malaysiakini logo
story-image
ADS

Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai sangat menguji prinsip dan pendirian orang Melayu.

Mereka diuji dengan dilema memilih sama ada seorang Muslim atau pun tidak yang mana kita semua tahu sebagai wakil rakyat, beliau akan terlibat dalam menggubal polisi-polisi yang akan menentukan hala tuju negara termasuk soal-soal bangsa Melayu dan agama Islam.

Orang Melayu dihidangkan dengan tiga pilihan utama:

  • Calon Muslim tetapi hanya sebagai proksi dan boneka pihak tertentu.
  • Calon Muslim yang baik, bersih dan bebas dari sebarang pengaruh lain tetapi partinya kecil.
  • Calon bukan Islam yang sudah terbukti mempunyai kontroversi dan pendiriannya yang agak tidak mesra pada Islam dan Melayu.

Apa yang berlaku ialah arus penolakan Pakatan Harapan dan semangat kepartian yang sangat menebal telah mengatasi semua pertimbangan rasional dan pengundi Melayu mengundi mengikut sentimen kepartian semata-mata atau hanya menuruti arahan parti politik masing-masing sahaja tanpa memikirkan baik dan buruknya untuk Islam dan bangsa Melayu dalam jangka masa yang panjang.

Akhirnya, calon yang tidak mesra pada Islam dan Melayu itu yang berjaya diangkat sebagai wakil rakyat. Sehingga hari ini, beliau masih belum menarik balik kenyataan-kenyataan lampaunya yang negatif terhadap Islam, jauh sekali mahu meminta maaf.

Bergantung kepada bangsa lain

Kita lihat kebangkitan Melayu sudah menyemarak dalam pelbagai aspek tetapi apabila tiba pada soal politik, kita belum mampu menterjemahkannya ke alam realiti. Kononnya kita perlu bertolak ansur dan beralah demi menjaga keharmonian hubungan antara parti.

Persoalannya, jika sekiranya di tempat yang majoritinya orang Melayu pun, kita masih memilih orang lain untuk memimpin maka apatah lagi di kawasan-kawasan yang kita (Melayu) adalah minoriti?

Inilah bukti bahawa kita masih kuat bergantung pada orang lain untuk berjaya. Adakah ini dikatakan toleransi atau sebenarnya kedayusan politik? Mustahil nasib bangsa Melayu dan agama Islam akan terbela dengan kepimpinan orang lain.

Pada awalnya, memang ramai orang Melayu sudah yakin bahawa inilah masanya untuk kita perjuang dan kuatkan kesatuan bangsa Melayu disebabkan tekanan yang semakin mengasak kepada hak-hak orang Melayu dan kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan.

Himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada tahun lalu menjadi bukti penyatuan orang Melayu mampu mengubah dasar negara.

Ini juga bukti bahawa bangsa kita mampu keluar dari kerangka politik kepartian demi agenda yang lebih besar. Walaubagaimanapun, rupanya kehangatan perpaduan dan kebangkitan ini masih terlalu rapuh atau masih bertatih yang belum mampu berdiri sendiri, melihat apa yang berlaku di Tanjung Piai.

Lambakan rumah maksiat

Ramai juga yang bertanya, “adakah kebangkitan orang Melayu boleh jadi kenyataan atau masih di peringkat mimpi?”

Persoalan yang harus kita fikirkan, jika sekiranya pembangkang hari ini memegang puncak kuasa maka adakah mampu mereka mengangkat martabat bangsa Melayu dan agama Islam atau ia hanya kembali kepada bentuk asal sahaja?

Jangan kita lupa, puluhan tahun kita dibelengu dengn Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekolah vernakular, gerakan anti-tulisan Jawi, kehilangan tanah rezab Melayu, lambakan rumah-rumah maksiat, penularan ajaran-ajaran sesat dan sebagainya.

Semuanya ini adalah hasil daripada toleransi politik yang merugikan kita. Berdasarkan toleransi yang berlaku di Tanjung Piai, saya menjangkakan kita akan kembali ke alam kefasadan dan Melayu akan terus merintih di jalanan.

Sebenarnya, orang Melayu bukanlah bangsa yang lemah dan pemalas. Sejarah membuktikan mereka adalah bangsa yang kuat dan berdikari. Mereka adalah pelayar yang hebat serta pelombong yang terkenal.

Melayu mula bangkit

Bangsa Melayu adalah pengeluar getah asli utama dunia. Selat Melaka adalah laluan pengangkutan laut yang terkemuka. Satu ketika dahulu, bangsa Melayu dan Tanah Melayu bukan satu bangsa dan negara yang mudah diperkotakkatikkan.

Namun, disebabkan penjajahan yang memakan masa lebih 400 tahun, maka segala kekuatan itu sudah diratah-ratah dan dileburkan oleh sang penjajah.

Namun dengan kemunculan gelombang kempen Beli Produk Muslim atau lebih dikenali sebagai ‘BMF’ di mana kesatuan yang ditunjukkan adalah luar biasa, maka kita dapat melihat bagaimana ekonomi orang Melayu sudah mula bangkit.

Jika momentum ini berpanjangan, maka tidak mustahil kita akan berjaya melahirkan taikun-taikun Melayu yang hebat, soleh dan berwibawa. Jika ini dapat diterjemaahkan juga dalam politik, maka saya yakin kita mampu membawa perubahan besar dalam lanskap pemerintahan negara.

Apa yang kurang pada orang Melayu sekarang ialah ‘political will’ ataupun keberanian politik. Selagi kita tidak lakukan satu perubahan yang drastik pada cara kita berfikir dalam kerangka politik iaitu untuk agenda bangsa Melayu dan agama Islam, maka selagi itulah kita akan kekal terperangkap dengan konsep ‘toleransi penjajah’.

Kita merdeka tetapi ‘dikawal’. Ketaksuban politik kepartian semestinya tidak boleh melebihi prinsip menegakkan agama dan bangsa. Inilah sebenarnya ‘dilema orang Melayu’!


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen