malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebulan dua lalu seorang ahli korporat memberitahu saya, Johari Ghani, bekas menteri kewangan kedua dalam pentadbiran Najib Razak sekarang “bekerja” dengan jutawan terkenal Syed Mokhtar Albukhary.

Tidak memeranjatkan jika diambil kira pembabitan dan pengalaman Johari dalam arena korporat iaitu sebelum beliau menjadi menteri.

Tapi oleh kerana beliau masih aktif dalam Umno (dan kerap mengkritik kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad) , “berita” beliau “bekerja” dengan Syed Mokhtar agak memeranjatkan kerana jutawan berkenaan boleh dianggap akrab dengan perdana menteri untuk sekian lama.

Dan sebagai ahli perniagaan, Syed Mokhtar perlu menjalin hubungan baik dengan government of the day.

Lantas bagi saya berita itu menarik tetapi pelik. Namun apa yang dimaklumkan kepada saya kurang tepat. Bukan tidak benar tetapi saya ulangi kurang tepat .

Baru-baru ini The Edge Malaysia menyiarkan laporan mengenai Johari.

 Johari Ghani

Wartawan yang menyediakan laporan itu, Jose Barrock menulis sejak pertengahan tahun ini desas-desus pasaran mengatakan Johari adalah partner atau rakan niaga Syed Mokhtar dan beliau memegang kepentingan ekuiti lumayan dalam Tradewinds Corp Berhad dan kumpulan syarikatnya.

Tradewinds seperti kita maklum dikuasai Syed Mokhtar.

Barrock berkesempatan menemui Johari tempoh hari dan pada pertemuan singkat itu, kata wartawan The Edge itu, Johari memberitahu beliau sudah lama mengenali Syed Mokhtar dan beliau dengan jutawan berkenaan “adalah kawan baik - tidak lebih daripada itu”.

Johani menafikan beliau adalah rakan kongsi Syed Mohktar tetapi mengakui “saya ada memberi beliau nasihat mengenai urusan perniagaan”.

Johari turut mengaku “ I am a corporate player and I am good at restructuring companies”.

Dalam kata lain Johari mengaku beliau adalah seorang pemain korporat yang bijak atau arif dalam soal penstrukturan semula syarikat .

Ketika artikel ini ditulis, Media Prima Berhad sedang melaksanakan “penstrukturan semula” akibat kerugian yang tidak tertanggung lagi.

Berhentikan pekerja boleh pulihkan Media Prima?

Ini membabitkan memberhentikan khidmat sebilangan besar kakitangannya.

Pemegang kepentingan terbesar Media Prima masa kini ialah Syed Mokhtar hasil perluasan pegangannya beberapa bulan lalu.

Berdasarkan itu dan juga “pengakuan” Johari kepada The Edge, persoalannya ialah adakah khidmat Johari sebagai “pakar penstruturan syarikat” telah digunakan untuk “menyelamatkan” Media Prima?

Syed Mokhtar Albukhary

Dan adakah pemberhentian khidmat pekerja dibuat berpandukan nasihat yang diberi Johari? Berdasar pengakuan Johari yang beliau memberi nasihat kepada Syed Mokhtar seperti yang beliau katakan kepada The Edge.

Wartawan veteran A Kadir Jasin menerusi blognya yang turut disiar Malaysiakini, berkata maklumat yang beliau perolehi “menjurus ke arah meletakkan Johari sebagai pemain belakang tabir yang penting dalam beberapa urusan besar korporat”.

Beberapa contoh dihuraikan Kadir. Tapi buat artikel ini saya sekadar memetik hujah Kadir mengenai Media Prima.

Johari menurut Kadir dikatakan mempunyai peranan besar dalam penyusunan semula perniagaan Media Prima “di mana dia bertindak sebagai pakar pemulihan atau turnaround expert”.

A Kadir Jasin

Malah kata Kadir lagi beberapa wartawan Media Prima mengesahkan bahawa ada di kalangan mereka telah dipanggil berbincang dengan Johari mengenai masa depan dan hala tuju kumpulan itu termasuk pengecilan bilangan kakitangan.

Jika ini benar tentu Johari sudah merangka strategi bijak. Itu anggapan natural. Namun persoalan yang saya ingin ajukan ialah adakah dengan memberhentikan sebilangan besar boleh memulihkan Media Prima?

Seperti yang kita tahu ini bukan kali pertama Media Prima bertindak mengecilkan bilangan kakitangannya. Sudah beberapa kali sebelum ini pemberhentian kakitangan dilakukan atas nama retrenchment Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Bersama (MSS).

Jelas itu semua tidak berhasil. Apa tidaknya kerana jika langkah itu berhasil mengapa pengecilan kakitangan terus dilaksanakan? Lalu perlu ditanya juga mengapa langkah sedemian tidak membawa manfaat yang diharapkan?

Dan adakah langkah memberhentikan kakitangan kali ini akan membawa kejayaan yang diidam- idamkan? Ini kita cerita di lain hari, di lain artikel. Insya-Allah.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen