malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Minggu lalu saya menulis tentang dasar 18BU – Boleh Undi. Ini dasar baru kerajaan Pakatan Harapan (PH), warga yang melintasi umur 18 dibenarkan mengundi. Dasar baru dikahwinkan dengan dasar mendaftar secara automatik. Ini satu kejayaan Pakatan Harapan melunaskan janji untuk memperluaskan ruang demokrasi. Syabas.

Dalam masa yang sama saya memberi ingatan akan bahaya umur muda. Ini saya kaitkan dengan hantu ekstremis agama dan hantu ekstremis perkauman yang sentiasa menunggu di belakang pintu. Ini hakikat realpolitik bumi Tanah Melayu. Kita semua wajib menghadapi realpolitik ini dengan hati yang tabah cekal dan dibantu oleh fikrah yang rasional dan ilmiah.

Saya telah menulis tentang persoalan nasional yang belum selesai-selesai. Manifestasi dari persoalan nasional yang belum selesai ini ialah sikap tidak mahu menerima ‘yang lain’ Dalam konteks Malaysia. Maknanya Bani Melayu enggan menerima Bani Cina dan Bani India sebagai rakyat Tanah Melayu. Perasaan ini wujud walau pun cuba digelapkan.

Manifestasi dari hujah saya ini sedang kita dilihat dari apa yang berlaku dalam pentas politik sekarang. Lihat bagaimana parti Islam PAS bersekongkol dengan United Malays National Organisation menyebarkan naratif tentang bagaimana PH hari ini adalah boneka dari parti Cina DAP.

Kepada yang rasional dan berfikir akan melihat hujah ini bangang dan tidak masuk akal. Tetapi hujah dan naratif ini tersebar luas. Ada kumpulan yang menerima, ada yang membeli membeli dan ramai sedia menjadi tok peraih untuk terus menjaja kembali hujah ini. Pada hemat saya ini bahaya.

Bahaya besar apabila naratif dan surah ini mula meresapi hati dan sanubari anak-anak muda yang pada ketika ini dalam sekolah menengah rendah. Dalam masa tiga tahun mereka akan turun mengundi.

Dari umur yang begitu rendah dalam dunia yang suci bersih anak-anak sekolah ini telah dicemari dengan usrah jahat dan penuh prasangka. Usrah bentuk inilah yang akan melahirkan perasaan benci kepada ‘yang lain’.

Sikap prasangka ini jika dipupuk akan mewujudkan kebencian yang maha sangat terhadap ‘yang lain’. Maka dari ini lahir sikap perkauman. Memang betul ada unsur-unsur lain yang mewujudkan sikap perkauman tetapi prasangka yang disemai di zaman kanak-kanak akan sedia bercambah mengembang bila suhu cuaca yang tepat sampai.

‘Cool’, pop, ‘chic’ dan ‘sexy’

Sejarah telah membuktikan bahawa fahaman fasis boleh berkembang subur dalam ladang prasangka sedemikian. Malah ketika saya menggarap tulisan ini Eropah dan Amerika Utara sedang berhadapan dengan sikap benci dan tak suka kepada ‘yang lain’.

Justeru apa yang wajib dilakukan?

Kita secara rasional wajib menerima hakikat bahawa ruang demokrasi yang dibuka oleh Pakatan Harapan ini boleh mengarah ke hulu boleh ke hilir. Boleh membawa mudarat. Boleh membawa kebaikan. Apa yang penting ialah jurumudi yang mengendalikan bagaimana ruang demokrasi ini dapat digunakan untuk membawa kebaikan ramai.

Untuk memberi jawapan kepada persoalan apa yang wajib kita buat saya membuka surah Bersih 2.0. Saya mengumpul pengalaman ketika menyusun gerakan Bersih. Agenda Bersih ialah pilihan raya bebas dan adil.

Seorang wanita menghadiahkan bunga kuning kepada seorang anggota polis yang bertugas dalam perhimpunan Bersih 3 pada  31 Oktober 2016

Mengapa Bersih mendapat sokongan orang ramai? Mengapa Bersih berjaya melintasi semua kelas? Dari pak cik Kampung Pantai Dalam ke mak cik Taman Tun ke Uncle Lee di Bukit Tunku hingga ke Datuk dan Datin berumah banglo di Bangsar. Semua menyokong Bersih.

Anak-anak muda dan pelajar turun ke jalan raya untuk bersetiakawan dengan Bersih. Walau ramai antara mereka belum lagi mendaftar atau belum melintasi umur 21 tahun untuk boleh mengundi.

Jawabnya: Bersih menjadi tulang belakang. Dalam tulang belakang semua saraf berkumpul. Saraf buruh, saraf kelas menengah, saraf tauke, saraf Cina, Melayu, India - saraf anak semua bangsa semuanya menyalur masuk ke dalam agenda tulang belakang: pilihan raya raya adil dan bersih. Bersih dilihat masuk akal dan membawa janji yang menjanjikan kepada mak cik, pak cik, uncle dan auntie.

Bersih dilihat cool, pop, chic dan sexy oleh generasi muda. Turun ke jalan raya dilihat counter culture. Kuncinya melawan.

Melawan dilihat cool. Justeru anak muda mahu dilihat cool. Bukan hanya mahu dilihat cool dengan fesyen pakaian. Bukan hanya ditakrif cool melalui muzik yang didengar. Kumpulan pop yang diikuti. Kafe yang dilanggani. Paling afdal anak muda mahu dlihat cool dengan bangun melawan. Bersih membawa perlawanan. Sikap melawan adalah hati nadi anak muda yang sedang mendewasa.

Greta Thunberg, Joshua Wong

Melawan dan mahu mencuba adalah naluri proses pendewasaan. Tak kenal apa dia api elektrik maka ia perlu diusik. Tak kenal rasa rokok maka dicari untuk dihisap. Ini proses pendewasaan yang natural.

Dunia ini akhirnya milik anak muda. Saya tambah lagi - dunia ini akhirnya akan menjadi milik anak muda yang berani mencuba dan berani bangun melawan.

Justeru saya mengajukan dua sosok anak muda yang dilihat cool dan sedang bangun melawan. Semuanya muda semuanya masih dibawah umur ketika mula bergerak aktif menyusun politik jalan raya.

Greta Thunberg lahir 3 Januari 2003, kini berumur 16 tahun dari Stockholm, Sweden. Joshua Wong lahir 13 Oktober 1996, kini berumur 23 tahun dari kota Hong Kong. Dua sosok ini adalah ikon anak muda di seluruh dunia. Dua sosok ini adalah wakil anak muda zaman sekarang. Ini sosok paling cool dan paling chic.

Greta Thunberg

Greta pada bulan Ogos 2018, ketika berumur 15 tahun telah menyusun kawan-kawan di sekolah untuk keluar berdemo di parlimen Sweden. Agenda yang dibawa oleh Greta ialah: pemanasan dunia – global warming. Kini Greta dilihat sebagai ikon anak muda yang bangun untuk menyedarkan para politikus dunia, untuk menyedarkan kaum industrialis dan umat manusia bahawa dunia ini tidak lagi selamat kerana suhu cuaca dunia semakin panas.

Joshua Wong ketika berumur 16 tahun telah menyusun kawan-kawan di sekolah untuk pandai berpersatuan. Pada bulan September 2014 ketika berumur 17 tahun anak muda kecil ini telah menyusun Gerakan Payung – Umbrella Movement di Hong Kong. Ini gerakan menuntut ruang demokrasi dan pilihan raya yang adil. Gerakan ini telah turun ke jalan raya.

Dari Gerakan Payung, Joshua telah memperluas gerakan dan menyusun warga Hong Kong untuk menuntut lebih luas ruang demokrasi. Joshua telah ditangkap dan dipenjara. Keluar dari penjara anak muda ini meneruskan perjuangan.

Pada 25 Mei 2015 dahulu ketika kerajaan Najib berkuasa, Joshua telah ditahan di Lapangan Terbang Pulau Pinang. Dia dilarang masuk ke Malaysia. Joshua dijemput ke Malaysia untuk hadir di beberapa seminar untuk memberi pencerahan tentang apa yang sedang dan akan berlaku di Hong Kong.

6 bulan berdemo

Ketika saya menulis ini warga Hong Kong telah masuk ke bulan ke enam berdemo di jalan raya. Dari Gerakan Payung kini anak anak muda Hong Kong telah memperluas menuntut ruang demokrasi. Kini mereka mahu bebas dari kuasa Parti Komunis China (PKC). Mereka mahu pilihan raya yang telus. Wakil yang dipilih bukan dilantik oleh PKC. Hakikatnya anak muda Hong Kong telah bangun menentang kuasa mutlak Parti Komunis China.

Di Hong Kong, yang turun ke jalan raya bukan ratus, bukan ribu bukan ratus ribu tapi ratusan ribu hingga ke dua juta. Joshua Wong bersama rakan-rakan muda bertanggung jawab menyusun ombak demokrasi jalan raya. Joshua dan ramai anak muda telah beberapa kali ditangkap dan dipenjara. Tapi api pejuangan diteruskan. Ini kegigihan anak muda. Amin.

Peserta demo Revolusi Payung berdepan gas pemedih mata pada 2014, gambar Pasu Au Yeung

Akhirnya dalam tulisan ini saya rumuskan dua pekara. Pertama Malaysia wajib melahirkan Siti Greta dan Abdul Joshua. Kita tidak ada pilihan. Siti Greta wajib dicari. Abdul Joshua wajib ditemui.

Dari sekarang kita wajib mencari, menggali, menunggal dan menunggu kesampaian Siti dan Abdul Generasi awal yang memiliki pengalaman wajib bertemu dengan Siti Greta dan Abdul Joshua. Bila kita bertemu maka sosok wajib dibina, wajib dipasak dan akhirnya wajib dijulang.

Malaysia memerlukan Siti Greta dan Abdul Joshua sebagai ikon 18BU. Sebelum musuh membina Greta dan Joshua milik mereka - Pakatan wajib mendahului semua. Pakatan wajib berani menjadi pemula bukan pengekor. Jika Pakatan gagal melahirkan Greta dan Joshua maka projek 18BU adalah projek yang akan menewaskan Pakatan sendiri.

Perkara kedua: Apakah agenda yang akan dibawa oleh Siti Greta dan Abdul Joshua. Wajib diwujudkan agenda tulang belakang seperti agenda Bersih 2.0. Justeru pada hemat saya agendanya tidak lain dan tidak bukan pastilah agenda alam sekitar, pemanasan dunia, perubahan iklim. Siti dan Abdul sahaja yang memahami suara dan nadi generasi muda. Hanya yang muda akan berjaya membawa pencerahan alam sekitar.

Politikus lama, aktivis otai, reformis, pak lebai dan ustaz wajib sedar bahawa bahasa dan pengucapan - nahu dan loghat anak muda sedang berubah. Tulisan dan bacaan – gaya bahasa dan penyampaian generasi Greta dan Joshua amat berlainan dari generasi Baling atau Tasek Utara. Siti dan Abdul adalah generasi watsapp dan Instagram.

Mengepung parlimen

Pendekatan dan method untuk membawa pencerahan masih lagi politik jalan raya. Jalan raya masih lagi menjadi wadah politik anak muda di seluruh dunia. Ini hakikat. Dari Chile, ke Sudan , ke Lebanon, ke Greece, ke Sweden, ke Jerman, ke Amerika, ke Iraq, ke Iran, ke Siam – anak muda sedang turun ke jalan raya. Ini kerana dunia ini akhirnya adalah milik anak muda.

Anak muda yang cool dan yang counter culture bukan bermimpi untuk ke parlimen tapi merancang untuk mengepung parlimen. Anak muda bukan bermimpi untuk mendapat darjah Datuk atau Datuk Seri. Tapi anak muda berani bangun melawan Datuk dan Datuk Seri.

Sikap berani melawan ini telah dan sedang ditunjukkan oleh semua Greta dan semua Joshua dalam dunia ini. Abdul dan Siti dan Kampung Sana dan Kampung Sini tidak mahu ketinggalan. Siti dan Abdul adalah warga global. Internet adalah bin dan binti mereka. Bapa saudara mereka ialah Lebai Google. Mak cik saudara mereka ialah Facebook. Awas.

Agenda tulang belakang – pemanasan dunia – wajib kita lakukan sekarang. Siti Greta dan Abdul Joshua wajib kita temui. Kerana di hadapan kita ada musuh besar sedang menunggu – selain dari ekstremis kaum dan ekstremis agama. Para pemodal dan para industrialis sedang memasak AI untuk untuk masa depan mereka. Jangan silap baca AI bukan Anwar Ibrahim tapi artificaial intelligence.

Apa bahaya AI? Pencerahan akan sampai. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen