malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Kembali merenung ‘akademia masyarakat’
ADS

Sambutan Hari Akademia Peringkat Kebangsaan 2019 Malaysia adalah diraikan bersempena dengan UNESCO World’s Teachers Day disambut di semua Institut Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia.

Hari Guru Sedunia atau World Teachers' Day merupakan satu acara tahunan antarabangsa menyambut penerimaan dokumen, "Recommendation concerning the status of higher education teaching personnels", oleh UNESCO General Assembly pada tahun 1997.

Sambutan World Teachers’ Day ini pada asalnya disambut oleh para akademia kebangsaan dengan hasil usaha Kumpulan akademik Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) dengan IIUM menjadi universiti pertama di Malaysia menyambut World’s Teachers Day pada tahun 2015.

Ingin saya kongsikan di sini, pihak yang paling bersungguh-sungguh meminta agar Hari Akademia ini diadakan dan disambut ialah Kongres Persatuan Akademik Malaysia atau dikenali sebagai MAAC.

Di dalam satu pertemuan di Kota Kinabalu, Sabah, wakil MAAC telah bertemu dengan saya dan menuntut agar diperuntukkan satu hari khas demi menghargai ahli akademik. Maka, Hari Akademia adalah nazar yang terlahir daripada idea ini, yang mengiktiraf hak para pensyarah dalam pendidikan tinggi negara.

Akhirnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2019 yang lalu telah bersetuju dan meluluskan Hari Akademia disambut pada tarikh 5 Oktober dan Bulan Oktober diiktiraf sebagai Bulan Akademia. Oleh itu buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, kita telah berjaya mendapatkan satu hari khas buat menghargai ahli akademik di seluruh Malaysia.

Di dalam meraikan Hari Akademia kebangsaan, kita perlu kembali menatari wacana yang pernah diketengahkan oleh Syed Hussein Alatas di dalam salah satu magnum opusnya, Intellectuals in Developing Societies (1977) tentang peranan golongan intelektual di dalam membangunkan masyarakat.

Beliau mentakrifkan manusia yang berfikir dan terdidik itulah yang digelar sebagai inteligensia atau intelektual, yang mana kata beliau, mereka ialah “seseorang yang mengumuli pemikiran tentang idea dan masalah non-materi dengan menggunakan akal fikirannya.”

Memandu masyarakat

Wacana ini telah sekian lama berjelaga di dalam ranah sejarah kita, malah dalam tradisi keilmuan kita pun, seringkali seorang pendidik itu dianggap sebagai seorang pujangga, yang mesti berperanan membenihkan kepujanggaannya itu dalam membentuk arus fikir masyarakat.

Seorang pujangga, atau one man (meminjam istilah Ralph Waldo Emerson) itu tugasnya memandu masyarakat mencari kebenaran. Hal ini juga dibahaskan panjang lebar oleh Sasterawan Negara yang juga sasterawan tamu di UM sendiri, iaitu Prof Muhammad Haji Salleh di dalam karya besarnya, The Mind of the Malay Author: Yang Empunya Cerita, yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1991.

Usman Awang juga pernah memahatkan kata-kata nan tepat tentang seorang pujangga yang sebenarnya lagi berperanan besar dalam membangunkan peradaban bangsa, kata Usman Awang; “tiada tertanding segala bijaksana, tajam keris raja... tajam lagi pena pujangga.”

Wacana ini perlu dihayati kembali dengan hasrat agar seringkali tumbuh dalam mandala ingatan kita zeitgeisty sebenar di sebalik Hari Akademia.

Kelompok intelektual di Malaysia perlu sedar bahawa tanggungjawab mereka bukan hanya sekadar dibatasi di menara gading, tetapi mereka adalah penyuntik moral, pembekal pemikiran, pelopor budaya, dan lebih daripada itu, mereka adalah peterana kebenaran buat masyarakat dan negara.

Kewujudan para intelek adalah kerana kewujudan masyarakat. Saya bercita-cita untuk melihat budaya Malaysia Baru mampu menjadikan masyarakat sebagai nukleus dalam banyak perkara.

Sekiranya kita dapati hari ini masyarakat kita dibelenggu dengan budaya mediocrity yang sangat membimbangkan, para intelektual harus memulangkan soalan kepada diri mereka sendiri; apakah yang telah mereka lakukan untuk mengeluarkan masyarakat dari daerah merbahaya ini?

Soalan ini perlu terus menggasak para intelek, mendesah setiap gerak kerja yang dilakukan hari-hari, dan menumbuhkan azimat dalam diri mereka untuk terus, seperti yang disebutkan oleh Edward Said, “to induce a change in moral climate”.

Contohi Marco Polo

Bahkan tatkala memetik Edward Said, jangan sesekali kita terlupa kepada saranan beliau agar para intelektual masyarakat mencontohi Marco Polo yang berjalan ke separuh dunia sambil mentelaah rancu ilmu dari local genius (kearifan tempatan) yang pelbagai tanpa jemu. Dan itulah sebenarnya trait wajib yang patut ada pada setiap ahli akademik.

Berkali-kali Edward Said mengingatkan kita agar menjauhi sikap dan mentaliti kolonialisme Robinson Crusoe, protoganis lewat karya Daniel Defoe yang sikapnya hanya mahu menjajah walaupun terdampar keseorangan di sebuah pulau yang terpencil.

Inilah asasnya kenapa diperkenalkan tema di sebalik Hari Akademia yang julung kalinya disambut di Malaysia sebagai akademia untuk masyarakat. Aspirasinya sangat besar dan sangat mencabar. Kita tidak mahu lagi wujudnya hempawa atau vakum yang menjurangi keberadaan para intelektual dengan masyarakat.

Lumpur permasalahan masyarakat harus digeluti, gawat dan desah mereka harus menjadi persoalan dalam lambak jurnal dan kertas-kertas penyelidikan kita, daya fikir para intelektual harus membumi, harus terus menawarkan penyelesaian yang tuntas, menyeluruh dan berusia panjang. Inilah sikap seorang ilmuwan pencerah atau apa yang disebut oleh Almarhum Dr. Ali Shariati sebagai: rausyanfikir.

Inilah juga peranan para cendekiawan, yang menjadi lidah, mata, telinga dan otak serta nadi masyarakat. Para intelektual harus menjadi cendekiawan yang membumi dan bersama dengan masyarakat awam, serta bukan lagi menduduki menara gading nun jauh dari lapangan, dan mendabik dada sebagai ‘cendekiawan’.

Hari Akademia merupakan manifestasi penghargaan yang besar yang telah negara berikan buat para pensyarah di universiti, kolej-kolej, Politeknik, Kolej-kolej Vokasional dan Kolej-kolej Komuniti. Hakikatnya, ia lebih daripada sekadar sambutan. Maknanya lebih agam dan mendasar, malah perlu dihayati dengan lebih mendalam oleh diri kita sendiri dan semua lapisan masyarakat.

Akhir sekali, Sebuah sajak saya dedikasikan kepada para intelektual negara, bersempena dengan sambutan sulung Hari Akademia Kebangsaan berjudul “5 Oktober”.

Sesekali kita memandang ke luar jendela
Meramahi warna senja memukul segala resah di dada
Masih berselirat dalam kepala kita
Belum terisi markah periksa
Belum sempat menyunting jurnal

Bermacam permintaan editor Scopus, ISI Q1 dan Q2
Belum siap ulasan artikel
Apa nak jadi dengan kumpulan siswa yang satu ini
Masih belum hantar assignment yang telah diberi
Yang dihantar pun penuh dengan copy and paste

Mengimbas waktu, kita takkan pernah lupa
Setiap desah dan gusar
Setiap busa persoalan, setiap bungkal pertanyaan
Kita pernah menghentak meja
Tangkas menyanggah kepalsuan
“Ini tidak benar,” kata kita
Telah kita jalinkan segerombolan fakta
Menyimpul kebenaran menawarkan penyelesaian
Yang kita mahu, cuma satu
Kebenaran diwarisi, masyarakat diadili

Kepada kalian yang telah menumpahkan keringat
Yang menabur makna kepada bangsa
Yang melakar warna budaya
Yang berani menepis busur pengkhianat
Yang tegas memusuhi kepalsuan
Yang berdiri di atas menara integriti
Yang bertahan di atas kanvas etika
Yang sentiasa khuatir nasib anak bangsa
Dan yang sentiasa ada demi membangunkan negara
5 Oktober; adalah untuk anda semua.

Selamat Hari Akademia!


DR MASZLEE MALIK merupakan menteri pendidikan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen