malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Minggu lalu saya menulis tentang makna dan tanda kenapa Dr Mahathir Mohamad berucap di Council of Foreign Relations di New York. 

Minggu ini saya menyambung kembali tulisan saya mengenai pendatang lama dan pendatang baru.

Pada pagi Ahad 6 Oktober 2019 – Mahathir telah berucap di Stadium Malawati di Shah Alam. Ucapan disampaikan kepada Kongres Maruah Melayu bukan kepada CIA atau Kelab Anwar Ibrahim.

Seperti telah diatur dan dirancang, tulisan-tulisan awal saya juga menjurus ke arah perkara yang sama. Tetapi tulisan saya tidak menimbulkan persoalan maruah Melayu.

Saya telah menimbulkan kompas Melayu. Kompas Melayu yang telah gagal mentakrif mana yang betul dan mana yang salah. Mana yang hak dan mana yang batil. Mana rasuah dan mana sedekah.

Saya juga telah menimbulkan keresahan Melayu. Saya telah menimbulkan psikik Melayu. Saya juga menimbulkan kenapa Melayu melaung-laungkan – amal makruf nahi mungkar – tetapi menyokong pencuri bernama Najib. 

Saya cuba merungkai cita rasa dan jiwa Melayu dalam konteks persoalan nasional. Sejujur mungkin, saya mahu membuktikan bahawa apa yang berlaku hari ini adalah hasil dari tindak tanduk pemimpin politik yang lalu. 

Wujudiah kita hari ini adalah hasil jumlah dari apa yang telah dilakukan oleh generasi awal dari kita.

Sejarah membuktikan kuasa kolonial Inggeris telah berjaya mematahkan perjuangan adil rakyat Tanah Melayu. Perjuangan nasionalisme Melayu progresif yang dilawan, ditindas, dibunuh untuk terus digagalkan oleh Inggeris.

Kuasa kolonial Inggeris telah mengumumkan apa yang dipanggil ‘ darurat ‘ pada 20 Jun 1948.

Darurat bertujuan untuk menangkap, memenjara dan membunuh semua pemimpin nasionalis anak semua bangsa yang melaung dan memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Sebelum projek ‘darurat’ ini dijalankan Inggeris dengan licik - pada 11 Mei 1946 - dua tahun lebih awal – telah menubuhkan apa yang dipanggil United Malays National Organisation.

Kuasa kolonial Inggeris telah bersubahat dengan kaum lanun Melayu opps.. kaum feudal Melayu untuk mewujudkan satu gerombolan parti politik kanan yang mengamalkan nasionalisme sempit.

Malah – menjadi lawak untuk kurun ini – dan juga bukti bahawa gerombolan ini bertelor, dieram dan menetas dalam reban Inggeris.

Lawak kerana gerombolan ini bercogan kata dan menjeritkan Hidup Melayu tetapi namanya ialah United Malays National Organisation. Kalau ini bukan parti boneka Inggeris maka ianya pasti parti politik budak suruhan Inggeris. Amin.

Tahu asal usul

Hubaya hubaya. Saya wajib memberi tahu bahawa babak sejarah itu sendiri ada sejarahnya. Justeru untuk mara ke hadapan kita wajib memahami latar sejarah dan salasilah sejarah.

Memahami sejarah bukan mengungkit-ungkit. Bukan esok pagi saya mahu Tian Chua atau Tony Pua atau Elizabeth Wong pulang ke Tongsan.

Atau lusa saya menuntut pula Dr Ramasamy atau Ambiga untuk pulang ke Sri Lanka atau Kerala. Tidak. Tidak. Tidak.

Memahami yang lalu wajib agar anak semua bangsa tahu asal usul mereka. Apabila kita tidak tahu dari mana kita datang maka amat susah untuk kita hidup bersama pada ketika ini di Malaysia.

Dalam masa yang sama sesiapa yang bebal asal usul dan bebal sejarah pasti akan menyusahkan orang lain yang mahu membina negara bangsa.

Bebal sejarah dan bebal asal usul sedang berlaku sekarang. Justeru kita gagal mewujudkan negara bangsa. Zakir Naik dan Dong Zong adalah manifestasinya.

Kenapa hari ini macam hari ini. Hari ini macam hari ini kerana semalam macam kelmarin.

Apabila kita faham kenapa semalam macam kelmarin dan hari ini seperti hari ini maka barulah kita dapat berjalan untuk ke hari esok dengan selesa tanpa gangguan daripada jenis Zakir Naik atau Dong Zong. Khalas.

Pada pagi Ahad 6 Oktober 2019 Mahathir dalam ucapan Kongres Maruah Melayu memberi kritikan yang jujur kepada bani Melayu.

Perkara yang ditimbulkan oleh Mahathir ini bukan perkara baru. Seawal buku Dilema Melayu (1970) lagi si Mahathir telah menimbulkan perkara yang sama kepada bani Melayu.

Tentang kecorotan ekonomi bani Melayu dan kenapa bani Melayu menjadi bani Melayu seperti hari ini.

Isi ucapan dan pandangan si Mahathir ini adalah untuk anak semua bangsa. Memang isi ucapan itu dihalakan kepada bani Melayu. Dalam masa yang sama bani India dan bani Cina wajib meneliti isi ucapan si Mahathir ini.

Gagal memahami ucapan, bebal menilai ucapan ini maka bani India dan bani Cina akan terus berkuntau muntau dalam suasana politik sekarang.

Suasana politik Malaysia yang mula diselubungi oleh ektremis Melayu dan ektremis Islam.

Pendatang baru dan pendatang lama akan terus tepis menepis bersilat lidah tanpa mengetahui apa yang ditepis dan apa yang dielak.

Jika gagal memahami sentimen Melayu yang wujud hari ini maka kita akan menjadikan 13 Mei sebagai jamuan High Tea atau kes Adib hanya jadi nota kaki.

Saya mendengar ucapan si Mahathir ini melalui You Tube. Saya faham. Saya akui isinya betul. Tetapi pada hemat saya analisa si Mahathir ini tidak lengkap. Analisa kenapa Melayu jadi macam Melayu hari ini tidak lengkap.

Saya berani berkata – dengan huruf besar TIDAK LENGKAP – analisa Mahathir tidak lengkap kerana jalur pemikiran si Mahathir ini gagal mencari akar umbi kenapa pencapaian ekonomi bani Melayu masih corot.

Kenapa ekonomi bani Melayu terus tercorot?

Mahathir memberi jawapan.bani Melayu malas. Tak kuat kerja. Memilih kerja. Tak mahu kerja susah. Tak mahu kerja kotor. Tak mahu kerja berat. Hanya mahu kerja kerajaan. Mahu terima sedekah. Mahu kerja ada pecen.

Semua ini hujah dan sebab musabab yang selalu kita dengar. Ini labonan menarik dalam kedai kopi. Untuk saya hujah ini bukan semuanya salah. Ianya hanya setengah betul. Ianya tidak lengkap. Hujah ini tergantung. Ada lopong yang besar.

Hasil daripada ucapan Mahathir ini ada tuduhan yang menganggap Mahathir menghina Melayu. Kumpulan ini marah-marah kerana ucapan Mahathir ini.

Cuba bayangkan - jikalau adik kita malas bekerja. Kalau anak buah kita tidak ada disiplin kerja. Kalau tetangga kita malas bekerja. Kalau adik ipar kita memilih kerja dan kita menyuarakan pandangan ini. Tidak bermakna kita menghina mereka.

Ucapan Mahathir tak lengkap

Kalau kita berkata di Malaysia ini tauke besar judi ialah Cina. Tauke lendir besar ialah Cina. Penyeludup dadah besar ialah tauke Cina. Yang suka merasuah bani Melayu ialah bani Cina. Yang telah mengaku merasuah (bekas) setiausaha agong United Malays National Organisation agar tanah-tanah milik kerajaan di wilayah Kuala Lumpur dijual ialah tauke Cina.

Apa yang saya tulis ini bukan penghinaan kepada sesiapa. Semua ini adalah fakta. Semua ini diketahui umum. Anak semua bangsa tahu hal ini.

Polis, askar, pak lebai, tuan haji, paderi, sami – semua tahu akan perkara ini. Fakta ini tegak berdiri jelas seperti tegaknya menara berkembar Petronas. Ianya bukan penghinaan.

Saya katakan ucapan Mahathir di Kongres Maruah Melayu tidak lengkap. Ini kerana Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad gagal memberi penjelasan terperinci kenapa ekonomi bani Melayu corot.

Mahathir gagal memahami sistem ekonomi yang membaluti bani Melayu itu sendiri.

Mahathir gagal memberi penjelasan bahawa bani Melayu, bani Cina, bani India – anak semua bangsa di Malaysia ini sedang hidup bernafas dalam sistem ekonomi kapitalis. Ini hakikat. Ini fakta.

Sistem ekonomi kapitalis tidak beragama. Kapitalisme tidak berbangsa. Kapitalisme tidak bernegara.

Saudi dan Pakistan mengakui sebagai negara Islam – sistem ekonominya ialah kapitalis. India mengakui negara Hindu – sistem ekonominya ialah kapitalis. 

Israel negara beragama Yahudi – sistem ekonominya ialah kapitalis. Rusia dan China tidak beragama – sistem ekonominya ialah kapitalis.

Rukun iman kapitalis ialah keuntungan maksima. Kapitalisme tidak ada hati perut atau perasaan dalam usaha merealisasikan keuntungan maksima.

Kapitalisme ini memiliki hukum sosial yang saintifik - ilmiah dan mengikut hukum-hukum sosial yang teratur. Ertinya kapitalisme bukan tahyul.

Bukan memiliki kepercayaan karut-marut. Kapitalisme bergerak berpandukan keuntungan. Di mana ada untung di sana ada kapitalisme.

Sistem kapitalisme tidak ada kesedaran tentang alam sekiar. Atau kesihatan anak bangsa. Mac Donald, Kentucky, Coca Cola yang membawa mudarat kepada kesihatah umum terus dijaja sebagai makanan halal dalam negara-negara yang selalu berwirid tentang syurga dan neraka.

Analisa tempang

Perkara yang saya sebut ini Mahathir tidak faham. Mahathir tidak mahu faham kerana Mahathir percaya dan penganut setia sistem ekonomi kapitalisme.

Justeru ucapan Mahathir lopong. Tidak lengkap tanpa memahami sistem ekonomi yang sedang membaluti bani Melayu itu sendiri. Mahathir Mohamad penganut setia kepada kapitalisme. Hasilnya analisa kenapa bani Melayu corot ekonomi tempang.

Ketika menganalisa kecorotan ekonomi bani Melayu Tun Dr Mahathir tidak memiliki alat pertukangan yang lengkap.

Jika ingin bertukang hal ekonomi maka kita wajib menggunakan alat pertukangan kaum Marxis. Tanpa menggunakan alat pertukangan kaum Marxis maka semua analisa ekonomi akan tempang.

Menggunakan alat Marxis ini bukan bermakna kita tak jadi Melayu, atau menjadi ateis. Marxisme ini ialah alat bertukang untuk memahami kenapa manusia menjadi manusia seperti hari ini.

Marxisme memberi analisa yang tepat kenapa Trumps dan Amerika bergerak seperti hari ini,. Atau kenapa gerila Houthi yang miskin papa kedana terus menang dan berjaya mengalahkan rejim Saudi yang kaya raya.

Marxisme ini adalah alat bertukang untuk memahami gerak laku manusia dan masyarakat.

Marxisme ialah ilmu memahami masyarakat. Asas kaum Marxis ialah manusia ini wujud kerana ekonomi.

Karl Marx

Ekonomilah yang menjadi pedoman hidup manusia. Manusia dipandu oleh ekonomi. Wujudiah manusia adalah wujudiah ekonomi.

Pertanian melahirkan kaum tani dengan sistem dan budaya kaum tani. Orang Asal memburu dan mengumpul makanan mewujudkan sistem budaya dan kepercayaan Orang Asli.

Kaum Badwi di padang pasir mewujudkan sistem ekonomi, budaya, kepercayaan dan keberahian padang pasir. Asasnya ialah ekonomi padang pasir.

Kaum Marxis berpandukan pembuatan dan pengeluaran. Dua perkara ini adalah induk segala-galanya.

Dua perkara inilah yang mewujudkan manusia. Budaya, bahasa, agama kepercayaan, ritual dan semuanya wujud kerana pembuatan dan pengeluaran.

Justeru tidak perlu kita menuduh Hishamuddin Rais ini penganut fahaman komunis, sosialis, ateis, tak sembahyang dan tidur dengan anjing.

Menuduh Hishamuddin Rais mengajukan pandangan sosialis tidak akan membawa pencerahan untuk kita semua memahami apa itu sistem kapitalis yang kita anuti hari ini.

Ramai tidak sedar bahawa kita semua ini hidup dam budaya sistem ekonomi kapitalis. Kita sedang menganuti sistem kapitalis.

Justeru yang saya ajukan ialah cara untuk memahami kenapa ekonomi bani Melayu masih corot dengan menggunakan alat Marxisme.

Saya yakin Mahathir tahu pandangan Marxis ini wujud. Tetapi Mahathir mengenepikan pandangan ini.

Justeru dalam Kongres Maruah Melayu, Mahathir sendiri mengakui bahawa dia terus berleter. Berleter tanpa penyelesaian. Penyelesaian tidak ditemui kerana analisa Mahathir tempang.

Leter Mahathir telah selesai. Analisa pandangan Marxis kenapa ekonomi bani Melayu belum tuntas dari pandangan saya. Pencerahan ini akan disambung minggu depan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen