malaysiakini logo
story-image
ADS

Salah satu kekurangan paling besar dalam filem Joker arahan Todd Phillips ialah ia gagal menimbangkan ruqyah atau rawatan perubatan Islam sebagai solusi untuk watak Arthur Fleck lakonan Joaquin Phoenix.

Gotham City sepatutnya belajar dari Malaysia yang menggalakkan percambahan perubatan Islam, sebagai, salah satu lagi cabang segala produk Islam pasca Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam (yang kita semua tahu asalnya bagaimana dan daripada siapa). Perubatan Islam itu memang kekuatan kita yang sudah tersohor seantero alam selain dari Dobi Islam, Tasik Buatan Islam, Spaghetti dan Red Velvet Islam, Kejiranan Islam, Ubat nyamuk Islam, Renang Berirama Islam, Kondom Islam, Tilam-Bantal Islam, dan Paracetamol Islam.

Sebuah pusat perubatan Islam dengan pengamal bertauliah di Gotham City akan menyelesaikan masalah pemberontakan badut dan sekian ramai orang gila di bandar pelik tersebut - dengan mudah - yakni satu kali hembus dan tiga kali tepuk di belakang pesakit. Ia boleh menjadi asas, kemudiannya, untuk kita mengislamkan sebuah bandar dan meraudhahkannya secara kaffah. Sebuah kejiranan di dunia dan akhirat.

Bermula dengan ruqyah, Malaysia akan dapat membantu kempen Datuk Bandar tokoh konglomerat Thomas Wayne dalam memuatkan kandungan manifestonya yang lemah. Manifesto itu harus terisi dengan ehwal paling sukar agar pengundi bandar Gotham tertipu lantas memilih beliau. Pengisian Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam oleh Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari dapat dijadikan panduan untuk mendraf sebuah manual perubatan mental Islami.

Isu paling besar yang gagal diakses oleh pembikin filem Joker adalah, betapa amalan menghembuskan ayat-ayat suci tertentu seraya mensesah belakang Arthur Fleck dengan daun nangka/cempedak/pulasan boleh menjadi solusi masalah kerasukan jin yang dideritainya.

Malang amat, pembikin filem Joker hanya obses memperlihatkan Joker selaku seorang badut dan ahli komedi gagal, padahal beliau itu kurang Islami. Tidak hairanlah Joker boleh duduk dalam peti sejuk dengan hanya berseluar dalam.

Untuk setiap pesakit yang mengalami kemurungan, kita hanya perlu menambah depresinya dengan menujum bahawa beliau memang sedang dicemburui atau didengki oleh pihak tertentu. Dalam kes Arthur; si Joker ini mengalami persaingan tidak sihat dengan kawan-kawan badutnya iaitu antara lain Randall.

Seorang ustaz yang mengamal ruqyah tidak harus menyatakan siapa nama, atau mendedahkan pihak yang memusuhi. Memadai dengan mengatakan ada orang sedang berdengki, dengan alasan tidak baik membuka aib orang. Biarlah jika keluarga, syarikat, atau masyarakat menjadi porak peranda dan pecah belah sekalipun. Yang penting duit masuk. Bila duit masuk kantung, sebutkanlah Alhamdulillah rahmatan lil-alamin.

Penny dimasuki jin Siam

Dalam filem Joker, ibu Arthur, si Penny Fleck, yang juga memang gila dan kaki pendera sejak muda akan dapat dikesani oleh ustaz – konon menurut ruqyah – telah mengalami kerasukan iblis setan.

Jadi apa remedinya? Setiap kali seseorang berhalusinasi kita mewajibkan dia menghafal untaian mathurat tertentu. Kadang kita boleh mengalihkan prasangka dengan menghujahkan Penny dimasuki jin Siam dari tokong sekian-sekian. Sebab orang gemar percaya ada hantu dari kuil menyusup masuk badan. Maka perlahan-lahan kita terlupa, ustaz ruqyah juga penyala api perkauman dalam diam.

Kita boleh mengatakan kepada penduduk Gotham, yang iblis dan syaitan adalah ciptaan Tuhan yang melampaui kedudukan istimewa manusia. Bahawa iblis dan syaitan memang punyai pengaruh dalam mengakibatkan kesihatan mental Penny rosak; lantas membawa kepada bahana yang sama kepada anaknya, Arthur si Joker yang juga dengan jelas dirasuk jin.

Kos untuk memaju, mengembang dan mempertahankan institusi sakit jiwa dan khidmat sosial di Gotham City memang keterlaluan mahal. Tidaklah menghairankan pihak majlis bandaran menamatkan bermacam-macam program kesihatan di situ. Serta membiarkan pesakit mental keputusan ubat dan rawatan.

Akan tetapi, kita tetap memiliki berita baik untuk Gotham; sebuah pusat perubatan atau rawatan Islam yang siap dengan kaedah bekam dan urut batin. Pusat ini akan menolong pesakit yang mengalami bipolar, kemurungan, delusi, psikotik dan keterasingan; lantas tatttaraaa tattarraaa pulih.

Ustaz-ustaz pakar ruqyah ini bagaimanapun tidaklah murah. Mereka sedia mendengar, dan boleh melempar garam, cengkih dan menyembur air jampian. Hanya dengan dua syarat. Pertama, pesakit secara konsisten mengunjungi perawat yang sama setiap bulan, selama tiga tahun. Kedua, pesakit jangan mendengar nasihat pakar psikiatri moden (baca: barat justeru sekular dan harus diboikot). Insyaallah taala pesakit paling terdesak seperti Joker sekalipun dapat ditangani.

Apabila rawatan ini diterima dengan meluas, Gotham boleh memperkenalkan rawatan kesihatan mental ini dengan alasan ia adalah – alternatif – dan pusat perubatan boleh menawarkan pelbagai sijil untuk pengamal atau ustaz baru ini supaya hadir belajar setiap minggu, dengan syarat mereka mempunyai kekuatan hafalan. Nah, itu kan membuka peluang menambah pendapatan dengan dua kerja, tepat seperti cadangan Ahmad Maslan.

Pihak majlis bandaran Gotham boleh memperkukuhkan polisi kesihatan dengan turut memperkenalkan pengamal perempuan bertauliah, untuk mereka yang memerlukan. Ini juga akan mengelakkan fitnah lelaki-perempuan. Pihak institusi agama di Gotham boleh mengeluarkan sijil halal (satu lagi cara mempelbagai sumber kewangan). Kita boleh merundingi pihak Gotham agar sebuah pusat kesyifaan dapat dibuka sebagai satu cawangan perubatan oriental di Hospital Arkham.

Masalah kelas yang semakin melebar

Kita tidak perlu menimbangkan masalah kelas yang semakin melebar di mana golongan kaya semakin kaya, atau soal pengangguran terlampau. Jangan ambil perhatian. Tumpuan kita harus, hanyalah, kerasukan iblis setan.

Kita tidak perlu mempertaruhkan renungan mendalam dari filem Joker ini bahawa nihilisme ekoran dari kemelaratan hidup, korupsi, keserakahan kuasa, cengkaman kapitalisme dan penindasan secara sistemik berlaku di Gotham City membawa kepada pencabulan hak asasi.

Cukup diuar-uar yang Joker hanya menjadi gila sedemikian kerana ia dirasuk setan. Untuk seekor Valak menumpangi jasad Joker yang dapat kita usir, harganya RM400. Atau kita gunakan matawang di sana, dolar.

Sehubungan dengan itu, pusat-pusat pengajian tinggi tempatan boleh mulai mencadangkan agar satu pengajian berkembar dapat diketengahkan dengan mana-mana entiti pendidikan di Gotham City. Pengamal perubatan Islam palsu yang mendapat doktorat menerusi universiti tempatan, dengan cara, membontotkan prosedur pendidikan pascasiswazah pasti dapat membantu.

Siapa pengamal perubatan Islam palsu ini?

Contohnya, ustaz yang konon menulis tesis PhD untuk melihat keberkesanan amalan tarekat dengan cara membaca zikir tertentu terhadap makanan (kajian tinjauan terhadap 364 peniaga burger); atau ustaz dari jabatan agama negeri yang datang menyiapkan tesis sarjana mengenai bagaimana kepintaran lokal menjinakkan harimau jadian (tiga ekor di Kajang dan seekor di Semenyih); atau, seorang pesakit mental yang tiba-tiba sembuh oleh ruqyah lantas menulis tesis doktorat menolak Aristotle, dan kini berani menawarkan kebolehan merawat pesakit yang terbayang-bayang setiap hari untuk menembak nyonya peniaga kedai runcit di hadapan rumah. Dia baru berjaya mencelupkan diri sebagai graduan PhD. Beliau boleh dan berupaya membantu Gotham City.

Joker yang mengalami kemurungan, dihentikan ubat penenang (tujuh jenis semuanya), dengan latar masa anak-anak yang tragis itu tidak perlu dipertimbangkan dengan rasional dan saintifik. Semuanya terjadi kerana setan. Setan-setan-setan. Kita hanya perlu tuding jari kepada setan. Senang. Manusia kalah dengan setan. Iblis lebih kuat daripada manusia (walaupun kita tahu itu tidak benar), dan kita jualkan; ia boleh selesai dengan ruqyah.

Rusuhan orang gila yang memakai topeng badut dapat dipatahkan juga dengan ruqyah. Demonstran dan perusuh yang bosan dengan kenaikan harga barang itu sebetulnya hanya mengalami histeria. Dan histeria seperti kita semua tahu, hanya dapat disembuhkan dengan satu kaedah; ruqyah (daripada pengamal bertauliah).

Sebetulnya Gotham City mempunyai persamaan dengan Malaysia, ini kerana Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan terkini ada menyatakan setiap tiga orang daripada sepuluh orang dewasa berusia lebih 16 tahun itu menderita pelbagai isu kesihatan mental. Kita sedar mereka yang mengalami skizofrenia misalnya, dan berterusan ditekan boleh melakukan jenayah kejam.

Arthur dan idea-idea keganasan

Mereka hanya perlu menjadi jantan atau betina kesepian, diasak ibu atau bapa yang juga terganggu mental, dihina bertalu-talu dan ditindas secara bertubi-tubi oleh kita sendiri; maka pesakit senyap ini akan mengalami kesesakan dada yang fatal.

Dengan ruqyah, kita pun membelakangkan fakta bahawa orang seperti Arthur ini boleh dibakar dengan idea-idea keganasan. Ruqyah pun menafikan mara bahaya yang untuk seseorang menjadi ganas, cukup dengan permainan tembak-tembak atas talian. Atau rancangan talk-show bangang ala Murray Franklin (lakonan Robert de Niro). Atau lebih dahsyat ceramah ustaz di Youtube yang berbumbu Wahabisme (dengan fatwa sempit seperti haram menggantung foto keluarga di tengah rumah kerana ia mendorong kepada pemujaan), atau khayalan seks bidadari comel ala Sophie Dumond lakonan Zazie Beetz, nun di syurga binaan sendiri.

Joker diperan Joaquin Phoenix adalah tukang membuat lucu, yang mana orang tertawa kerananya. Ia adalah satu watak yang ibunya, lakonan Frances Conroy, namakan beliau secara timang-timangan sebagai Happy iaitu Gembira atau Bahagia. Konon Happy ini tidak tahu menangis. Tak bersebab asyik ketawa. Kalau diberi kepada ustaz, cukup sekadar diruqyah maka semua akan selesai dan semua akan beres sekelip mata.

Itulah, koda naratif filem 122 minit ini. Ia menang di 76th Venice International Film Festival. Ia bakal menang Oscar. Tapi, kita pendekkan sahaja kisah; Gotham City patut ada seorang mufti. Gotham sepatutnya belajar dari Malaysia. Mufti kita ada PhD.

Dan Joker, dia, patut dirawat secara ruqyah di Bangi.



FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen