malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Tabiin pernah fatwakan zakat pada bukan Muslim
ADS

Dalam satu syarahan Anwar Ibrahim yang merupakan presiden PKR, beliau mencadangkan agar pemaknaan fakir dan miskin yang layak terima zakat tidak dibataskan kepada Muslim sahaja. Cadangan beliau itu merujuk kepada apa yang pernah ditulis oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam salah sebuah kitab beliau tersohor, Fikih Zakat.

Setelah kenyataan beliau itu masuk dalam media perdana, ia mendapat respons dari ramai pihak. Antara yang terawal adalah mufti Perlis yang menyatakan bahawa perkara itu bukan sekadar pernah difatwakan di Perlis, malah telah dilaksanakan.

Apabila diteliti, didapati apa yang dilaksanakan di Perlis itu bukan sepertimana yang dicadangkan oleh Anwar Ibrahim yang juga ahli parlimen Port Dickson. Ini kerana, amalan di Perlis itu adalah merujuk kepada pemaknaan muallafatul qulub, sedangkan Anwar Ibrahim memaksudkan kepada pemaknaan fakir dan miskin.

Bagaimanapun, mufti Pulau Pinang kelihatan bersetuju dengan cadangan pemberian zakat kepada bukan Muslim. Tetapi, di sana terdapat beberapa orang mufti yang tidak bersetuju seperti Perak dan Selangor. Malah, mufti Kelantan juga senada.

Dari Muslim sahaja

Zakat diambil dari Muslim sahaja. Zakat tidak diambil dari orang bukan Islam. Ini disandarkan kepada hadis riwayat Ibn Abbas bahawa ketika Nabi SAW hantar Muaz bin Jabal menjadi gabenor di Yaman, baginda berpesan kepada beliau dengan kata baginda:

“Ajaklah mereka kepada penyaksian bahawa tiada tuhan kecuali Allah, dan sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah. Jika mereka taat itu, maka ajarkan kepada mereka bahawa Allah telah memfardukan kepada mereka lima waktu solat pada setiap siang dan malam. Jika mereka taat itu, maka ajarkan kepada mereka bahawa Allah telah wajibkan kepada mereka sedekah pada harta-harta mereka – diambil dari orang-orang kaya mereka, dan diserahkan kepada orang-orang miskin mereka” (Al-Bukhari, hadis no: 1395)

Dalam hadis ini, Nabi SAW menyatakan bahawa Allah telah wajibkan zakat yang diambil dari kalangan orang yang telah bersyahadah – telah memeluk agama Islam. Dengan ini, zakat tidak diambil dari bukan Muslim.

Zakat pula, diberikan kepada asnaf yang lapan. Senarai mereka dinyatakan dalam al-Quran. Firman Allah:

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk (1) orang-orang fakir, (2) orang-orang miskin, (3) pengurus-pengurus zakat, (4) para mu'allaf yang dibujuk hatinya, (5) untuk (memerdekakan) budak, (6) orang-orang yang berhutang, (7) untuk jalan Allah dan (8) untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah 9:60)

Memberi zakat kepada bukan Muslim

Dalam isu memberikan zakat kepada bukan Muslim, terdapat dua tajuk yang berlaku perbincangan dalam kalangan ulama-ulama Islam.

Zakat pada bukan Muslim dalam maksud muallaf

Dari sudut bahasa, muallaf bermaksud “orang yang mahu dikuatkan hatinya dengan Islam”. Menurut kebiasaannya, muallaf dimaksudkan sebagai orang yang baru sahaja memeluk agama Islam. Hal ini merujuk kepada satu hadis, daripada Anas bin Malil berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya aku memberi beberapa orang (zakat) yang masih baru meninggalkan kekufuran untuk aku perkuatkan hati mereka (dengan Islam)” (Al-Bukhari, hadis no: 4331)

Ini dikuatkan lagi dengan pendapat seorang ulama besar bernama al-Zuhri yang menyatakan:

“Berkata al-Zuhri: Muallaf adalah orang yang memeluk Islam dari kalangan Yahudi dan Nasrani, walaupun mereka itu kaya.” (Al-Qurtubi, jld 8, hlm 178)

Bagaimanapun, terdapat juga pandangan ulama Islam yang tidak membataskan muallaf itu kepada orang yang baru memeluk Islam. Terdapat pendapat yang menyatakan, orang yang belum memeluk Islam tetapi sudah ada kecenderungan kepada Islam pun dikira sebagai muallaf.

Dalam kitab al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, al-Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa maksud muallaf itu ada tiga jenis, iaitu; pertama, orang bukan Islam yang diberikan zakat untuk menguatkan hati mereka kepada Islam. Ketika itu, mereka tidak beragama Islam, sama adegan paksaan atau dengan pedang. Tetapi mereka memeluk Islam dengan pemberian (zakat dan seumpamanya) dan ihsan. Kedua, kaum yang pada zahirnya telah memeluk Islam, tetapi hati meraka belum kuat lagi. Lalu, diberikan (zakat) kepada mereka untuk menjadikan hati mereka lebih mantap dengan Islam. Ketiga, mereka adalah orang-orang besar dari kalangan musyrik. Mereka punyai pengikut. Diberikan zakat kepada orang besar itu agar pengikut mereka datang kepada Islam. (al-Qurtubi, jld 8, hlm 179)

Perkara yang sama juga terdapat dalam perbahasan Ibn kathir dalam kitab tafsir beliau:

“Adapun muallaf itu ada beberapa bahagian. Antara mereka diberikan (zakat) agar mereka memeluk Islam, sepertimana Nabi SAW memberi harta ghanimah (harta rampasan perang) Hunain kepada Safwan bin Umayyah yang ketika itu dia tidak beragama Islam. Dia berkata, bahawa Nabi SAW memberikan harta ghanimah kepadaku hingga aku menjadi orang yang terlalu sayang kepada Nabi, walhal sebelum itu aku adalah orang paling benci Nabi.” (Ibn Kathir, jld 4, hlm 167)

Bagaimanapun, menurut sebilangan besar ulama, penentuan orang yang dikatakan layak dipanggil muallaf adalah pemerintah. Ekoran itu, pada zaman Umar, beliau tidak memberi zakat kepada orang baru masuk Islam. Pada beliau, pada zaman beliau tidak ada lagi orang yang perlu dikukuhkan imannya. (ibn Kathir, jld 4, hlm 181)

Zakat pada bukan Muslim yang fakir atau miskin

Baru-baru ini, Anwar Ibrahim yang merupakan ahli parlimen Port Dickson mencadangkan agar zakat tidak diberikan kepada muslim sahaja. Malah, beliau menukilkan pendapat Dr Yusuf al-Qaradawi yang merupakan bekas presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa yang menyatakan bahawa maksud fakir dan miskin tidak dibataskan kepada Muslim sahaja, malah dimasukkan sama warga bukan Muslim.

Apa yang dicadangkan oleh Anwar Ibrahim itu bukan sesuatu yang baru. Malah, pendapat itu pernah dikemukakan oleh ulama Islam sejak dahulu lagi.

Secara dasarnya, ada tiga orang ulama terkemuka dahulu yang mencadangkan sebegitu adalah tabiin besar, iaitu al-Imam Ibn Sirin, al-Imam al-Zuhri dan al-Imam Zufar dari Mazhab Hanafi. Pendapat mereka ini berasaskan kepada beberapa dalil berikut:

Pertama, dalam kitab yang sama juga, didatangkan satu riwayat bahawa Saidina Umar menafsirkan ayat al-Quran:

“Sedekah (zakat) itu kepada orang fakir.” – kata Saidina Umar: “Mereka pada zaman aku adalah Ahli Kitab”. (Ibn Abi Syaibah, hadis no: 10406 dan Al-Qurtubi, jld 8, hlm 174)

Bagaimanapun, hadis Saidina Umar ditolak oleh ramai ulama dengan alasan bahawa dalam dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Abu Bakar al-Abbasi dikatakan majhul sepertimana yang dinyatakan oleh al-Imam Zahabi dalam Mizan al-I’tidal dan Ibn Abi Hatim dalam al-Jarh wa al-Ta’dil.

Kedua, walaupun hujah pertama ini tidak kuat, terdapat beberapa hujah lain yang lebih kuat dan dijadikan sandaran – menurut Ibn Abi Syaibah melalui kitab Musannaf beliau bahawa terdapat satu riwayat bahawa seorang tabin bernama Jabir bin Zaid ditanya berkenaan pengagihan sedekah. Jawab beliau, diagihkan kepada orang miskin, sama ada Muslim atau ahli zimmah. Malah beliau turut menyatakan juga bahawa Rasulullah SAW ada mengagihkan zakat dan khumus kepada ahli zimmah. (Ibn Abi Syaibah, hadis no: 10409)

Hujah menerusi hadis ini, ditolak oleh sebilangan pihak dengan mengatakan bahawa dalam riwayat ini terdapat seorang perawi bernama Jabir bin Zaid. Beliau adalah seorang tabiin yang tidak pernah berjumpa dengan Nabi. Tetapi, dalam riwayat beliau dinyatakan bahawa beliau terus meriwayatkan dari Nabi. Dengan ini, hadis ini dianggap sebagai mursal tabiien. Dengan itu, mereka menyatakan bahawa hadis ini tidak boleh dijadikan sandaran hujah.

Sikap ulama terhadap hadis mursal tidak sekata. Al-Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa hadis mursal tidak dijadikan hujah oleh ulama hadis dan satu pendapat dalam Mazhab Syafie dan sebilangan ulama fikah. Namun, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan kebanyakan ulama fiqh menganggap bahawa hadis mursal boleh dijadikan hujah. (Syarh al-Nawawi, jld 1, hlm 132)

Dengan ini, menggunakan pendekatan Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad, riwayat ini boleh juga dibuat sandaran hujah.

Ketiga, dalam al-Quran, dinyatakan bahawa asnaf yang boleh menerima zakat itu adalah fakir dan miskin. Dalam kalangan ulama, tidak disepakati maksud bagi fakir dan miskin itu. Al-Imam Al-Qurtubi dan al-Imam Ibn kathir ada menukilkan pendapat Ikrimah dalam menyatakan perbezaan fakir dan miskin. Pada beliau, fakir itu merujuk kepada orang Islam dan miskin itu merujuk kepada ahli kitab yang tidak beragama Islam. (Al-Qurtubi, jld 8, hlm 171)

Dengan ini, al-Quran menyatakan bahawa asnaf zakat itu adalah orang miskin. Ikrimah menafsirkan bahawa miskin itu adalah orang miskin dari kalangan orang bukan Islam (Ahli kitab). Dengan ini, memberi zakat kepada bukan Muslim yang miskin adalah boleh.

Keempat, kaedah usul fikah ada menyatakan bahawa sesuatu lafaz itu hendaklah dipakai makna yang umum selama tidak ada nas yang sahih dan sareh menyatakan khusus.

Apabila diteliti, didapati kalimah fakir dan miskin dalam al-Quran adalah kalimah umum. Bermakna, fakir dan miskin dalam ayat ini bukan sekadar terhadap Muslim, malah termasuk juga terhadap non Muslim. Dengan itu pula, tidak terdapat satu nas yang saheh dan sareh menyatakan bahawa fakir dan miskin ini dibataskan kepada Muslim sahaja. Makanya, difahami bahawa fakir dan miskin dari bukan Muslim juga layak menerima zakat.

Ada pihak berhujah bahawa terdapat hadis saheh yang membataskan zakat diberikan kepada bukan Muslim sahaja, iaitu merujuk kepada hadis al-Bukhari bahawa Nabi SAWberkata:

“Sesungguhnya Allah wajibkan kepada mereka zakat pada harta mereka – diambil dari orang-orang kaya mereka, dan diserahkan kepada orang-orang fakir mereka.”

Dalam hadis ini, dinyatakan bahawa zakat itu diambil dari orang-orang kaya mereka. Kalimah “mereka” itu, mereka menyatakan adalah merujuk kepada orang Islam. Kemudian, dalam hadis pula dinyatakan, “diserahkan kepada orang-orang fakir mereka”, yang kalimah “mereka” ini bermaksud orang Islam sahaja juga. Makanya, mereka menyatakan hadis ini membuktikan bahawa zakat yang diberikan kepada orang fakir dan miskin dari kalangan Muslim sahaja.

Dijawab kupasan ini dengan hujah berikut:

Pertama, dalam hadis ini digunakan kalimah fuqara (orang fakir), bukan masakin (orang miskin). Pemaknaan orang fakir dan miskin, para ulama tidak sekata. Dengan itu, ia masih dalam lingkungan ijtihad dan penafsiran dari kalangan ulama.

Di atas telah dibawakan nukilan dari al-Qurtubi dan Ibn Kathir terhadap kenyataan Ikrimah bahawa yang dimaksudkan dengan fakir adalah orang-orang fakir dalam kalangan Muslim, dan kalimah miskin adalah orang-orang fakir dari kalangan Ahli kitab (bukan Muslim). Dengan ini, menggunakan hadis ini sebagai takhsis (mengkhususkan) umum ayat al-Quran (Surah al-Taubah 9:60), kurang tepat.

Kedua, dalam metod mazhab Hanafi, hadis ahad tidak boleh mengkhususkan umum al-Quran. Hadis riwayat al-Bukhari yang ditafsirkan bahawa diberikan zakat kepada Muslim sahaja ini bersifat ahad, sedangkan ayat al-Quran (Surah al-Taubah 9:6) yang menyatakan fakir dan miskin layak terima zakat itu bersifat umum. Apabila hadis ahad tidak boleh mentakhsiskan umum al-Quran, makanya kekal kepada hukum asal, iaitu bukan Muslim juga termasuk dalam maksud fakir dan miskin yang layak terima zakat juga.

Melihat kepada empat hujah ini, tidak hairan tabiin besar seperti Imam Ibn Sirin, Imam al-Zuhri dan Imam Zufar dari Mazhab Hanafi memfatwakan bahawa bukan Muslim yang fakir dan miskin juga turut layak terima zakat.

Dengan ini jelas, memberi zakat kepada bukan Muslim bukan sesuatu yang bercanggah dengan al-Quran, dan bukan sesuatu perkara yang baru. Malah, ia sudah difatwakan oleh ulama terdahulu, dan terkini adalah Dr Yusuf al-Qaradawi.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen