malaysiakini logo
story-image
ADS

Manusia mempunyai perbezaan antara satu dengan yang lain. Bermula dari perbezaan jantina, sehingga kepada perbezaan keturunan, etnik dan warna kulit.

Memandang hina kepada kalangan kalangan yang berbeza, ia bukan sekadar bercanggah dengan ajaran Islam, malah bercanggah dengan fitrah manusia. Dari sudut pengamalan, ia dimulai oleh iblis terhadap Adam.

"Aku lebih mulia daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan Engkau menciptakan dia dari tanah,", kata Iblis sepertimana yang dikisahkan oleh Allah dalam surah al-A'raf ayat ke-12.

Memandang hina kepada kalangan yang berbeza, ia ada iras dengan semangat perkauman. Memandangkan ketika itu belum wujud lagi soal kaum dan etnik, makanya Iblis memandang hina hanya disebabkan perbezaan ciptaan.

Tindakan Iblis itu adalah manifestasi dari jiwa yang sombong - tidak akur dengan ciptaan Allah. Ciptaan dari asal kejadian berada di luar dari ikhtiar manusia. Ia semua hak milik Allah yang mutlak.

Akidah

Akidah adalah perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata. Pun begitu, kesannya terpamer dalam bentuk perbuatan. Dalam al-Quran, Allah menggambarkan orang munafik itu berusaha menipu Allah dan orang beriman; mengatakan bahawa mereka beriman, walhal hakikatnya mereka tidak beriman.

Menipu Allah dan orang beriman itu adalah kesan dari hati yang kufur. Kekufuran di hati tidak dapat dilihat. Tetapi yang nampak dilihat, apabila terpamer dari sudut tindakan – menipu tadi.

Demikian juga kesombongan dengan memandang hina kepada kalangan yang berbeza - sepertimana yang dilakukan oleh Iblis terhadap Adam. Ia adalah manifestasi dari suara hati - kepercayaan (akidah), iaitu apabila tidak boleh terima hakikat bahawa ciptaan dirinya dianggap mulia, tiba-tiba perlu sujud kepada Adam yang dia percaya sebagai tidak mulia.

Dengan kesombongan Iblis itu, menyebabkan Allah menggelarkan iblis dengan gelaran akidah – iaitu kufur. Kata Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 34: "Dia (iblis) ingkar dan takabbur, maka dia dari kalangan mereka yang kufur.”

Perkauman

Perkauman adalah manifestasi dari hati yang memandang hina terhadap kalangan yang berbeza. Perkauman cara Iblis, menganggap Adam yang berbeza sebagai hina. Perkauman cara manusia, memandang hina kepada orang yang berbeza warna kulit; memandang hina kepada keturunan yang berbeza; memandang hina kepada asal darah yang berbeza.

Semua setuju, terutama agamawan di Malaysia bahawa “perkauman Iblis” merosakan akidah. Tetapi, perkauman manusia kerana berbeza warna kulit dan berbeza keturunan, belum tentu lagi Muslim di Malaysia bersetuju bahawa ia juga perkara akidah.

Malahan, tidak mustahil ada sebilangan agamawan akan bangkit menolak dengan seribu satu hujah. Apatah lagi, yang angkat perjuangan perkauman itu terdiri dari agamawan, mufti dan tuan guru.

Politik

"Politik adalah seni untuk mengangkat kepentingan diri sendiri seakan-akan ia adalah kepentingan negara", satu kata hikmah dari Thomas Sowell.

Walaupun ramai menyatakan bahawa idea dan polisi ekonomi Thomas Sowelli banyak menguntungkan si kaya, tetapi apa yang dia ungkapkan itu ternyata benar, malah ia membuatkan kita berfikir.

Ungkapan ahli ekonomi barat itu tidak jauh beza seperti yang pernah dikupas oleh Ibn Khaldun. Dalam Muqaddimah yang merupakan kitab tersohor beliau ada menjelaskan, bagaimana asabiyyah dipergunakan oleh pihak penguasa untuk mengekalkan kuasa politik. Ketika modal asabiyyah tidak laku, bagaimana agama pula diperalatkan untuk sakralkan asabiyyah tersebut.

Asas bagi politik adalah memberi kebaikan kepada rakyat. Penghuni sesebuah negara akan jadi baik dengan politik. Itu adalah tujuan politik dalam definisi yang dikemukakan oleh Allal al-Fasi dalam buku beliau bertajuk Maqasid syariah wa makarimuha.

Bagaimanapun, politik berada di bawah kelolaan manusia, sudah pasti ada kelemahan - sehingga tersasar dari tujuan politik. Apabila kelemahan ketara sangat, ketika itu sentimen perlu diangkat. Perkauman merupakan salah satu sentimen yang amat berkesan. Ditambah lagi dengan salutan agama.

Melayu

Melayu bermaruah adalah melayu yang tidak rasuah, melayu yang tidak terpalit dengan skandal kewangan negara, melayu yang angkat ilmu dan melayu yang tidak memandang hina kepada bangsa lain. Melayu sebeginilah sebenarnya yang mengikut tuntutan agama - tali Allah.

"Berpegang teguh lah kamu dengan tali Allah, dan jangan kamu berpecah belah," pesan Ilahi dalam Surah Ali-Imran, ayat 103.

Ungkapan dan laungan melayu bermaruah tidak cukup. Ini kerana, ungkapan dan laungan tidak akan mengubah apa-apa nasib Melayu pun.

Melayu tidak dihormati kerana laungan, tetapi Melayu akan dihormati apabila mereka melaksanakan tuntutan yang boleh maruah terangkat. Ketika melaungkan maruah Melayu, tetapi masih terjebak dengan rasuah, perkauman, tidak suka dengan ilmu, masih tidak menjaga masa; ia umpama ayam berkokok bising seluruh kampung hanya nampak kekotoran ayam lain, sedangkan kakinya terseret dengan tahinya sendiri.

Saidina Umar pernah berpesan dengan satu kalam hikmah: "Kamu harapkan kejayaan, sedangkan kamu tidak ikuti laluannya. Ia sama seperti kapal yang terlalu berat mahu dijalankan atas daratan.”

Sudahlah yang melaungkan slogan maruah Melayu itu adalah mereka yang terpalit dengan skandal penyelewengan dana dan kepentingan Melayu. Itu pun sudah menjadikan ramai semakin "tidak respek" dengan Melayu. Lebih membimbangkan, agama pula tidak dihormati hanya kerana agama dipergunakan oleh orang tertentu dalam sakiti slogan tersebut

Melayu perlu ikut Islam, bukan Islam ikut Melayu. Itu baru Melayu bermaruah.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen