malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam negara kita ini ada klasifikasi apabila hendak menonton filem atau program televisyen. Pendekatan klasifikasi sedemikian digunakan dalam banyak negara. Justeru Malaysia bukan tersendiri. Yang membuat klasifikasi ini ialah Lembaga Penapis Filem (LPF) yang dibawah kawalan Kementerian Penerangan.

Klasifikasi filem atau program televisyen yang ada tanda U - bermakna umum – emak, abah adik, kakak semua boleh menonton bersama. Kalau ada tanda 18SG maknanya filem ini ada babak seram dan ganas. Bawah umur 18 tahun dilarang menonton. Kalau ada tanda 18SX ini bermakna banyak adegan seks. Bawah 18 tahun dilarang menonton. Kalau ada tanda 18PL – ini bermakna wajib waspada kerana ada unsur agama dan politik. Bawah 18 tahun dilarang menonton.

Saya sedar hari ini telah wujud rangkaian internet dan media sosial. Justeru sama ada larang ini masuk akal atau tidak bukan pekara yang hendak saya lakar. Saya mahu melakar satu lagi klasifikasi 18 yang lain daripada yang lain.

Saya – Hishamuddin Rais mencadangkan satu lagi kategori 18. Ini saya namakan 18BU. Bukan tentang seks, bukan tentang hantu atau keganasan. Kategori 18BU ini bermakna warga yang berumur 18 tahun boleh mengundi. Ini dasar baru kerajaan Pakatan Harapan yang telah diluluskan oleh parlimen baru-baru ini.

Kerajaan Pakatan Harapan telah juga menunaikan satu lagi tuntutan orang ramai yang mahu pendaftaran untuk menjadi pengundi dilakukan secara automatik. Ini bermakna ada kerja sama yang intim antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini telah dan sedang dilakukan.

Bersama pendaftaran automatik dikahwinkan dengan dasar 18BU. Sesiapa yang melintas masuk umur 18 tahun maka secara automatik si polan dan si polan itu akan didaftar sebagai bakal pengundi. Dasar ini kelihatan radikal, progresif dan maju mara membuka ruang demokrasi. Amin.

Laporan media yang saya baca menunjukkan pada PRU15 nanti ada 7.8 juta 18BU yang didaftarkan secara automatik. Pada PRU14 ada 14.9 juta pengundi. Pada tahun 2023 jumlah pengundi kurang lebih 22.7 juta. Inilah penambahan pengundi daripada apa yang saya namakan 18BU. Wow!

Dalam sorak-sorai merayakan 18BU ini saya cuba membawa para pembaca ke satu jalur pandangan yang agak berbeza daripada kegairahan 18BU. Ini bukan niat saya untuk ‘potong stim’ atau untuk memperlekeh kejayaan janji Pakatan Harapan. Saya menyokong hak 18BU ini. Tetapi…. tetapi apa?

Sebelum memasuki politik 18BU biar saya nyatakan sejelas mungkin bahawa bakal pengundi 18BU untuk PRU15 yang akan datang pada ketika ini berada dalam tingkatan tiga.

Sila ambil perhatian. Saya ulangi sekali lagi. Bakal pengundi ini sedang berada dalam tingkatan tiga. Betul. Mereka dalam tingkatan tiga. Umur mereka baru masuk 15 ke 16 tahun. Kah kah kah.

Untuk ini – saya menjemput para pembaca melayari kembali ingatan ketika kita di tingkatan tiga. Untuk warga saluran satu mungkin agak susah untuk membuka kembali data tingkatan tiga. Mungkin failnya telah korup, berkarat, rosak dan terputus-putus atau 404.

Hishamuddin Rais bukan Abu Hurairah yang boleh mengumpul kembali kisah dan cerita yang telah berlangsung 200 tahun yang lalu. Saya sendiri pun merasa agak susah untuk membuka kembali fail ingatan tahun 1966 ketika saya dalam tingkatan tiga. Internet membantu saya mencerahkan ingatan. Walau pun banyak yang menjadi 404. Terima kasih Ronald Reagan. Amin.

Saya masih ingat lagi di panggung wayang Ruby Theater di Kuala Klawang, Jelebu menayangkan filem The Bridge on the River Kwai pada tahun 1957. Saya ingat perkara ini kerana kain layar putih panggung Ruby wajib ditukar untuk skrin yang lebih luas. Tahun ini juga saya masuk sekolah. Jelas dari ingatan bahawa saya bertandang ke panggung lebih awal dari bertandang ke sekolah.

Tak ambil pot LCE

Pada tahun 1966 empat orang anak muda dari Liverpool yang memanggil diri mereka The Beatles telah keluar dengan lagu A Hard Days Night. Di Persekutuan Tanah Melayu pada ketika yang sama itu M Osman anak muda dari Jay Bee telah muncul dengan lagu Oh Suzana.

Pada tahun 1966 juga muncul A Ramly dan The Rhythm Boys dengan Kenangan Mengusik Jiwa dan Oh Fatimah.

Dunia saya berubah. Saya berjuang mahu menyimpan rambut panjang. Mahu dilihat cool macam anak muda dari Liverpool walaupun tidak tahu di mana letaknya Liverpool. Atau tahu bezanya antara Sungai Mersey dengan Sungai Thames.

Tahun 1966 saya dalam tingkatan tiga. Ada peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun itu. Saya tidak ambil pot sangat tentang LCE ini. 

Kenapa tidak ambil pot? Kerana umur saya baru 16 tahun. The Beatle, Jeffrey Din dan The Siglap Five, Rolling Stones dan Mick Jagger kelihatan penting dan lebih menarik daripada LCE.

Saya juga tidak ambil pot dan ambil tahu apa yang terjadi kepada Elvis Preseley dan Cliff Richard yang sebelum ini menghantui kakak saya. Saya melihat Elvis dan P Ramlee mengalami nasib yang sama. Mereka dilanggar oleh kugiran anak muda yang lebih rancak dan lebih mengghairahkan.

Dunia telah berubah. Dunia tidak akan kembali kepada zaman Elvis dan P Ramlee. Era Pop Yeah Yeah dan Sixties sedang menggoncang dunia.

Kenapa pada tahun 2019 saya menulis hal ini? Apa sangkut pautnya dengan 18BU?

Saya menulis dengan tujuan untuk memberi ingatan bahawa ketika saya dalam tingkatan tiga saya tidak ada langsung memiliki kesedaran tentang arah dan tuju negara. Saya sedar ada konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia. Saya tahu presiden Indonesia namanya Sukarno. Nama pengerusi Parti Komunis Indonesia (PKI) namanya DN Aidit.

Saya sedar ada rancangan untuk mewujudkan Malaysia. Saya tidak faham kenapa Sukarno marah dengan Tunku Abdul Rahman. Hakikatnya saya tidak ambil pot. Politik begitu asing untuk anak sekolah dalam tingkatan tiga.

Mengenai kemasukan Sabah dan Sarawak untuk menjadi Malaysia yang diingati oleh hampir semua anak muda generasi saya ingat - ialah potongan rambut Temenggong Jugah Anak Barieng. Ini kerana potongan rambut Jugah Anak Barieng ini hampir menyamai potongan rambut John Lennon dan The Beatles. Temenggong Jugah dilihat cool. Amin.

Bayangkan ketika saya sibuk-sibuk dengan John Lennon dan Temenggong Jugah tetiba tiga tahun kemudian - dalam PRU3 pada tahun 1969 - saya diwajibkan mengundi. Saya wajib mengundi kerana umur saya telah masuk 18 tahun. Saya wajib memilih dan menentukan garis dan arah tuju negara. Ini satu tanggung jawab. Aduh!

Maka kembali kita kepada persoalan 18BU. Anak-anak muda melintasi umur 18 tahun ini boleh mengundi. Mereka boleh memangkah. Mereka dibenarkan memilih siapa menjadi wakil mereka di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat. Hebat bunyinya.

Inilah yang kita hadapi sekarang. Betul. Memang bukan The Beatles, bukan A Ramly dan bukan Temenggong Jugah yang menjadi hot di kalangan anak sekolah tingkatan tiga. 

Apa yang menjadi hot dan kontemporari dalam dunia budak sekolah yang berumur 16 tahun sekarang? Saya kurang arif. Kalau mengikut Sulalatus Salatin jawabnya cukup senang - walahu alam bissawab.

Betul dan sahih apabila anak muda masuk 18 tahun mereka boleh menjadi polis dan soldadu. Boleh angkat senjata. Boleh bunuh orang jahat atau musuh. Justeru tidak ada masalah bila masuk 18 tahun juga mereka boleh mengundi dan memilih perwakilan. Amin.

Tapi timbul persoalannya kematangan. Jadi soldadu dan jadi polis dengan senapang dan pistol – tetapi mereka mengikut kawalan dan arahan.

Justeru di sinilah persoalan hakiki untuk kurun ini. Untuk anak muda 18BU dalam PRU15 – siapa mengawal dan siapa yang memberi arahan?

Saya sedar golongan pak lebai ektremis agama sedang menunggu. Saya juga sedar golongan ektremis perkauman sedang membuka pintu untuk menjemput masuk generasi 18BU. Saya sedar bahaya ada di belakang pintu.

Saya tidak pesimis. Saya juga bukan optimis gila-gila. Saya realis. Saya akui ini realpolitik. Maka wajib difahami dengan tuntas dan jelas.

Justeru, saya yakin pasti akan muncul dari kampung entah mana? Dari pekan entah mana? Dari ulu kampung entah mana seorang anak muda seperti Joshua Wong pemimpin Gerakan Payung Hong Kong yang telah memulakan kerja politik ketika berumur 14 tahun.

Saya juga yakin akan muncul pemimpin anak muda Malaysia seperti anak gadis sunti Greta Thunberg yang baru berumur 16 tahun dari Sweden. Greta sedang memimpin gerakan Perubahan Cuaca (Global Warming) di pentas dunia. Nota: Gerakan global bukan gerakan sekolah atau kampung.

Jadi timbul persoalan - apa agaknya agenda 18BU untuk PRU15. Agenda 18SX? Agenda 18SG? Saya ada pandangan. Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen