Pengiklanan

    Sakit mata dulu, sakit mata sekarang

    (Dikemaskini )

    Ada beberapa jenis penyakit mata termasuk katarak dan glaukoma. Semuanya ada kaedah rawatan dan perubatan khusus.

    Penyakit mata yang paling umum terjadi ialah apa yang dinamakan conjectivitis. Atau mengikut ejaan Bahasa Melayu - konjunktivitis – kata Google.

    Konjunktivitis ialah radang membran pada mata. Ia terjadi ketika jaringan yang jelas di atas bahagian putih mata mengalami radang. Ini membuat mata berwarna merah, gatal dan berair. Adakala bengkak. Ia dikenali juga dengan sebutan pink eye atau mata merah jambu.

    Pun begitu sebutan pink eye jarang kita, khususnya di Malaysia, gunakan. Dan oleh kerana konjunktivitis agak susah nak disebut kita lazim gunakan istilah “sakit mata.” Sebut “sakit mata” umum tahu yang dimaksudkan ialah mata merah, gatal dan berair.

    Orang yang mengidap konjunctivitis biasanya diberi cuti sakit oleh doktor antara satu hingga tiga hari. Disambung sampai seminggu pun boleh. Bergantung kepada keadaan, teruk atau tidak penyakit.

    Rawatannya pula titis mata atau eyedrops. Kadangkala ada juga pil untuk ditelan dan krim untuk disapu di kelopak mata.

    Konjunktivitis senang berjangkit. Ini kita semua tahu. Lantas doktor menasihati kita menjauhi tuala, bantal, tisu atau apa-apa yang digunakan oleh orang yang kena konjunktitivis.

    Si pesakit pula dinasihati kerap mencuci tangan. Bimbang kuman ditangan samada tersentuh mata atau tidak “pergi’ hinggap kat orang lain. Jika ini terjadi dengan cepatlah orang itu dijangkiti.

    Ada orang mendakwa “bertentangan mata” dengan penghidap konjunktivitis pun dikira bahaya kerana boleh dijangkiti. Maknanya mereka mendakwa pandang mata orang yang kena konjunktivitis pun sudah cukup untuk kita dijangkiti.

    Oleh itu pesakit kerap menggunakan cermin mata hitam kerana tidak mahu orang lain terkena. Dan orang lain pula menjauhi diri.

    Dalam kata lain sesiapa yang ada konjunktivitis biasanya diminta “mengurung” diri di rumah. Elak bertemu orang. Selalunya mereka sendiri atas sifat prihatin menghindari daripada bertemu orang atau tidak pergi ke tempat di mana ramai orang berkumpul dan sebagainya.

    Rasanya antara tujuan utama pegawai perubatan memberi cuti sakit kepada penghidap konjunktivitis ialah supaya mereka tidak berjumpa atau bergaul dengan sanak saudara, kawan atau orang lain.

    Namun baru-baru ini di negara kita dikatakan “terbit” sejenis sakit mata yang tak berjangkit.

    Yang jelas si pesakit atau penghidap, katanya, bebas pergi merata tempat, bergaul, bersembang, bersalaman, beramah mesra dengan orang ramai tanpa orang yang dihampiri dijangkiti. Duduk dekat berlaga bahu pun tak mengapa.

    Cukup hebat dan menarik orang yang didekati tidak dijangkiti. Ini berdasarkan tiada ada laporan media tentang apa apa peningkatan jumlah orang yang kena sakit mata.

    Mujurlah, kalau sakit mata dulu – memang ramai yang sudah dijangkiti kerana si penghidap sakit mata memang mengunjungi tempat awam yang penuh dengan orang ramai.

    Tak tahulah sama ada ini konjunktivitis jenis baru yang tidak boleh menjangkiti orang. Atau ia sejenis penyakit itu.

    Tapi sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman pakar perubatan tempatan atau luar negara termasuk WHO mengenai “penemuan” ini, jika ia sesungguhnya satu “penemuan”.

    Apa pun kita berasa gembira – sakit mata tidak benjangkit. Tidak seperti masa lalu.


    MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

    Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih