malaysiakini logo
story-image
ADS

Apa yang selalu dibincangkan pelukis yang menggunakan cat air (di Malaya ini) adalah mengenai apa jenama warna, jenis kertas dan juga berus mereka diperbuat daripada bulu apa.

Mengapa ini semua menjadi sangat penting kepada pelukis cat air kita?

Boleh jadi kerana sebahagian besar mereka berpendapat, hanya dengan menggunakan bahan yang berkualiti maka ianya akan menghasilkan sesuatu yang juga bermutu tinggi.

Dalam dunia fotografi, jenaka yang selalu didengar ialah: bukan kamera yang membuat gambar tetapi mata yang sedarlah yang menghasilkan karya.

Memilih peralatan bermutu tinggi - walaupun penting - tidak sepatutnya menjadi keutamaan kepada para pengkarya.

Dilema memilih apa yang mahu digambarkan seharusnya menjadi ‘perjuangan’ utama para pelukis cat air kita.

Hampir semua mereka - bermula dari zaman AB Ibrahim sehingga kini - kekal menjadi manusia romantis. Mereka giat menggambarkan bot, sawah, pantai, rumah usang dan segala macam imej yang sendu.

Bina karya sendiri

Di luar dari gelaran artis pelukis, mereka sebenarnya adalah perakam masa, dan selamanya mereka akan memilih masa-masa yang luka dalam karya mereka.

Jika hanya seorang dua pengkarya cat air melakukan demikian, maka ianya mungkin boleh dimaafkan. Namun apabila hampir semua mereka melakukan perkara yang sama, maka ia menjadi sesuatu yang membosankan.

Kumpulan pelukis cat air biasanya akan pergi berkarya secara berkumpulan. Mereka datang ke suatu kawasan dan mula melakar secara terus di tempat yang dipilih.

Malang sedikit kerana apabila ini berlaku, karya yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis berkenaan akan kelihatan serupa saja tanpa dapat dibeza pengkaryanya.

Membina identiti adalah masalah utama pelukis cat air.

Azman Nor dan Amiruddin.

Berkarya secara berkumpulan seharusnya menjadikan kita lebih berdaya saing. Ianya patut menjadi sebab untuk kita lari daripada meniru karya rakan-rakan dalam kumpulan kita, dan membina kumpulan karya yang berdiri sendiri.

Ini kurang berlaku dalam kumpulan pelukis cat air kerana mereka amat berasa selesa menggambarkan subjek yang sama dan membandingkan hasil karya tersebut sesama sendiri.

Pelukis ada masanya perlu berehat daripada berkarya dan melihat sekeliling, termenung dan berfikir serta mentelaah apa saja yang berada di luar lingkungan kesukaan kita.

Zaharuddin Sarbini.

Misalnya, kita seorang pelukis cat air. Maka cuba pula mentelaah bahan-bahan yang tidak langsung ada kaitan dengan cat air. Baca apa saja supaya cara berfikir kita menjadi berbeza.

Lupakan cat air sebentar dan pergi ke pameran-pameran pelukis yang tidak ada kena-mengena dengan medium pilihan kita.

Balai tempat yang sesuai

Dengan cara ini mungkin kita akan mendapati apa yang selama ini kita perjuangkan adalah sesuatu yang biasa, dan mungkin kerana itulah kita sendiri akan mulai bosan dengan hanya menghasilkan karya-karya yang duka lara.

Cat air seharusnya hanya digunakan sebagai alat untuk berkarya, bukan dikhaskan untuk melukis pokok kelapa, basikal buruk, senja nan merah dan sebagainya.

Sepertinya falsafah pelukis cat air adalah: untuk kelihatan cantik, karya hendaklah menggambar sisi buruk. Ini amat membimbangkan.

Wan Borhanuddin.

Pameran Intrig oleh kumpulan Gangsta Watakala yang sedang berlangsung di Ruang Kreatif Balai Seni Negara sekarang ini adalah tempat yang sesuai bagi peminat karya aliran ini untuk datang dan memperkatakan hal yang dibincangkan.

Terdapat lebih 30 keping karya dipersembahkan oleh enam orang artis dari kumpulan Gangsta Watakala. 

Jamal Tommy.

Selebihnya adalah sejumlah karya lain oleh beberapa pelukis cat air ternama tanah air.

Antara nama yang terlibat dalam pameran itu adalah Azman Nor, Abey Zoul, Jamal Tommy, Hisham Salmin, Ryzal Mysran, Wan Borhanuddin, Maamor Jantan, Aminah Abdul Rahman, Fadzli Zakaria dan Nik Rafin.

Fadzli Zakaria.

Pameran berlangsung mulai 11 Nov lalu dan berlanjutan sehingga 31 Dis ini.

Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan sendiri karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis terbabit. Masuk adalah percuma.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengemar rojak betik Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen