malaysiakini logo
story-image
ADS

Indeks Belia Malaysia (IBM) merupakan suatu instrumen yang berfungsi sebagai indikator penting untuk kita melihat perkembangan kualiti dan kesejahteraan hidup generasi belia sahsiah anak-anak muda kita khususnya di Johor.

Dari indikasi ini juga kita akan dapat melihat dan lebih memahami peranan anak muda dalam konteks sosial, budaya, ekonomi dan politik yang bersifat cair (yakni berubah-ubah) pada setiap masa dan zaman.

Agenda anak muda senantiasa menjadi topik penting dan menarik untuk diangkat dan dibincangkan, apatah lagi peranan mereka dalam sebuah Malaysia Baru, cukup besar dan berpengaruh.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia atau Institute For Youth Research Malaysia (IYRES), bagi negeri Johor sahaja, unjuran jumlah belia yang ada pada tahun 2020 adalah 1.7 juta belia/ anak muda berbanding 1.39 juta pada tahun 2017.

Jumlah ini meliputi hampir 45 peratus populasi penduduk negeri Johor. Pastinya, apabila takrif baru had umur belia yang telah dipinda baru-baru ini, dilaksanakan pada 2021, kita akan melihat penambahan jumlah anak muda yang amat ketara di negara dan negeri kita. Jumlah ini merupakan jumlah yang cukup besar untuk diurus segala keperluan mereka.

Kumpulan belia merupakan kumpulan tenaga kerja yang besar dengan usia atau umur yang tinggi nilai produktivitinya dalam mana-mana negara di dunia. Kemampanan pembangunan golongan muda akan memberi impak secara langsung dalam ekonomi, produktiviti dan seterusnya keluaran dalam negeri/ negara (KDNK).

Tak cukup tidur

Namun, baru-baru ini telah dilaporkan tentang dapatan dari Kajian Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia oleh AIA Vitality 2019 dengan kerjasama Agensi Penyelidikan Rand Europe dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan sektor pekerjaan di Malaysia, telah mendapati bahawa sebanyak 51 peratus pekerja di negara ini mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan membabitkan pekerjaan mereka termasuk tidur tidak mencukupi, beban kerja yang berat dan masalah kewangan.

Selain daripada itu, kesihatan mental juga dikaitkan dengan tahap produktiviti kerja. Kajian tersebut menunjukkan, 53 peratus pekerja di negara ini tidak mendapat tidur yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya selama tujuh jam setiap hari. Selain daripada itu, masalah kesihatan juga menjadi penyumbang kepada keadaan ini.

Pekerja di negara ini juga didapati kurang mengamalkan gaya hidup sihat menyebabkan mereka 'tua sebelum waktunya'. Ini dibuktikan apabila 98 peratus pekerja mengikut 'ujian usia' oleh AIA Vitality Age.

Berdasarkan statistik tahap kesihatan mental belia mengikut negeri di Malaysia oleh Institute for Public Health, National Institutes of Health, Ministry of Health Malaysia, Kuala Lumpur (2018) meletakkan belia negeri Johor dalam kategori yang agak terkawal dengan skor kemurungan (Depresi) 14 peratus, tekanan (Stress) 9.3 peratus dan kerisauan (Anxiety) sebanyak 37 peratus.

Masalah mental ini menjadi penyebab kepada penyakit skizofrenia, kemurungan, gangguan bipolar yang mana jika gagal dikawal atau dirawat lebih awal, akan membawa pesakit cenderung untuk membunuh diri. Dan ini perlu dielakkan sama sekali.

Berdasarkan semua senario-senario ini, ia meletakkan golongan belia sebagai bukan sahaja sebagai kumpulan yang perlu diberi perhatian serius, malah mereka adalah pemegang taruh yang terbesar dalam pertumbuhan sosio-ekonomi tempatan. Berdasarkan IBM, terdapat 12 domain atau kluster yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan agensi dengan serius. Dari 12 domain ini terdapat empat cabaran utama bagi golongan belia iaitu politik, sosial, ekonomi dan teknologi.

Dari 12 domain dan empat cabaran ini, kami merumuskan bahawa penumpuan dasar pembangunan belia bagi negeri Johor pada tahun hadapan akan menumpukan kepada peningkatan keupayaan anak muda dalam bidang ekonomi dan keusahawanan, teknologi, kreativiti dan kepimpinan dalam masyakarat.

9. Merujuk kepada prestasi program-program yang telah dijalankan pada tahun 2019 ini, sebanyak seratus dua puluh lima (125) program telah dijayakan disetiap daerah negeri Johor dan dari jumlah ini seramai sekitar 27,730 orang belia telah menyertai dan mendapat manfaat daripada program-program ini. Ini merupakan suatu peningkatan sebanyak 25.5 peratus berbanding tahun 2018.

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pihak Institut Integriti Kepimpinan Dan Latihan Semangat Dato' Onn (Ikhlas) dan Johor Youth Development Centre (Joydec) yang telah komited menjalankan semua program-program ini dengan jayanya.

Justeru, tugas saya ialah untuk memasang pelan-pelan struktural pembangunan belia agar segala kelemahan dan juga kelebihan ini dapat diperbetulkan dan ditambahbaik.

Tempoh seseorang menjadi belia tidak lama, generasi ini akan diganti dengan generasi yang baru setiap tahun, maka tugas ini adalah amanah yang bukan sahaja perlu dijalankan dengan ikhlas, malah dengan penuh tanggungjawab dan pantas.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen