malaysiakini logo
story-image
ADS

Menjadi seorang muslim adalah amat amat susah. Dengan segala suruhan yang perlu diikuti dan ditambah pula dengan segala macam larangan yang perlu dijauhi.

Hari seseorang yang mahu benar-benar mengikut dengan patuh ajaran ini bermula seawal jam lima pagi apabila mereka perlu bersiap dengan membersihkan diri.

Islam menganggap pembersihan diri adalah sebahagian daripada amalan agama lalu setelah itu maka bersegeralah mereka ke masjid atau surau untuk bersembahyang subuh.

Setelah selesai melakukan tuntutan agama tersebut, mereka akan duduk sebentar memuji keagungan tuhan.

Kemudian mereka akan bersarapan dan bersiap untuk ke pejabat.

Di pejabat, jika berkelapangan, mereka disarankan menunaikan pula sembahyang dhuha antara jam 8.30 pagi sehingga sebelum waktu Zuhur.

Ini belum lagi ditambah dengan empat lagi waktu sembahyang lain yang wajib mereka patuhi dan diselang-seli pula dengan sembahyang sembahyang sunat yang mengikut waktu sembahyang wajib tersebut.

Cuba kamu bayangkan betapa sibuknya seorang Islam yang perlu menunaikan sembahyang setiap dua jam setengah setiap hari.

Itu hanya tuntutan dalam bersembahyang. Belum lagi dikira amalan lain. Jika kamu mahu tahu, ada antara umat Islam yang meluangkan masa untuk belajar agama, berzikir, membaca al-Quran dan juga membuat kerja-kerja sukarela agama tanpa mahu dibayar dengan wang ringgit.

Orang Islam yang baik hanya mengharapkan keredaan tuhannya.

Perkara ini tentu saja membawa mereka kepada satu kepercayaan yang dipanggil yakin dengan apa-apa yang ghaib atau di dalam bahasa yang lebih mudah, percaya kepada apa yang tidak nampak di mata.

Orang Islam yakin akan adanya tuhan, adanya malaikat, adanya pembalasan baik dan adanya hari akhirat.

Jauhi kelazatan hidup

Kepercayaan-kepercayaan ini dipegang dengan sepenuhnya sehingga ada antara mereka yang tenang dan tabah dalam menghadapi kehidupan dunia yang mereka percaya sangat sementara ini.

Orang Islam yakin bahawa dunia dan isinya ini akan musnah dan diganti dengan satu kehidupan yang abadi di mana apa saja kesusahan atau juga kesenangan yang mereka miliki hari ini adalah ujian.

Sekiranya mereka lukus ujian yang di sini maka dikehidupan yang satu lagi nanti mereka akan menikmati suatu kehidupan yang teramat nyaman tanpa ada sebarang bandingan.

Segala macam keseronokan dunia adalah jalan lurus menuju ke neraka.

Pendek kata, kehidupan seorang Islam adalah hanya untuk agama mereka.

Tidak ada masa untuk mereka duduk berhibur sambil minum arak. Mereka dilarang keras untuk berjudi. Riba adalah dosa besar yang disebut di dalam kitab mereka. Berzina pula adalah satu perbuatan yang sangat dikeji oleh tuhan.

Tentu saja semua ini akan menjauhkan umat Islam daripada menikmati kelazatan hidup malah terdapat dalam kalangan mereka yang lebih ekstrim yang langsung mengharamkan muzik.

Perempuan mereka pula perlu menutup seluruh tubuh mereka dengan pakaian yang longgar. Menampakan kecantikan batang tubuh mereka adalah suatu perbuatan yang terkutuk.

Petunjuk yang benar

Keindahan tubuh mereka hanyalah untuk seorang lelaki yang perlu diikat dengan perkahwinan. Tidak ada langsung ruang yang diberikan oleh Islam kepada penganutnya untuk bersenda gurau antara lelaki dan perempuan untuk tujuan apa sekalipun.

Mereka disarankan supaya menjauhkan diri sehinggalah mereka itu berkahwin lalu setelah itu semuanya menjadi halal.

Tidak cukup ruang di dalam artikel ini jika kami benar-benar mahu menulis tentang betapa Islam ini adalah satu agama yang memerlukan penganutnya mentaati semua suruhan dan tegahannya secara total dan di atas semua yang kami tulis, umat Islam sangat percaya bahawa mentaati suruhan dan menjauhi larangan hanya dapat dilakukan apabila seseorang itu diberi hidayah atau petunjuk yang benar.

Seseorang yang mahu mentaati atau menjauhi sesuatu perkara diajar supaya berdoa dengan sesungguh hati dan semoga dengan itu mereka akan menjadi seorang muslim yang baik.

Namun begitu tidak ada jaminan bahawa seseorang itu diterima doanya kerana umat Islam percaya semua keputusan adalah di tangan tuhannya.

Tuhan adalah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Sekarang cuba kamu bayangkan dari mana datang kesudian seseorang yang di luar Islam mahu masuk kepada segala macam kesukaran ini.

Tiada lagi jalan untuk mabuk, berjudi, berseronok dengan wanita, memakan untuk yang tidak adil dan sebagainya. Untuk apa mereka masuk kepada kesusahan ini sedang mereka lebih baik berhibur tanpa had.

Belajarlah apa pun jenis tulisan, di jenis sekolah apa sekalipun, jika kesusahan ini dibentangkan kepada mereka kami percaya tidak ada satu orang pun akan ingin memeluk agama Islam.

Jadi kerisauan apakah yang bermain di kepala mereka yang takut kepada kaum atau puak mereka terjun ke dalam Islam hanya kerana di arah untuk mempelajari bagaimana membaca tulisan jawi misalnya.

Takut diislamkan hanya kerana belajar tulisan jawi adalah suatu ketakutan yang tidak berasas kerana jika kamu baca apa yang kami tulis di atas, Islam adalah suatu agama yang payah dan tidak ada orang yang sudi hidup dalam kepayahan bila keseronokan dan untung wang ringgit adalah matlamat kehidupan.

Dan di atas semuanya, kamu tidak mungkin akan datang kepada Islam kerana Islam itu agama pilihan dan hanya dengan hidayah dari tuhan sajalah yang membolehkan kamu menjadi umat kepada nabi yang menjadi sebab segala kehidupan ini dijadikan.

Lagipun, jikalah dengan belajar tulisan jawi menjadikan seseorang itu muslim yang baik, kamu akan dapati tidak ada orang Islam yang makan suap, korup dalam tugas dan melakukan segala macam mungkar yang ditegah oleh agamanya.


Artikel ini dihiasi oleh foto foto dari pameran 'Media Baharu' yang sedang berlangsung di Balai Seni Negara. Karya yang disertakan adalah hasil kerja seniman Sabri Idrus,Yee I-Lan, Hasul J Saidon dan Niranjan Rajah.

Abdullahjones adalah seorang pelukis penulis penyair dan jutufoto amatur yang sedang berusaha untuk menjadi seorang muslim yang taat tapi tak jadi jadi.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis.

Lihat Komen