malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Nasihat Munshi Abdullah kepada konvensyen perubatan Melayu
ADS

Sekiranya Munshi Abdullah hidup hari ini. Salah satu yang beliau akan kemukakan dalam akaun-akaun media sosial beliau tentulah teguran mengenai kepercayaan karut-marut yang membawa kepada keimanan terhadap ruqyah, dan kepada dhaei.

Meskipun mencintai budaya dan bahasa Melayu, Munshi Abdullah bagaimanapun sangat berhati-hati menganjurkan supaya orang Melayu menolak kepercayaan karut yang mengakibatkan bangsa ini mundur dan terperuk. Terdapat banyak anjuran sebegini sekiranya kita membaca karya-karya tulisan Munshi Abdullah tersebut. Antara yang paling menawan adalah tulisan beliau termuat dalam Hikayat Abdullah.

Justeru saya membayangkan jika Munshi Abdullah ditawarkan menjadi profesor adjung di sebuah institut atau akademi mengenai peradaban atau ketamadunan Melayu, beliau akan memberi fokus pembentangan akademik yang bersungguh. Katakanlah ada sebuah konvensyen perubatan Melayu dianjurkan oleh mana-mana pusat pengajian tinggi hujung minggu ini. Apakah yang akan disebut-sebutkan oleh Munshi agaknya?

Tanpa perlu mencipta-cipta, kita dapat menemukan suara hati dan corak fikir Munshi tersebut. Ia sudah termuat dalam Hikayat Abdullah.

Munshi, seorang yang berfikiran saintifik sangat mementingkan imbangan akal yang sihat. Sebagai contoh, ketika merakamkan insiden pawang gajah menangkap sekawanan gajah untuk residen Inggeris, Farquhar, Munshi mengkritik kejahilan orang Melayu yang dibodoh-bodohkan oleh pawang ini. Menurut Munshi, gajah-gajah itu berjaya ditangkap bukan sangat kerana ilmu mistik atau mantera kepawangan menundukkan gajah-gajah tersebut. Akan tetapi ia lebih kerana common sense di mana haiwan ini didorong untuk masuk ke dalam kandang yang penuh pisang dan tebu sebelum dikurung beberapa lama sehingga lapar. Nah bayangkan Munshi memiliki akaun Facebook. Apa yang akan beliau tuliskan? Begini:

“Dan lagi, kebanyakan orang-orang Melayu dan Cina dan lainnya percaya, katanya, “Pawang ini terlalu pandai hikmah gajah.” Dan lagi, banyak-banyak doa dibacakannya sampai gajah di hutan semuanya takut akan dia, istimewa manusia. Maka sebab itu maka serba bangsa pun ada meminta ubat-ubat dan hikmat-hikmat dan tangkal-tangkal kepadanya. Maka adalah pada fikiranku bahawa sekalian itu bohong dan bodoh orang yang percaya demikian. Maka adalah sekalian perkara yang diperbuatnya itu dengan akal sahaja, bukannya dengan ubat atau hikmat atau doa, adanya.”

Untuk membuktikan kekarutan pawang gajah tersebut, Munshi misalnya dengan sengaja memberikan ‘sogokan’ kepada pawang itu agar dibenarkan melihat gajah-gajah tersebut dari dekat. yang mana insiden ini menunjukkan pawang gajah tersebut sebetulnya menipu dan menunjuk-nunjuk demi memperdayakan bagi tujuan keuntungan sendiri:

“Maka dilarangkan orang tiada diberinya seorang pun orang lain naik, katanya nanti rosak ubatnya. Maka pergilah aku perlahan-lahan kepada pawang itu. Maka kuunjukkan satu rupiah ke tangannya. Maka apabila dirasainya rupiah itu, maka katanya, ‘Hei! Naikkan encik ini. Lekas!’ Maka tersenyum aku seraya berkata dalam hatiku, ‘Mana lebih, kuasa ubat itukah atau rupiah inikah?’ Maka dinaikkan oleh oranglah akan daku ke atas kandang itu serta diberinya sebatang kayu ke tanganku, katanya, ‘Apabila gajah itu mencapai, segeralah pukul.’”

Fuh sana fuh sini

Hari ini konvensyen perubatan Melayu atau apa-apa lagi pertemuan dan wacana rawat yang fuh sana fuh sini berkat baginda ejen Ali sangat bersemarak di sana sini. Munshi kalau punya akaun Twitter, tentu beliau akan menciap segala yang bermain-main di benaknya. Selain menolak kepercayaan bomoh-dukun di atas, Munshi ikut menolak kepercayaan kepada hantu yang menurut beliau hanya menyebabkan bangsa Melayu mahupun Cina menjadi bodoh.

Insiden ini dirakamkan oleh Munshi apabila anak orang gaji Tuan Milne dikatakan dirasuk oleh pontianak atau polong. Kita bayangkan status Twitter yang diciap oleh Munshi (dengan rujukan kepada Hikayat Abdullah):

“Apa ertinya pontianak dan polong?’ Maka tertawalah aku serta kuertikanlah kepada Tuan Milne dengan terangnya akan segala nama-nama hantu syaitan yang dipercayai oleh orang Cina dan Melayu yang bodoh lagi sia-sia, iaitu turun-temurun daripada nenek moyang dahulu kala.

“Tinggal lagi, sampai sekarang entah beberapa banyak perkaranya itu tiadalah dapat aku bilangkan dan aku uraikan ertinya, melainkan dengan ringkasnya sahaja aku sebutkan, iaitu hantu, syaitan, polong, pontianak, penanggalan, jin, pelesit, mambang, hantu pemburu, hantu rimba, jadi-jadian, hantu bungkus, bota, gergasi, raksasa, nenek kebayan, himbasan, sawan, hantu mati dibunuh, bajang, keteguran, sampukan, pupukan, afrit, jembalang, terkena, ubat guna.

“Dan lagi, ada beberapa banyak ilmu-ilmu yang tiada aku teringat iaitu seperti gagah dan penunduk, pengasih, kebal, kesaktian, tuju, alimunan dan penderas, perapuh, cuca, pelali, perangsang, dan sebagainya. Entah ada banyak lagi.

“Maka sekalian yang tersebut itu dipercayai orang, ada dengan gurunya, tempat belajar dan ada pula tukang ubatnya yang tau ini jenis penyakitnya, ini jenisnya ubatnya. Maka adapun sekalian itu yang boleh mengadakan bahaya di atas manusia.”

Untuk mereka yang belajar, mengajar dan mempercayai segala kepercayaan hantu syaitan di atas, Munshi menegaskan; “Tuan, semua perkara ini, jikalau sahaya ertikan, boleh jadi satu kitab besar. Adapun isinya kitab itu semuanya perkara bodoh dan sia-sia belaka, yang tiada berfaedah. Lagipun orang yang berakal tiada suka menegar, ditertawakannya sahaja.”

Pengkapitalisasian bekam, urut dan rawat ruqyah

Nah, kalau ia dibuat menjadi disiplin ilmu di universiti, ia adalah perkara yang, meminjam Munshi; ditertawakan, bodoh, sia-sia, tidak berfaedah, tidak berakal dan ditambah satu kata lain oleh Munshi ‘belaka’. Yakni sifat kelakar, bodoh, sia-sia dan tidak berakal itu jika diganding dengan kata ‘belaka’ menunjukkan ia bersifat lucu, bebal, tidak berguna secara mutlak.

Saya membayangkan hari ini nasihat Munshi ini sangat berguna untuk kita tekuni khusus apabila berdepan dengan pengamal perubatan yang percaya dengan rawatan ruqyah dan sebagainya:

“Adalah dalam fikiranku orang yang bodoh lagi tiada berilmu ini bahawa sekali-sekala tiada patut orang percaya seperti polong dan penanggalan dan segala perkara yang tersebut itu, karena asalnya pekerjaan itu semuanya terbit daripada hati orang yang tiada beriman kepada Allah dan Rasul, dan lagi tiada pula mengetahui jalan Allah Ta’ala. Maka ia itulah saja yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu yang boleh mengadakan baik dan jahat, maka kita percaya ada pula yang lain yang boleh mendatangkan sesuatu, nescaya adalah pula yang lain daripada Allah. Maka sekalian itu bohong lagi dusta, adanya.”

Pengkapitalisasian bekam, urut dan rawat ruqyah yang fuh sana fuh sini ejen Ali ini sudah tentu akan menjadi bahan sasaran Munshi Abdullah. Pengamal perubatan ini menurut Munshi, seperti dirujuk beliau kepada pawang gajah, semuanya adalah penipu dan bertujuan untuk memperdayakan agar kocek atau saku masing-masing tebal.

Tambah Munshi lagi, kejadian seseorang dikuasai hantu iblis itu semata-mata kerana ia hinggap pada hati dan fikiran orang yang percaya; “Maka sungguhpun ia itu menjadi tetapi bukannya daripada kuasa syaitan-syaitan itu, melainkan sebab yakin dan percaya hati orang yang meminta itu, maka dilorongkan Allah kehendaknya.”

Munshi menganggap apa yang berlaku itu adalah satu pembohongan, dengan menggunakan kebodohan orang, selain menidakkan kuasa Allah, “Demikianlah adanya. Segala hantu syaitan yang tersebut itu pun halnya kudapati dalamnya bohong dan tipu dan perdaya dan silap mata. Maka sebab itulah berani aku bersumpah menyebut nama Allah mengatakan bukannya benar; hanya semata-mata kejahatan dalamnya dunia dan akhirat.”

Kebencian Munshi terhadap kepercayaan sebegini ikut merangkumi kepercayaan lapuk orang Melayu yang lain, termasuklah mengenai adat ‘menjual’ anak sekiranya anak itu sering sakit kepada orang, yang nyaris-nyaris menimpa beliau sendiri; “Bahawa ini pun satu adat nenek moyang bodoh yang tiada ia mengetahui Allah Ta’ala, adakah sebab dijualkan itu menjadi panjang umurnya dan jikalau dipelihara oleh ibu-bapanya menjadi pendek umurnya atau mati? Maka sekali-kali jangan kita percaya yang demikian.”

Barang siapa yang meyakini hantu setan dengan cara kelakar...

Hari ini, jika tiada sasterawan negara atau penerima hadiah sastera peringkat serantau yang sudi menegur kebobrokan minda begini, biarlah saya sanggup menjadi korban benci masyarakat, sepertinya Munshi. Yakni dengan menegur amalan dan keraian sia-sia, bodoh, tidak berakal, dan sarat kebebalan begini.

Saya katakan; barang siapa yang meyakini hantu setan dengan cara kelakar di atas maka di situlah letaknya seorang farhan.

Salah satu legasi terbesar Munshi Abdullah ialah sikap berterus-terang dan jujur beliau dalam mengetengahkan batu penghalang sebenar kemajuan orang Melayu. Menurut Munshi masalah terbesar orang Melayu selain keengganan untuk belajar, dan menambah ilmu ialah kerana ia dihalang oleh kepercayaan feudalisme dan karut-marut yang tebal sedemikian.

Saya teringat sebuah artikel pendek tulisan Profesor Diraja Ungku Aziz. Ia terbit di Mingguan Malaysia pada 3 Februari 2002. Beliau pernah menulis sebuah renungan berjudul “Tragedi Pemikiran Melayu” yang mana beliau menukilkan begini, “Saya rasa Melayu tidak sanggup berubah; perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.”

Orang Melayu tidak berani mempersoalkan. Ungku Aziz menyinggung betapa tiadanya budaya inquiry mind yang menunjukkan juga tidak ada sikap saintifik.

Memang sedih jika universiti atau institut pengajian tinggi dengan sandaran kata Melayu, memilih untuk menjadi apa yang Ungku Aziz tegaskan dalam karangan tersebut; “tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran”.

Tentu universiti itu akan diketawakan. Menurut Ungku Aziz lagi, Melayu memerlukan trouble makers, tetapi malangnya ‘trouble makers Melayu itu tidak ramai.

Jadi, ayuh pembaca mari kita ramai-ramai menjadi sasaran kecaman dan tunjuk sebab, kita ramai-ramai menyahut teriakan Ungku Aziz itu.

Oleh sebab tiadanya pemikiran saintifik, Melayu menjadi selesa. Agama dan tunggak kuasa misalnya menjadikan Melayu selesa. Saya petik kata-kata Ungku Aziz di sini: “Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.”

Cuma bezanya, saya ingin membetulkan kata-kata Pak Ungku di atas dalam konteks hari ini, ia berbunyi; “Orang Melayu suka tahyul, dia suka toyol, jadi ajarlah tentang jampi serapah. Dia suka dengan bomoh dia, ajar Melayu baling spanar atau bakar kemenyan.”

Sekiranya Munshi Abdullah hidup hari ini. Salah satu yang beliau akan kemukakan dalam status Instagram beliau tentulah foto-foto pawang santet dan bomoh ruqyah yang membodohkan bangsa.

Dan kita dapat mengagak apa terjadi kepada Munshi, beliau akan dikecam diancam. Beliau akan digasak oleh puak kanan. Mungkin Munshi akan dituduh Komunis. Mungkin juga dilabel Syiah. Tetapi yang kita pasti, tidak sekali-kali Munshi akan berasa kesal mengkritik seperti di atas. Kerana beliaulah sebenar-benar pejuang karamah bangsa.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen