Pengiklanan

    Reformasi TVET: Rombakan besar-besaran

    (Dikemaskini )

    Sasterawan Negara Keris Mas di dalam karya besarnya Rimba Harapan pernah berpesan:

    “Apa yang menjadikan manusia ini maju ialah pemahamannya terhadap keadaan yang sentiasa berubah di sekelilingnya.”

    Apa yang akan kita hadapi pada hari ini, berbeza dengan apa yang akan anak-anak kita akan hadapi esok hari. Masa depan anak muda misalnya, menjadi suatu relung yang sangat sukar diduga. Revolusi digital, gelombang artificial intelligence, dominasi automasi dan teknologi-teknologi lain yang pesat berkembang telah memaksa kita untuk tidak berdiam diri.

    Pada 26 September baru-baru ini, kita telah anjurkan satu pertemuan bersejarah dengan pemain-pemain utama industri negara kita untuk sama-sama duduk, berbincang, dan seterusnya membentangkan masa hadapan yang lebih terjamin buat anak-anak kita.

    Kita akui, untuk melonjakkan TVET negara, kita tidak boleh bergerak secara silo. TVET harus relevan, future-driven, harus padan dengan kehendak industri.

    Industri pembuatan dan perkhidmatan global juga telah memasuki era Revolusi Industri Keempat. Revolusi ini akan menghubungkan dunia ‘sebenar’ dan ‘maya’ yang kemudiannya dikenali sebagai sistem fizikal siber.

    Teknologi seperti (AI), big data, cloud computing dan high speed Internet telah merombak landskap kehidupan manusia. Tidak lupa juga perubahan geopolitik dunia yang juga memberi kesan kepada kehidupan kita sama ada secara langsung atau tidak langsung. Idea dan inovasi yang dipacu oleh algoritma dan sistem pintar akan menjadi asas kepada gelombang baharu pertumbuhan ekonomi.

    World Economic Forum telah menggariskan beberapa cabaran besar dunia di antaranya ialah keselamatan makanan, pertumbuhan yang inklusif, pengangguran, perubahan cuaca, dan krisis kewangan dunia. Cabaran dan perubahan-perubahan ini memberi implikasi yang besar kepada dunia pekerjaan.

    Di sana tentunya wujud kemahiran yang baharu yang diperlukan oleh pekerja pada masa akan datang. Pada saya, pelajar-pelajar sekarang ini perlu dipersiapkan dengan sikap yang betul dalam menghadapi perubahan ini. Sikap daya ketangkasan (agility) dalam menerima teknologi baru dan cepat belajar dalam persekitaran yang cepat berubah antara yang sangat diperlukan.

    Yang pasti, visi kita jelas, kita mahu menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama bukan lagi pilihan alternatif. Kita juga mahu TVET negara dilihat sebagi suatu entiti tunggal yang besar dan seragam, tidak terpecah-pecah dan sekali gus berkongsi suatu sistem yang kuat dan menyeluruh.

    Atas dasar itulah, sebagai merealisasikan visi besar ini, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET (JKKPTVET) pada 14 Ogos 2019 yang lalu. Secara asasnya, Jawatankuasa ini berperanan penting sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam hal-hal berkaitan pembangunan aliran TVET negara.

    Sehingga kini, kita telah menyenaraikan masalah-masalah yang kita hadapi dalam TVET. Dari masalah itu pula, kita bergerak ke depan dengan merencana strategi yang terbaik untuk menyelesaikannya, termasuklah meletakkan sasaran besar yang ingin kita capainya bersama.

    Lima tonggak reformasi TVET

    Secara ringkasnya, reformasi TVET negara akan berpaksikan kepada lima tonggak iaitu;

    Penubuhan Badan Penyelaras TVET Negara yang sekali gus menyatukan TVET di bawah satu bumbung dan sistem tunggal yang lebih berdaya saing. Hal ini merupakan juzuk terbesar dalam usaha memastikan kecekapan pengurusan Governan TVET Negara.

    Kita juga akan memberi tumpuan kepada kecukupan Model Pembiayaan, kita bangunkan juga Model Pemilikan Bersama, kita perkasakan Persijilan TVET (Industri), dan kita akan bergerak dengan Jenama TVET Kebangsaan Tunggal.

    Lima tonggak ini ialah jalan ke depan yang sekali gus menyelesaikan semua masalah berkaitan TVET seperti masalah akreditasi, kekurangan fasiliti, kelompongan sistem dan lain-lain lagi. Yang pasti, semua masalah ini sebahagian besarnya telah kita tangani.

    Justeru, apa yang kita perlukan sekarang ialah perubahan dari segi pemikiran dan persepsi cara bekerja. Kita perlu libatkan lebih banyak industri untuk memperkuatkan dual training programme, dan seterusnya bergerak dari industry participation kepada industri partnership sebelum menuju kepada industry-led TVET.

    Tujuh teras strategik reformasi TVET

    Kita telah meletakkan tujuh strategi yang akan kita guna untuk menjayakan sasaran kita untuk TVET negara. Pertama, kita akan mengubah konsep pendidikan tradisional dari ‘train and place’ kepada ‘place and train’;

    Kedua, kita perkenalkan co-ownership model antara kerajaan dan industri untuk peralatan, teknologi, kepakaran dan inovasi;

    Ketiga, kita wujudkan Industry-based Centre of Excellence (CoE) agar berlakunya penyelarasan antara semua institusi TVET untuk mengoptimumkan sumber dan dana kerajaan;

    Keempat, kita perkenalkan TVET Valued Industry Partners (TVET VIP) untuk menggalakkan industri menerajui sistem TVET;

    Kelima, juga kita gerakkan flat mobility of expertise iaitu untuk memastikan wujudnya penyelarasan di antara industri dan pusat pendidikan TVET;

    Keenam, kita usahakan Employment Opportunities and Wage Level untuk memastikan graduan TVET kita mendapat gaji lumayan dan memperolehi career pathway yang jelas dan terjamin untuk mereka;

    Ketujuh, kita bergerak dengan Industry Led Competency Certification Bodies (Model German Dual Vocational Training). Pengiktirafan ini akan diterajui oleh industri untuk mengelakkan pertindihan atau mismatch.

    Saya amat sarankan setiap institusi pendidikan dan latihan TVET untuk bekerjasama dengan universiti-universiti dan agensi inovasi untuk memperkenalkan teknologi baharu yang boleh memanfaatkan industri.

    Di sinilah kita akan meningkatkan permintaan industri untuk graduan TVET. Di sinilah juga kita boleh re-map our institution according to industry demand dan bukan sebaliknya. Kita mesti sejajarkan hala tuju institusi TVET dengan keperluan dan hala tuju industri terutamanya dalam menuju Revolusi Industri 4.0.

    Kerjasama strategik dengan rakan-rakan industri dilihat sebagai penyumbang penting kepada keberkesanan serta kemajuan institusi TVET. Industri merupakan enjin penggerak utama kepada pembangunan ekonomi negara. Jalinan kerjasama yang lebih berstruktur akan terus kita perkukuhkan.

    Di ruang ini, saya ingin berterima kasih kepada pemain industri yang telah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan lebih erat. Kita sangat memerlukan kolaborasi yang sebegini agar kita boleh sama-sama memperkasa TVET, sekali gus membangunkan negara.


    DR MASZLEE MALIK merupakan menteri pendidikan Malaysia.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih