kiri maka ramai akan terkejut meronta-ronta seolah-olah dirasuk polong? Ada yang muntah tercirit-cirit dan terus meroyan tak habis-habis.

Perlu disedari bahawa sikap antikomunis ini bukan hanya berlaku di Tanah Melayu. Di mana sahaja wujud sistem ekonomi kapitalis maka akan diwujudkan sikap antikomunis, antisosialis dan antikiri. Kenapa?

Jawabannya cukup senang: Sistem ekonomi sosialis adalah jawaban kepada sistem ekonomi kapitalis. Apa yang berlaku dalam dunia hari ini adalah manifestasi pertempuran dua idelalogi – kapitalis dan sosialis.

Bernie Sandres

Di Amerika kita terbaca nama Bernie Sanders. Di United Kingdom kita terbaca nama Jeremy Corbyn. Kita mendengar nama Syariza di Greece. Kita terbaca nama Pandemos di Sepanyol. Malah di semua negara Eropah parti komunis - atau lebih pop dengan nama CP - masih wujud.

Kini gerakan kiri bercantum dan bersegama dengan gerakan hijau – atau gerakan alam sekitar - seperti di Belanda dan di Jerman.

Apa makna semua ini? Semua ini adalah manifestasi sahih yang membuktikan bahawa pertempuran idealogi kapitalis dengan sosialis masih berjalan. Saban hari pertempuan ini semakin hebat.

Justeru kaum pemodal dan kaum kapitalis secara tersusun dan teratur telah menabur ketakutan kepada anak semua bangsa tentang bahaya komunis dan sosialis.

Anak semua bangsa wajib ditakutkan degan hantu komunis. Dengan hantu sosialis. Hinggakan DAP di Malaysia ini dianggap komunis. 

Menganggap DAP ini parti kiri dan beridealogikan komunis samalah seperti menerima Vincent Tan sebagai imam besar Masjid Negara. Kah kah kah.

Hamba abdi lawan feudal

Di Tanah Melayu sikap antikomunis ini ditanam secara tersusun oleh kuasa kolonial Inggeris. Perang saraf yang mereka lakukan bertujuan memfitnah idealogi komunis dan sosialis. Semua dilakukan kerana ekonomi.

Kuasa kolonial Inggeris memuggah harta kekayaan dari Tanah Melayu. Bijih timah, getah, kayu-kayan - semuannya dirembat dan dibawa pulang ke London. Buruh didatangkan dari China dan India.

Apabila wujud buruh maka berlakukan hukum sosial yang telah ditunjukkan oleh Karl Marx.

Menurut padangan Marx kaum buruh dan kaum pemodal memiliki kepentingan yang berasingkan dan berlawanan. Maka dari sini wujudnya kontradiksi. Ini adalah pandangan dan pegangan hukum sosial kaum kiri. Kotradiksi daripada dua puak yang bertentangan akan memuculkan perlawanan.

Malah semua perang dalam dunia ini berlatarbelakangkan perlawanan merebut ekonomi. Merebut punca punca ekonomi seperti tanah pertanian, bahan galian atau bahan bakar petroleum.

Selagi wujud sistem ekonomi kapitalis umat manusia akan terus berhadapan dengan perang. Ini hukum sosial kaum kiri dan kaum komunis.

Perang muncul kerana kontradiksi kumpulan yang berlawan kepentingan. Kaum tani melawan tuan tanah. Hamba abdi melawan kaum feudal. Kaum feudal dilawan oleh kaum kapitalis. Dan kaum kapitalis dilawan oleh kaum buruh dan kaum tani.

Kaum tani dan buruh disusun oleh gerakan kiri dan komunis. Ini hukum sosial perjalanan tamadun umat manusia. Hukum ini tidak pernah berubah dan tidak akan berubah.

Di Tanah Melayu kuasa kolonial Inggeris terpaksa menentang kaum buruh. Dalam sejarah Tanah Melayu yang terkhusus, kaum buruh pada era penjajahan datang dari Bani China. Bani Melayu ketika itu masih bertani.

Perang saraf dan propaganda British dengan licik menggambarkan bahawa gerakan antikolonial ini adalah gerakan Bani China. Hanya Bani China yang jadi komunis.

Maka tertanam hingga ke hari ini pekara karut-marut yang mentakrifkan bahawa China itu komunis dan komunis itu China.

Dari sinilah lahir sikap antisosialis dan antikomunis. Propaganda antikiri ini masih tebal hingga ke hari ini. Justeru abu mayat Chin Peng adalah manifestasinya.

Hakikatnya dalam gerakan kiri, dalam PKM dan dalam gerakan sosialis di Tanah Melayu wujud pemuka-pemuka yang bukan dari Bani China.

Anak semua bangsa ditindas oleh penjajah. Dengan hukum sosial pemimpin kaum tertindas muncul dari Bani Melayu wujud. Tetapi nama-nama mereka sengaja diketepikan. Sengaja dipadamkan. Siapa mereka ini? Tunggu minggu hadapan. Selamat menyambut tahun 2020.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen