malaysiakini logo
story-image
ADS

Betulkah ada gereja yang menyediakan tabung dipenuhi wang dan ianya boleh diambil oleh sesiapa saja yang memerlukan? Di gereja manakah kebajikan seperti itu dilakukan?

Kami selalu bertanya begitu kepada diri sendiri kerana kami dulu bersekolah bersebelahan dengan sebuah gereja yang agak besar dan di situ tidak pula kami dapati apa-apa tabung seperti yang sering diceritakan orang.

Yang ada cuma loceng besar yang selalu kami tarik talinya dan bergemalah bunyi loceng tersebut ke seluruh bandar.

Aktiviti kami memanggil orang Kristian datang sembahyang di luar waktunya itu hanya terhenti apabila pihak gereja bosan dengan kenakalan kami. Lalu dikunci mereka bilik loceng tersebut.

Kadang-kadang dalam memperlekehkan satu orang atau sesuatu kumpulan, kita senang untuk mengangkat kumpulan lain tanpa ada bukti nyata tentang apa yang kita ceritakan itu.

Kita katakan bahawa di negara sekian ada kebaikan sekian, lalu kita bandingkan dengan sekian keburukan yang ada dalam negera kita sendiri.

Berapa banyak mereka yang ke Jepun, misalnya, dan teruja dengan kebersihan di situ lalu membandingkan pula dengan negara kita sedang dia sendiri ketika di negari matahari terbit tersebut amat patuh dengan segala undang-undang kerbersihan setempat.

Hatta mahu kentut pun ditahannya kerana bimbang disangka tidak bertamadun.

Ambil tanpa rasa bersalah

Namun sebaik melangkah kaki keluar dari terminal tambang murah di tanah air sendiri, maka merekalah manusia pertama yang akan 'kencing berak' di tempat awam tanpa ada rasa bersalah.

Kebersihan - dan apa saja kebaikan - sesebuah negara datang dari rakyatnya yang tidak bodoh, dan tidak juga sanggup diperbodohkan.

Malang sedikit bagi kita di Malaya ini. Kita ada kedua-duanya yakni si bodoh yang (sedang) diperbodoh.

Jika benar ada gereja seperti yang dikatakan tadi, yakni membenarkan sesiapa saja mengambil wang dari tabung mereka tanpa sebarang prejudis, maka hal ini sepatutnya diberitahu kepada budak-budak yang selalu 'memancing' tabung masjid.

Beritahu mereka tentang hal ini dan hebahkan juga hal demikian kepada sekian banyak budak-budak yang menghisap dadah serta juga kaki ragut yang sentiasa menyusahkan itu.

Biar mereka senang mengambil wang yang diperlukan tanpa perlu ada rasa bersalah.

Sementelah pula gereja yang dikatakan amat bermurah hati itu tentu saja tidak menghalang mereka datang kerana memerlukan bantuan.

Bergelut dalam kelemasan

Dan jika yang mengambil wang dari gereja itu adalah seorang Muslim kemudian dia menukar agama, biarkan saja kerana Islam tidak memerlukan si peminta-minta, pengisap gam dan juga pencuri ada dalam beragama.

Walaupun kami berasakan hal itu adalah dongeng moden yang direka-reka demi untuk menjatuhkan kumpulan tertentu - sambil mahu menaikkan kumpulan yang lain - namun jika ianya adalah kisah benar, maka masjid-masjid hendaklah mengikut teladan itu dengan sepenuh jiwa.

Hari ini sudah ada banyak masjid yang menyediakan beras, minyak masak, bihun dan segala macam makanan asas secara percuma kepada siapa saja.

Namun wang tunai yang sentiasa menjadi pilihan utama mereka yang memerlukan.

Kerana itu masjid boleh saja menyediakan sebuah tabung yang tidak dikunci rapat. Ianya hendaklah mesra kepada penderma dan juga penerima derma.

Siapa saja yang memerlukan boleh mengambil wang tunai yang ada dalam tabung tersebut.

Kamu mungkin akan mengatakan bahawa ini adalah kerja gila, namun jika kamu adalah mereka yang dalam kesulitan, tabung itu adalah nafas yang kamu perlukan ketika bergelut dalam kelemasan.

Dalam kes bahan makanan yang disediakan oleh masjid-masjid, kami hairan mengapa bihun sangat menjadi pilihan. Dan jika disediakan bihun, tentu saja sawi, udang atau sotong dan sos cili diperlukan juga.

Tidak pernah pula kami dapati bahan basah disediakan oleh mana-mana masjid. Jadi, kami sarankan bihun diganti dengan mi segera yang lebih universal.

Sediakan tabung tunai

Seperkara yang ingin kami tanyakan ialah: apakah makanan yang disediakan di masjid-masjid itu hanya untuk keperluan atau kegunaan orang Islam? Apakah individu yang bukan Islam boleh datang mengambilnya - jika mereka memerlukannya?

Rasanya makanan ini semuanya dibeli menggunakan wang para penderma. Maka tentulah tidak ada halangan daripada penderma untuk berkongsi pemberian mereka kepada sesiapa saja waima berbeza bangsa atau agama.

Islam ini begitulah, membantu sesiapa saja yang sedang susah tanpa ada batasan, seperti PAS hadir membantu ketika Umno dalam kepayahan.

Eh! Ke situ pulak perginya.

Satu hal yang benar mengenai gereja adalah, apabila ahli jemaah mereka datang berkumpul, lalu ditanya apakah masalah mereka, akan sedaya upaya pihak geraja membantu menyelesaikan masalah berbangkit.

Apa saja yang dikemukan - sama ada masalah peribadi hinggalah kepada masalah kehidupan - ianya akan diambil berat oleh pihak gereja.

Jika kelaparan atau keputusan wang yang menjadi masalah, maka bantuan segera akan diberikan dari tabung gereja untuk mengatasinya.

Masjid juga tentu boleh menjadi tempat mengadu hal oleh para jemaah. Bukan sedikit kita dapati kes orang kesusahan datang mengharapkan bantuan di masjid dan pihak pengurusan terus meminta jemaah menyumbang pada ketika itu juga.

Ini sedikit sebanyak akan menjadikan pihak yang memohon pertolongan berasa serba salah.

Adalah lebih baik jika pihak masjid menyediakan satu tabung tunai khas untuk hal-hal sebegini. Pedulikan sama ada mereka yang datang memohon pertolongan itu benar-benar kesempitan atau sekadar mengambil kesempatan, kerana tugas kita adalah membantu sesiapa saja dalam kesempitan.

Serahkan selebihnya kepada Tuhan. Belum pernah lagi ada masjid atau sesiapa saja yang bankrap kerana menolong orang yang dalam kesukaran.

Foto yang mengiringi tulisan kali ini adalah sekitar majlis perasmian pameran Drawing Matter? yang diadakan di galeri Hom Art Trans, di Ampang, Selangor.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang rajin ke masjid apabila ada jamuan makan.

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen