malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Memanfaatkan wang yang ada bagi tujuan pelaburan sememangnya amat digalakkan di dalam Islam. Malah membiarkan wang terperuk di dalam simpanan merupakan satu tindakan yang tidak digalakkan di dalam Islam kerana itu akan menafikan objektif tadawul atau berlegarnya harta tersebut di dalam pasaran sesebuah kawasan dan Negara hingga tidak dapat dimanfaatkan oleh ramai.

Bergerak dan memanfaatkan ramai bukan sahaja suatu sifat yang terpuji bagi individu manusia, malah juga pada harta itu sendiri. Ibarat air yang tertakung lama tidak segar berbanding air sungai yang mengalir memberi manfaat di daerah yang luas dan pelbagai.

Galakkan untuk berusaha dan mengembleng tenaga memanfaatkan sumber bumi dan juga harta yang telah dimiliki ini dapat dilihat dari firman Allah SWT (bermaksud):

“Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya).” (Hud: 61)

“Dan kami turunkan besi dan padanya ada kekerasan dan banyak manfaat kepada manusia.” (Hadid: 25)

Manakala disebut di dalam sebuah hadis:

“Barangsiapa yang telah menjual rumah atau hartanah kemudian tidak menggunakan harga (hasil jualan) itu pada kegunaan yang setanding dengan sebelumnya, sewajarnyalah tiada diberkati pada jualan itu.” ( Riwayat Ahmad, Ibn Majah ; Al Fath Al Kabir, As Sayuti, 3/165, bertaraf Hasan menurut Albani)

Melalui hadis ini dapat difahami arahan agar lebih bijak menggunakan keuntungan yang diperolehi dari jualan sesuatu aset bertanah (hartanah) dengan tidak menggunakannya kepada tujuan yang kurang bijak seperti membeli makanan yang akan habis atau kenderaan yang akan susut nilainya, sebaliknya perlu digunakan untuk membeli hartanah (landed and real property) seperti bangunan, rumah dan tanah.

Jika digunakan hasil keuntungan jualan hartanah sebegitu untuk pembelian set yang lebih kurang nilai, ia dikira suatu pelaburan yang tidak diberkati.

Baginda Nabi juga bersabda (ertinya): “Perdagangkanlah harta anak yatim (yang berada di dalam amanah penjagaanmu) agar harta tersebut tidak susut kerana zakat.” (Riwayat Malik)

Hadis ini jangan lupa disalahfahami, ia ditujukan kepada penjaga anak yatim yang amanah agar memanfaatkan harta yatim yang dijagainya bagi tujuan perniagaan yang baik untuk kemaslahatan anak yatim tersebut. Supaya harta tersebut dapat berputar di dalam ruang ekonomi sesebuah kawasan, merancakkan lagi perniagaan setempat. Hasilnya diharapkan dapat mengelakkan harta simpanan itu susut akibat pembayaran zakat wajib setiap tahun.

Di zaman kita ini yang mana wang kertas digunakan, faktor inflasi yang menyebabkan susut nilai dan kuasa beli juga perlu dilawan dengan berniaga dan melabur agar keuntungan yang bakal diperolehi mampu mengatasi peratusan inflasi dan zakat sekali gus. Itulah suatu indikator bahawa Islam amat menggalakkan umatnya bersifat dinamik dan bijak dalam pengurusan kewangan.

Pelaburan sudah tentu menjadi satu langkah yang popular. Menurut kajian yang dilakukan di Amerika, pembaca boleh melihat bagaimana prestasi sepuluh tahun beberapa aset popular. Dari hasil yang diperolehi ia jelas menunjukkan pelaburan dalam logam bernilai, emas mendahului carta.

Bagaimanapun, menurut penilaian saya secara peribadi dari sudut etika, menjadikan emas sebagai bahan pelaburan jangka pendek, ia boleh mengundang elemen yang tidak baik justeru kurang digalakkan, berbanding menjadikannya sebagai bahan pelaburan jangka sederhana dan panjang.

Keutamaan sektor

Bagi mereka yang ingin melabur sudah tentu perkara asa yang perlu difikirkan adalah sektor mana yang perlu dipilih untuk diceburi. Dari perspektif Islam, setiap individu bertanggungjawab ke atas penggunaan harta dan wang modal mereka. Bagi insan yang soleh dan baik, tentunya akan digunakan ke arah yang baik juga. Nabi ada menyebut (ertinya):

Sebaik-baik harta yang baik adalah yang berada di dalam pemikiran orang yang baik.(Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban)

Mengapa demikian? kerana setiap pertimbangan individu yang baik ini akan sentiasa menimbang kesan baik dan buruk yang terhasil dari barang pelaburan dan jenis bisnes yang dilaburi. Justeru, mereka pastinya akan memilih sesuatu yang dapat memberi kesan terbaik dan manfaat maksimum kepada masyarakat, bukan seperti jutawan tanpa jiwa kebaikan yang pasti akan memilih sektor pelaburan yang berpotensi memberi banyak untung, apa sahaja yang mempunyai demand atau permintaan akan dilayari walau ia banyak mudaratnya. Tatkala itu, akan diikuti permintaan itu melalui pelaburannya walau ia berupa sektor hiburan, perjudian, pelacuran, dadah, rokok, perbankan riba, minuman keras yang pastinya akan merosak agama dan jati diri masyarakat. Tiada diendahkan walau itu mungkin boleh menambah statistik jenayah dan kemungkaran serta kehilangan unsur berkat dan juga lain-lain kesan buruk kepada masyarakat.

Sektor keutamaan

Senarai keutamaan sektor yang patut dilabur adalah penting bagi seseorang pelabur Muslim yang bertaqwa. Satu pelaburan yang mungkin kurang pada jangkaan keuntungan kewangannya tetapi lebat dengan manfaat ukhrawi perlu diberikan pertimbangan serius. Menurut sebahagian besar ulama, turutan keutamaan sektor pelaburan yang halal adalah:

1] Melabur dalam sektor yang membawa kejituan beragama di kalangan masyarakat seperti stesen radio dan TV Islam, penerbitan bahan bacaan dan visual yang menyedarkan, model team building berorientasikan nilai Islam, Sekolah Islam dan yang sepertinya. Apatah lagi jika melibatkan penggunaan teknologi terkini digital, artificial intelligence (AI), big data dan lain-lain.

2] Alatan, mesin dan juga makanan yang menambah elemen keselamatan nyawa dan jiwa di dalam masyarakat seperti sektor pembuatan kenderaan yang berkualiti, platform teknologi yang memudahkan dan mendekatkan jarak yang jauh serta memudahkan, pembuatan ubatan dan makanan yang menyihatkan dan yang sepertinya.

3] Sektor perumahan awam yang pastinya membantu masyarakat beroleh penginapan yang baik dan berkualiti.
Sektor pendidikan yang merangkumi ilmu-ilmu fardhu kifayah seperti universiti dan kolej universiti.

Begitulah serba ringkas turutan keutamaan yang boleh disarankan bagi mereka yang ingin dan sedang memikirkan sektor pelaburan yang diingini. Saya sendiri berusaha dan telah menubuhkan beberapa buah syarikat dengan pelbagai rakan kongsi demi memberi sumbangan kepada masyarakat, menjadi pengeluar dan penyedia khidmat serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Ketika ini, di bawah kumpulan perniagaan yang saya usahakan terdapat produk makanan dan minuman halal, kesihatan, pasar mini, teknologi digital, pembangunan software perniagaan dan juga perundingan syariah untuk bisnes. Laman sesawang elzargroup.com boleh memberi sedikit info berkenaan usaha saya, ini penting agar kita tidak hanya bercakap dan mencadang tanpa berbuat lebih dari itu, kita perlu walk the talk.

Modal

Modal merupakan salah satu halangan dan cabaran besar buat pepelabur, jika sesebuah bisnes yang ingin diceburi itu memerlukan kos yang sangat tinggi, amat jarang kedapatan individu yang mampu menggunakan sepenuhnya wang sendiri untuk tujuan sebegitu. Mereka memerlukan sama ada pembiayaan dari pihak bank atau bekerjasama dengan syarikat atau indidivu lain.

Islam menggalakkan bekerjasama atau bersyarikat dalam menjalankan sesuatu bisnes, malah ia lebih disukai berbanding menjalankannya seorang diri selaku pemilik. Ini tentunya agar manusia dapat saling bantu membantu dalam kebaikan, menikmati bersama keuntungan dan menanggung keperitan kerugian bersama. Ia lebih dekat dengan fitrah manusia yang lebih gembira untuk gembira bersama dan berdukacita bersama yang lain.

Justeru, melihat kepada dalil dari al-Quran, pernah diisyaratkan hal perkongsian ini (ertinya): "Dan mereka berkongsi dalam satu pertiga." (An-Nisa: 12 )

Manakala di dalam hadis qudsi disebutkan (ertinya):

Nabi menyatakan bahawa Allah menyebut: "Allah adalah orang ketiga bersama dua orang yang bersyarikat selagi mana tiada salah seorang yang mengkhianati rakannya." ( Riwayat Abu Daud )

Syarat umum

Antara syarat umum yang telah diletakkan dalam hal menyertai aktiviti perniagaan dan perkongsian di dalam sesebuah pelaburan ini adalah:

a. Jika modal itu datang dari institusi kewangan atau bank, WAJIB hanya mengehadkan kepada pembiayaan dari institusi kewangan Islam sahaja.

b. Sebarang jenis pinjaman dari rakan dan taulan mestilah tiada sebarang janji jaminan modal dan jaminan keuntungan. Juga dilarang janji keuntungan pada tempoh tertentu dalam apa jua peratusannya. Itu semua akan menjadikan modal diperoleh dengan cara pinjaman riba yang haram. Tatkala itu, walau perniagaan di dalam sektor yang halal sekalipun, ia tetap menjadi tidak halal.

c. Asas utama perniagaan adalah halal sahaja; tiada sebarang perbezaan pandangan bahawa menyertai atau berkongsi dalam syarikat yang asas utama perniagaannya adalah haram seperti memberi pinjaman riba atau berniaga barangan yang diharamkan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

d. Perkongsian modal dan kepakaran dengan bukan Islam; tidak dinafikan terdapat perbincangan dan pertikaian berkenaan keharusan berkongsi dengan individu bukan Islam.

Terdapat sebahagian ulama yang tidak membenarkannya dan ada juga yang menganggapnya sebagai makruh. Ia berdasarkan riwayat Ibn Abbas RA (ertinya):

“Berkata Ibnu Abbas, ‘Jangan kamu bersyarikat dengan Yahudi, Nasrani atau Majusi.’ Maka aku (Ibn Hamzah) bertanya ‘Mengapa tidak?’ Jawab Ibn Abbas: ‘Kerana mereka melakukan riba dan riba tidak halal.’" (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/3 ; Al-Muhazzab, 1/345 )

Dalil di atas menjadikan Imam Al-Syafie menganggap ‘bermusharakah’ dengan bukan Islam adalah makruh. Manakala Imam Ahmad, Awzaie dan Hasan al-basri menganggapnya harus. Imam Ibn Qudamah pula mengatakan kata-kata Ibn Abbas tadi hanyalah pandangan seorang sahabat dan tidak pula tersebar di kalangan sahabat lain.

Manakala Khalifah Umar al-Khattab berpandangan ia dibenarkan dengan iktikad bahawa sebahagian daripada pendapatan mereka adalah halal sebagaimana Nabi Muhammad pernah diriwayatkan membeli makanan dari Yahudi dan mencagarkan baju besi baginda SAW. (Riwayat Al-Bukhari; Al-Mughni, Ibn Qudamah).

Pandangan mengharuskan dengan melihat kepada perincian aktiviti syarikat ini disokong kuat oleh ulama besar kontemporari seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa. (Al-Muamalat Al-Maliah, Syabir, hlm 210 )

Justeru selagi mana urus niaga utama syarikat atau majoriti dan asas syarikat adalah menepati syariah, ia adalah sah walaupun terdapat rakan kongsi bukan Islam yang samada diketahui atau tidak bahawa modalnya dari yang haram. Ia juga dikuatkan oleh riwayat berikut (ertinya):

“Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Ato' berkata: Rasulullah SAW melarang dari bermusharakah dengan Yahudi dan nasrani kecuali jika jual belinya di tangan orang Islam (menuruti syariah)." (Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim: Dhoif sanadnya kerana mursal: Ahkam Ahli Zimmah, 1/556)


DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), ilmuan syariah dan kewangan Islam serta pemikir dan ahli perniagaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen