malaysiakini logo
story-image
ADS

Biar saya mengaku secara jujur, hati saya terusik dengan kempen 'Buy Muslim First' (BMF). Betapa saya harap agar diri saya tidak dihantui sentimen ini, tetapi ia tetap terkesan dalam kehidupan harian, dalam situasi tertentu.

Satu hari ketika merayau-rayau di sekitar kota – mencari makanan untuk mengisi perut, saya ternampak seorang ibu bertudung duduk di tepi jalan bersama anak-anaknya. Daripada penampilannya, nampak dia sedang dihimpit kesempitan hidup. Kebetulan kami bertentang mata. Dibaca dengan apa bahasa sekali pun, matanya memberi isyarat bahawa dia memerlukan sedekah.

Pada saat-saat inilah retorik kempen BMF terlintas dalam otak saya. “Apa salahnya muslim mengutamakan bantuannya kepada muslim?” Tiada salahnya.

Cuma saya rasa cukup bersalah apabila logik menterbalikkan soalan itu kepada “Apa salahnya non-muslim mengutamakan bantuannya kepada non-muslim?”, lantas mencadangkan kepada saya agar mengutamakan bantuan kepada non-muslim yang turut ada meminta sedekah di sekitar kawasan itu.

“Jikalau tidak jumpa dengan pengemis non-muslim nanti, sempat lagi saya berpatah balik dan menghulurkan bantuan untuk pengemis muslim di depan mata ini.” Ia tidak lebih sebagai alasan untuk menghalalkan kekejian dalam diri saya. 

Saya akan berasa segan untuk berdepan dengan ibu bertudung di depan saya, malah saya memandang hina diri saya sebagai manusia, seandainya saya berpegang kepada pendirian sedemikian.

Situasi yang mirip pengalaman ini juga berlaku beberapa bulan lalu. Satu hari selepas makan malam saya berjalan menuju ke satu kedai roti yang pernah dikunjungi sebelum ini untuk membeli sarapan. Ketika berjalan, kebetulan saya melalui satu gerai lain di depan bank. Entah bagaimana pemilik gerai itu membaca niat yang terpendam dalam hati saya, lalu dia memperkenalkan roti yang dijualnya kepada saya.

Agak ikhlas, dan saya dapat merasakan lelaki Melayu ini benar-benar berharap agar saya membeli rotinya. Daripada penampilannya, mungkin dia seorang suami, bapa, atau anak yang sedang mencari rezeki untuk keluarga. Saya memandang ke arah mejanya. Roti disimpan dalam bekas dengan baik , tanpa terdedah kepada lalat atau habuk. Maknanya, dia menjaga kebersihan produknya. 

Tiada alasan untuk saya menolak, kecuali “Maaf bos, tapi saya sebagai non-muslim berpegang kepada prinsip untuk mengutamakan roti buatan non-muslim”.

Tidak, saya sesekali tidak sampai hati untuk menolak seorang insan dengan alasan sebegitu. Andai pemilik gerai roti ini baru memulakan kerjayanya, saya berlaku zalim dengan melunturkan semangatnya. Bukan itu sahaja, malah saya menafikan fahaman diri saya, barangkali juga fahaman dirinya, bahawa sesuatu produk hanya akan ditolak kerana faktor kualiti dan harga, bukan faktor yang tiada kena-mengena seperti anutan agama si peniaga.

Hakikatnya saya tidak harus terjerumus dalam dilema sebegitu. Saya sedar bahawa saya perlu menamatkan segala kekalutan yang masuk dalam otak tetapi tidak masuk akal ini. Saya mengeluarkan wang dan membeli roti mengikut citarasa kegemaran saya. Senyumannya menyelamatkan saya dari ditenggelami kebodohan yang tidak bertebing.

Sistem ekonomi yang rumit

Sentimen inilah yang menjadi kebimbangan saya ketika kempen BMF digendangkan. Mustahil hanya saya saja yang terkesan, cuma saya kurang pasti sejauh mana reaksi masyarakat bukan Islam ketika berdepan dengan situasi sebegini.

Hakikatnya isu ini tidak semudah hasrat murni untuk menolong sesama muslim, jika kita mengambil kira sistem ekonomi yang rumit, malah konteks masyarakat Malaysia yang majmuk. 

Rangkaian ekonominya bertindih, misalnya kedai dengan majikan bukan Islam tetapi pekerja muslim; atau peruncitnya muslim tetapi pemborongnya bukan Islam.

Persoalan yang timbul - jika kedai seorang bukan Islam itu terpaksa gulung tikar lantaran kempen BMF, maka ia mengundang masalah pengangguran kepada pekerja muslimnya. Apakah kita menyelesaikan masalah? Apakah senario ini yang kita inginkan?

Itu belum senario terburuk. Setelah kita menyuburkan sentimen “utamakan produk muslim”, apakah keabsahan yang tinggal untuk kita mengecam “majikan non-muslim yang mengutamakan pengambilan pekerja non-muslim”?

Lebih parah, jika seorang muslim berniaga di tengah-tengah komuniti yang majoritinya bukan Islam; atau sebaliknya, sudah tentu ia akan dipulaukan andai sentimen ini semakin menebal.

Akhirnya, kedai muslim yang biasanya dilanggani orang bukan Islam dan kedai orang bukan Islam yang biasanya dilanggani muslim terlingkup, hanya kerana kita cuba membuat pengasingan secara naif – bahawa ini produk muslim, dan itu produk non-muslim.

Siapa perlu mulakan langkah pertama?

Pernah saya merenung isu ini: Mengapa harus kita menyuburkan sentimen “muslim membantu sesama muslim”, untuk mengangkat kedudukan ekonomi orang Islam? 

Mengapa orang Islam di Malaysia tidak yakin bahawa orang bukan Islam di Malaysia akan turut sama menghulurkan bantuan untuk mengangkat kedudukan ekonomi mereka?

Pernah saya berterus-terang dengan seorang rakan bukan Islam yang mempertahankan pendirian “non-muslim harus menolong sesama non-muslim”, tanpa sehiris rasa apologetik. 

“Apabila muslim menolong sesama muslim, non-muslim akan rugi andainya non-muslim tidak mengkhususkan bantuannya kepada non-muslim.” Jawapnya secara spontan, dan barangkali, jujur.

“Salah satu pihak harus mengorak langkah pertama untuk memecahkan idea bahawa ‘muslim hanya menolong muslim’, dan ‘non-muslim hanya menolong non-muslim’," kata saya. 

Cadangan saya dipersetujuinya, namun disusuli dengan soalan spontan, “Mengapa harus kita (non-muslim) yang mulakan?”

“Jikalau ia sesuatu yang mulia, apa salahnya kita yang mulakan?” Saya agak yakin bahawa soalan saya ini akan membuatkan rakan non-muslim saya itu terkesima.

“Kita minoriti. Mereka (muslim) majoriti. Mereka kata, Islam memimpin. Kalau nak jadi pemimpin, mereka kena mulakan dahulu.” Dia tetap berkeras. Saya pula yang terkedu dan tidak terkata apa-apa.

Islam untuk semua

Sungguh pun keras, namun jawapan rakan saya ini menyelami soalan yang lebih mendalam – Mengapa agamawan di Malaysia berfikir dalam kerangka “muslim membantu sesama muslim”, ketika mencari jalan keluar untuk memperbaiki nasib orang Islam?

Seandainya agamawan kita menggunakan hujah “apabila ekonomi muslim diperkasa, maka bumiputera tidak mengharapkan insentif bantuan kerajaan pada masa depan” untuk meyakinkan orang bukan Islam dalam isu BMF, mengapa agamawan tidak menyusun naratifnya untuk berbunyi, “Masyarakat Malaysia harus menolong sesama kita tanpa mengira anutan agama, supaya semua yang memerlukan bantuan, dibantu untuk berdikari pada masa depan” sejak dari mula?

Saya tidak pasti sama ada ia berkesan, tetapi sekurang-kurangnya ia menyelesaikan dilema saya dan ramai lagi apabila berdepan dengan situasi di atas. Seorang bukan Islam tidak teragak-agak untuk menolong seorang muslim, kerana dia sedar bahawa orang bukan Islam yang dihimpit kesempitan di satu pelusuk yang lain, akan juga dibantu oleh muslim yang berkemampuan. 

Akhirnya, batasan kaum yang memisahkan kita diruntuhkan oleh agama yang mendukung nilai kemanusiaan.

Apakah dengan naratif sedemikian, Islam akan terancam di bumi ini? Tidak, sebaliknya Islam dijulang setinggi-tingginya di mata dunia, jikalau agamawan Malaysia berjaya menampilkan kepimpinan berteraskan nilai kemanusiaan untuk sejagat.

Hakikatnya, masyarakat majmuk seperti Malaysia menyediakan tanah paling subur untuk melahirkan agamawan yang berpandangan jauh, dan menjadi makmal terbaik untuk eksperimen kepimpinan Islam. 

Interaksi dengan orang bukan Islam yang berlatarbelakangkan keturunan yang pelbagai menjadi pengalaman terbaik untuk mengasuh agamawan Malaysia, agar terserlah kepimpinannya untuk mentadbir masyarakat berbilang kaum dan agama, bukan sahaja lokal, malah global pada suatu hari nanti.

Sebagai seorang bukan Islam, sudah tentu saya menumpang bangga seandainya agamawan Islam di Malaysia berjaya menampilkan kepimpinan yang diteladani masyarakat antarabangsa. Saya masih yakin, bahawa kita boleh berjaya bersama, jika kita tidak memilih untuk saling memusnahkan.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen