Pengiklanan

    Keajaiban di Tanjung Piai?

    (Dikemaskini )

    Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi P165 Tanjung Piai kali ini menimbulkan sedikit ‘kontroversi’ kepada pihak pembangkang dengan penyertaan parti Berjasa dalam PRK kali ini. Ramai yang telah mengkritik menganggap Berjasa tidak akan mampu menang malah dilabel sebagai pemecah undi. Namun, dari segi ketokohan dan kelayakan akademik calon parti tersebut, tidak ada pihak yang mampu menyangkal bahawa Dr Ir Ts Badrulhisham Abdul Aziz adalah merupakan calon yang paling menonjol, berkredibiliti dan berwibawa.

    Beliau mempunyai ijazah dari Amerika Syarikat, master dari United Kingdom dan PhD dari universiti terkemuka Jepun. Ini membuktikan kehebatan beliau dari aspek akademik dan inteleknya. Jarang-jarang ada anak Melayu yang mampu memperoleh tiga kelulusan dari 3 tiga buah negara yang berlainan sebegini. Beliau juga mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Jepun di samping bahasa kebangsaan. Kredibiliti beliau bukan sahaja mengatasi calon-calon lain dalam PRK kali ini tetapi sebahagian besar ahli-ahli parlimen dan malah menteri-menteri kita sekarang.

    Badhrulhisham juga merupakan seorang yang sangat komited dengan Islam dan malah dalam sidang-sidang media yang diadakan, beliau sentiasa menjelaskan bahawa kemasukannya di dalam PRK kali ini adalah atas dasar prinsip di mana beliau yakin bahawa kawasan yang majoritinya Muslim perlu dipimpin oleh seorang Muslim sebagai wakil rakyat.

    Lebih menariknya lagi, beliau dengan jelas menyatakan bahawa Berjasa masih teguh dalam Gagasan Sejahtera dan menyokong Muafakat Nasional namun agak terkilan apabila calon yang dipertandingkan mempunyai track record yang tidak baik dan tidak mesra terhadap Islam. Jadi, adakah wajar pengundi Muslim tidak diberikan pilihan yang selayaknya terutamanya kepada mereka yang sudah menolak Pakatan Harapan?

    Sebenarnya tidak ada alasan kenapa pencalonan Dr Badrulhisham menimbulkan ‘kontroversi’ tetapi sebaliknya semua parti yang bertanding harus berlapang dada. Pada masa yang sama, sentimen orang Melayu sekarang ini memang sedang menunggu-nunggu kehadiran seorang pemimpin Muslim yang benar-benar boleh menjaga agama Islam dan bangsa Melayu secara serius, ikhlas dan berprinsip.

    Badrulhisham Abdul Aziz 

    Malangnya, ramai para pengkritik tidak memberikan apa-apa harapan pun kepada Dr Badrulhisham yang bertanding ini. Namun, BN dan PH janganlah pandang ringan sentimen kebangkitan orang Melayu yang sedang berlaku. Saya yakin undi orang-orang Cina akan berpecah kepada tiga dan jika sebahgian besar pengundi melayu memilih Berjasa saya tidak menolak kemungkinan bahawa Berjasa boleh melakukan keajaiban. Ini tidak mustahil.

    Walaupun masih ramai yang belum mengenali Berjasa tetapi saya lihat ramai yang menghormati dan mengagumi prinsip yang mereka pegang, termasuklah diri saya sendiri. Generasi muda yang mahukan perubahan, sudah pasti melihat Dr Badrulhisham adalah calon dan ikon yang terbaik.

    Kalau pada PRU14 yang lalu Berjaya (atas tiket PAS) mampu mendapat lebih 2,000 undi, tetapi saya yakin kali ini jumlah undi itu akan meningkat seandainya tidak menang sekalipun. Jika ini berlaku, maka terbuktilah segala tohmahan yang dilontarkan adalah salah terutamanya yang mengatakan mereka hadir hanya sekadar utk memecah undi.

    Mungkinkah PRK Tanjung Piai adalah titik tolak kebangkitan dan kematangan politik Malaysia? Wallahualam.


    AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih