malaysiakini logo
story-image
ADS

Beberapa bulan lepas, kawan saya yang menjadi ketua kampung kami mengadu tentang kelewatan bekalan baja subsidi sampai kepada petani.

Telinganya hampir 'bernanah' mendengar cemuhan dan makian petani atas prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru masuk tahun kedua memerintah. Tiadalah upaya untuk mereka - dan saya - menyelesaikannya.

Ini soal bisnes orang atas-atasan yang terikat dengan birokrasi dan kartel perniagaan yang mempertaruhkan nasib ribuan petani. Ia sukar untuk dihuraikan, tetapi ia adalah realiti.

Petani yang sedia terbius dengan vaksin subsidi, tiadalah akal mereka yang lain kecuali menanti baja subsidi turun ke depan rumah atau bendang mereka.

Jika tidak, mereka akan berdemonstrasi, angkat sepanduk dan panggil wartawan untuk buat berita. Orang politik pun tumpang sekaki menyiram minyak pada api kemarahan yang marak.

Untung-untung, orang politik itu akan diangkat sebagai hero pembela rakyat marhaen. Bolehlah dijadikan modal untuk pilihan raya.

Sang petani yang membanting tulang, ketika masa senggang banyak di kedai kopi di kampung untuk membahaskan nasib mereka yang dirundung malang.

Perbahasan bermalam-malam hanya menghasilkan pertengkaran antara kelompok penyokong kerajaan dan pembangkang. Dua tiga cawan kopi hanya meredakan tekak yang kering. Bendang terus sepi malam dan siang.

Bagi ahli politik yang kehilangan kuasa, apa jua masalah petani adalah peluang untuk dijadikan hidangan menghentam kerajaan.

Ini adalah soal keselamatan masa depannya sebagai ahli politik atau parti yang dianggotainya. Ia adalah persoalan kelangsungan hayat siasah jangka panjang. Jika tidak, politiknya akan padam dan tenggelam dari persada tanah air.

Petani benteng negara

Bukannya mudah membina kepercayaan rakyat kepada sesuatu perjuangan parti. Bagi Perikatan - dan kemudian BN - yang mempunyai pengalaman enam dekad memerintah negara, kehilangan kuasa adalah suatu tragedi terbesar buat mereka. Ego dan rekod kehebatannya tersembam.

Mana mungkin mereka berdiam diri. Tidak mungkin.

Salah satu jalan terbaik mereka adalah belajar daripada parti yang menjadi pembangkang terbaik dalam sejarah negara, iaitu PAS. Umno telah melakukan strategi terbaik menjadikan PAS sebagai rakan kongsi menentang PH. Begitulah mereka - berguru kepada murshid yang baik.

Segala pencapaian kerajaan setahun dua ini belum kuat disiarkan kepada masyarakat. Ini mungkin kerana ada segelintir pimpinan PH asyik bercakaran dan bercuriga sesama sendiri.

Sementara itu, terdapat juga menteri yang kuat bekerja hingga alpa mendedahkan kerja buat masing-masing ke media. Ini bukan soal keikhlasan bekerja semata-mata. Dalam keselamatan politik, segala pencapaian kerajaan harus diberitahu melalui saluran media rasmi.

Berbalik kepada cerita sang petani yang menanti baja dan racun subsidi. Sawah bendangnya berlatar banjaran Titiwangsa. Indah dan hening mata memandangnya.

Hakikatnya, sang petani, pekebun, nelayan dan segala macam pekerjaan yang mengisi perut rakyat sebenarnya adalah pahlawan yang menjadi benteng negara.

Negara berada dalam ancaman jika sang petani, pekebun, nelayan dan lain-lain berhenti mengerah kudrat dan menghabiskan masa mereka berbahas di kedai-kedai kopi, berlagak menjadi ahli politik yang pintar mengurus negara.

Pada tahun ini - mengikut bacaan Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) - Global Food Security Index - Singapura yang tanahnya sekangkang kera itu berada di kedudukan pertama, manakala Malaysia yang baru setahun ditadbir PH mencapai tangga ke-28 berbanding Thailand di tempat ke-52. Vietnam, Indonesia dan Filipina masing-masing berada pada tangga 54, 62 dan 64.

GFSI ialah penilaian tahunan yang mengukur kemampuan, keberadaan dan kualiti serta akses simpanan makanan sesebuah negara.

Berbanding tahun lalu - atau lebih tepatnya semasa di bawah pemerintahan BN - Malaysia berada di kedudukan ke-52 dalam GFSI. Ini merupakan satu peningkatan berbanding pencapaian tahun lalu.

Peningkatan mata itu itu mungkin kecil atau pun tidak dirasai oleh pihak yang tidak memandangnya sebagai satu pencapaian yang baik untuk negara.

Bukan tanah semata-mata

Maksud ungkapan "keselamatan" biasanya hanya dilihat orang awam dari sudut pandang ketenteraan. Perhitungan keselamatan biasanya diukur dengan jumlah kereta kebal, jet pejuang, askar, peluru berpandu dan sebagainya yang dimiliki sesebuah negara.

Setiap ulang tahun kemerdekaan negara, segala kekuatan ditayangkan kepada rakyat. Ia bukan sekadar satu persembahanan semata-mata untuk menyeronokkan orang yang hadir dalam majlis tersebut.

Usahkan budak kampung teruja melihat apa yang terpapar itu, bahkan orang dewasa juga berasa gembira, terhibur dan megah. Menunjuk-nunjukkan kekuatan ketenteraan adalah juga serangan psikologi kepada pihak luar tentang keupayaan negara.

Sepuluh negara yang mempunyai kedudukan indeks terbaik merupakan negara maju. Mereka ialah Singapura, Ireland, AS, Switzerland, Finland, Norway, Sweden, Canada, Belanda dan Austria.

Kedudukan negara-negara tersebut tidak berubah berbanding dengan tahun sebelumnya.

Kebanyakan negara berkenaan mempunyai saiz tanah yang kecil, kecuali Kanada dan Amerika Syarikat. Jika melihat dari sudut ini, nyatalah bahawa tanah adalah faktor pengeluaran yang kurang penting berbanding faktor-faktor lain seperti teknologi, pengurusan dan modal.

Aspek pertahanan dan keselamatan negara bukan sekadar kereta kebal, peluru berpandu dan senjata api semata-mata. Ia lebih daripada itu.

Memiliki kemampuan bekalan makanan juga satu daripada aspek keselamatan yang penting bagi sesebuah negara.


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen