malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Artexpo yang sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC), Kuala Lumpur dan akan berakhir hari ini adalah antara acara seni rupa yang terbesar pernah diadakan di negara kita.

Penganjurannya telah memasuki tahun yang ke-13.

Pada tahun ini ianya disertai lebih 60 galeri seni dari berbagai negara. Antara galeri tempatan yang menyertai Artexpo kali ini ialah Galeri Segaris, Galeri Artemis, G13, TAPG, A+ Art Gallery, dan beberapa galeri ternama lain.

Kali ini Singapura menjadi antara penyumbang terbesar. Mereka diwakili oleh Artporter, Art Xchange, Artblure Studio, Gnani Art, Redsea Gallery dan beberapa yang lain lagi.

Sementara galeri-galeri dari Jepun - seperti tahun-tahun sebelumnya - berkumpulan di bawah satu bumbung digelar sebagai Pavilion Jepun.

Terdapat juga wakil galeri-galeri dari Sepanyol, Itali, Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan serta Hong Kong.

Pameran kali ini juga memberi penghormatan khas kepada pelukis Khalil Ibrahim dan juga Isey Roslisham Ismail yang meninggal dunia baru-baru ini.

Acara ini juga mengumpulkan hampir semua nama besar dalam seni rupa Malaya. Nama-nama seperti Yusof Ghani, Awang Damit, Zulkifli Yusof, Hamir Soib, Umi Baizura, Suzlee Ibrahim, Khairuddin Zainuddin, Shafiq Rahim, Ilham Fadly, Haslin Ismail, Aizat Amit, dan ramai lagi artis yang terkenal yang sedang menaik, turut mempameran karya terbaru masing-masing.

Artis-artis terkenal luar negara seperti Miro, Nara Yoshimoto, Heri Dono, Eddie Hara juga mewarnai dinding pameran dengan karya-karya mereka.

Acara ini sepatutnya bukan hanya menjadi tumpuan peminat seni rupa saja malah patut dilawati oleh semua lapisan masyarakat.

Jarang untuk kita berpeluang menikmati begitu banyak karya seni dalam satu-satu masa.

Foto oleh pelukis Aizat Amir.


ABDULLAHJONES ialah adalah penulis, pelukis dan penyebar acara seni rupa Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen