malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Kami Enggan Jadi Orang Susah, atau KEJOS. Ia sebuah syarikat niaga yang pada bermula daripada minat seorang anak muda yang bagi saya, benar-benar rebel dan rugged dengan keghairahan (passion) pada apa yang dia percaya, iaitu berniaga dan membuat sesuatu yang baru atau lain dari orang lain.

Daripada projek kecil sebagai gerakan indie, hasilnya KEJOS hari ini mampu berdiri sendiri disamping mempunyai jaringan niaga yang saya kira setara perniagaan arus perdana yang lain.

Amat membanggakan.

Perniagaan alat ganti terpakai langka dan vintaj kenderaan bermotor seperti kereta dan motosikal, sememangnya unik dan berpotensi untuk maju. Roy atau nama sebenarnya Rozaihan Rahman yang baru berumur 35 tahun hanya mula berjinak sebagai pelukis air brush untuk motosikal yang menjadi trend satu ketika dulu. Dia kini menjadi pengedar alat ganti kereta dan motor vintaj utama khususnya di Johor.

Saya melihatnya sebagai model usahawan muda yang kreatif dan wajar diangkat dan dijadikan contoh kepada kita semua, bagaimana minat dan kreativiti boleh mendatangkan karier yang bagus.

Ini mengingatkan saya tentang kejayaan usahawan muda yang berinovasi iaitu Brian Chesky, Joe Gebbia, dan Nathan Blecharczyk yang telah berhijrah ke San Francisco untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 2008. Mereka ketika itu berdepan kesukaran untuk menyewa rumah.

Berpunca daripada masalah yang dihadapi, tiga anak muda ini telah mewujudkan AirBnB yang kini dinilaikan sekitar AS$ 35 billion (RM144 billion). AirBnB kini menjadi pesaing utama Trivago dan kebanyakan pemilik-pemilik rangkaian perkhidmatan tempahan hotel besar yang lain.

Saya percaya, budak-budak muda Amerika tidak banyak beza dengan anak muda tempatan yang kreatif dan inovatif. Berdepan kesukaran dan cabaran dalam rutin kehidupan, mereka menggunakan kreativiti untuk mencari jalan keluar sehingga mampu menghasilkan suatu perniagaan yang bukan sahaja kreatif, malah menguntungkan.

Hakikatnya, kesukaran inilah yang menjadi sebab bagaimana kita mula bertindak mencari jalan penyelesaian. Dalam Islam, kita diajar 'inna ma'al 'usri yusra'. Sungguh pada sesuatu kesukaran itu pasti akan ada bersamanya kemudahan atau hikmah kebaikan.

Tanpa meminta-minta

Selain kreatif, anak muda lekas bosan dengan kaedah konservatif untuk berniaga atau menjalankan kerja-kerja rutin yang biasa-biasa. Ramuan dari sikap dan pemikiran sebeginilah maka ekonomi digerakkan dengan cara yang tidak kita sangka. Inilah yang dikatakan ekonomi gig, aktiviti ekonomi yang indipenden, tidak lagi terikat dengan hegemoni syarikat pemodal besar dan arus perdana.

Begitu juga dengan keadaan kita di Malaysia. Rakyat sudah bosan dengan ‘flea market’ yang ‘biasa-biasa’. Saya bukan mahu merendah-rendahkan usahawan lain yang berniaga di pasar malam atau pasar budaya, apa yang saya maksudkan ialah usahawan muda memikirkan cara yang lebih kreatif untuk berniaga agar perniagaan mereka lebih unik dan berpotensi untuk bersaing serta berkembang.

Tidak bermakna kita membeli barangan daripada China, maka kita tidak perlu memikirkan tentang inovasi. Sebaliknya, dengan berinovasilah produk dan perkhidmatan kita akan lebih menarik dan bernilai tinggi.

Begitu juga dengan KEJOS, ia bukanlah perniagaan baru yang menjual barang-barang terpakai, sebaliknya Roy berinovasi dengan kreativiti untuk meletakkan perniagaan dan produknya lebih unik berbanding yang lain.

Lebih menarik, usaha KEJOS ini benar-benar berpegang pada prinsip ‘enggan jadi orang susah’ yang tidak pernah meminta-minta daripada mana-mana pihak untuk memulakan perniagaannya. Beliau bergerak sendirian secara kecil-kecilan, kemudian bersama-sama membangunkan komunitinya, dan kemudian komuniti inilah yang menyokong perniagaannya.

Dari asas ini, perniagaan ini terus diperbaiki dengan meningkatkan kualiti produk disamping melebarkan rakan jaringan perniagaan bukan sahaja dalam negara, malah di Jepun. Jepun kini adalah rumah keduanya. Selain alat ganti terpakai yang diimport dari Jepun, Roy turut membuka perniagaan disana.

Saya sebagai wakil daripada kerajaan melihat ini adalah model terbaik bagi usahawan muda yang sedang berniaga. Saya sendiri merasakan bahawa jika usahawan belia kita dapat membina sikap berteraskan asas-asas yang kuat ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk membantu dan bekerjasama bagi memajukan diri dan perniagaan mereka.

Rebel dan passion

Usahawan muda wajar memikirkan pendekatan perniagaan yang lebih kreatif dan inovatif, malah mereka boleh menggunakan elemen-elemen ‘hijau’ yang mengungguli kearifan lokal, kreativiti, bebas dan berdikari, kos efisien tetapi praktikal. Inilah yang diperlukan dalam dasar kerajaan untuk meningkatkan keupayaan usahawan muda menuju ke era revolusi industri 4.0.

Sehebat mana pun teknologi, ia tetap memerlukan asas yang kuat iaitu bakat manusia itu sendiri. Minat dan keghairahan (passion) amat penting dalam perniagaan. Ilmu dan kemahiran akan datang apabila individu itu mempunyai semangat dan minat dengan apa yang mereka lakukan. Ini attitude yang diperlukan, dalam apa juga bidang, termasuklah dalam politik.

Kerajaan tidak mampu mewujudkan minat dan keghairahan dalam anak muda, sebaliknya merekalah yang perlu menggal. Ibarat kita melakukan ibadah, tiada kemanisan akan dirasai tanpa kita mula untuk beramal dan konsisten dengannya. Biar buat silap, kerana dengan kesilapan kita akan mula memperbaiki diri dan mutu ibadah (perniagaan) kita.

Seperti yang sering saya ucapakan kepada usahawan muda, mereka harus ke depan untuk menunjukkan kebolehan dan kegigihan. Tanpa attitude ini, saya percaya sebanyak mana pun dana yang dicurahkan, ian tidak akan membawa apa-apa erti kepada usahawan dan juga kerajaan.

Attitude rebel dan passion inilah melahirkan keberanian. Dengan cara ini sahaja akan menjadikan seseorang itu tekun dan sabar. Tekun dan sabar ini akan mampu ‘melanggar’ apa sahaja cabaran, kesusahan atau kepayahan dalam perniagaan mereka. Tanpa semangat rebel, tidak akan ada ketekunan. Tanpa ketekunan, tidak akan ada kemajuan.

Rebel bukan maksud menjadi pembangkang atau kumpulan anti-establishment semata-mata, tetapi semangat dan keberanian untuk melakukan pembaharuan dengan apa cara sekalipun. Jack Ma pernah berkata, “Jangan mengaku kalah, hari ini hari sukar, esok akan jadi lebih sukar, tetapi selepas hari esok, akan ada sinar baru.

Tugas saya sebagai exco bukan sahaja untuk melaksanakan tugas-tugas kerajaan kepada rakyat, tetapi yang lebih utama bagaimana kita dapat bekerjasama dan terus bersemangat untuk bekerja demi memastikan kita tidak akan jadi orang-orang yang susah. 


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen