malaysiakini logo
story-image
ADS

Sesungguhnya perubahan daripada segi struktural itu adalah lebih mudah dicapai daripada peralihan budaya dan cara fikir.

Mengubah sistem belum tentu boleh disambut dengan lunak tanpa adanya perubahan paradigma. Hal inilah yang saya cerap semasa mengelolakan hal-hal berkaitan belia bagi pihak kerajaan negeri Johor.

Sebagai seorang anak muda dengan latar belakang aktivisme belia tentunya saya menginginkan badan-badan belia yang lebih bebas, progresif dan mampu menyumbang secara konstruktif kepada masyarakat.

Badan belia yang ideal pada fikiran saya juga harus menjadi pemantau rapat kepada kerajaan. Maka, bagi mencapai tujuan itu terdapat dua cabaran besar terhadap kemandirian organisasi masyarakat sivil termasuk persatuan belia pada masa ini – bagaimana untuk kekal lestari tanpa kebergantungan kepada mana-mana dana luar dan juga kekal relevan kepada khalayak belia yang sedang berubah dengan dramatik.

Autonomi dan idealisme

Cabaran pertama melibatkan autonomi badan belia daripada segi ideologi, idealisme dan juga gerak kerja mereka.

Terdapat sekian banyak kritikan terhadap badan belia baik dalam negara mahupun luar negara yang didakwa gagal untuk bersifat objektif dan menjadi alat kepada pemberi dana kepada mereka.

Jika kita menelusuri perkembangan gerakan sosial, terdapat pergerakan belia di beberapa negara membangun baik di Asia atau Afrika serta Latin Amerika yang dikritik kerana gagal untuk mengutarakan isu-isu masyarakat membangun dan terperangkap dengan agenda negara maju yang merupakan pemberi dana kepada pergerakan ini.

Hal ini membawa kepada kritikan yang mengatakan bahawa pergerakan begini telah menjadi alat kepada neo-kolonialisme. Hal ini sudah tentu memberi kesan terhadap legitemasi pergerakan ini sendiri.

Demikian juga apabila ada gerakan belia yang dilihat terlalu bergantung kepada bantuan dana kerajaan sehingga hilang kemampuan untuk kekal mandiri dan menjadi pengkritik kepada kerajaan.

Maka atas dasar tersebut, saya menghargai keputusan kerajaan untuk tidak menaungi persatuan belia ini hingga menjadikan badan-badan belia ini bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Sebaliknya, geran bagi persatuan belia ini diuruskan secara objektif kepada mana-mana persatuan belia yang kompetatif dan mampu membuktikan mereka mampu menyumbang kepada pembangunan belia tanpa mengira kecenderungan pandangan politik mereka.

Perubahan dalam aktivisme belia

Cabaran kedua kepada badan-badan belia ini adalah bagaimana untuk persatuan belia kekal relevan kepada belia kini yang tidak lagi cenderung kepada berorganisasi.

Kebanyakan belia kini – secara statistiknya sekitar 80 peratus – tidak menyertai mana-mana persatuan. Oleh sebab itulah, tidak menghairankan mengapa pertubuhan belia di negara ini kini berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan keahlian dan penglibatan aktif belia dalam organisasi masing-masing.

Hal ini tentulah tidak bermakna belia kita tidak aktif bersosial dan melibatkan diri dalam isu-isu penting negara ini. Buktinya belia terlibat akrif dalam PRU-14 yang menolak tohmahan bahawa belia kita apati.

Malah, belia kita juga turut aktif terlibat dalam kegiatan sosial dan politik di luar partisipasi formal seperti pilihan raya ini. Kini kita melihat banyak kumpulan-kumpulan kecil belia yang bersifat temporal tumbuh di sana sini sama ada menawarkan idea mahupun tenaga melalui aktiviti kemasyarakatan dan juga intelektual.

Mereka ini bergerak tanpa wujudnya kebergantungan kepada dana kerajaan mahupun swasta. Hal ini kerana sebahagian aktivisme mereka ini merupakan aktivisme atas talian atau berasaskan hobi mereka – seperti e-sport dan sebagainya.

Mereka juga menggerakan kempen-kempen kreatif yang merangkumi pelbagai isu merentasi pelbagai kumpulan tanpa terikat dengan wilayah geografi. Tambah menarik lagi, kebanyakan mereka ini relatifnya sangat muda – belasan tahun hingga awal dua puluhan.

Hal ini pastinya bukan unik kepada Malaysia sahaja. Di serata dunia, belia mula meninggalkan gerakan sosial lama yang berbasiskan organisasi seperti kesatuan sekerja, parti politik, dan malah persatuan mahasiswa sendiri.

Mereka bergerak berdasarkan isu dan membina kerjasama longgar tanpa perlu memiliki keterikatan yang kuat pada mana-mana organisasi. Fenomena ini banyak diistilahkan sebagai gerakan sosial baru atau new social movement.

Mereka ini tidak memiliki ideologi politik yang jelas dan sering juga bertentangan antara mereka.

Bayangkan Greta Thunberg yang lahir 2003 berjaya menarik perhatian Presiden Amerika Syarikat untuk bercakap tentang alam sekitar, Malala Yousafzai (lahir 1997) menjadi penerima hadiah Nobel paling muda di dunia atas advokasinya untuk pendidikan, dan Melati dan Isabel Wijsen (lahir 2001 dan 2003) hanya berusia 10 dan 13 pada 2013 membentuk gerakan global ‘Bye Bye Plastic’ untuk menghapuskan sampah di laut.

Pada pandangan saya dua cabaran inilah yang mendasari persatuan belia kita kini.

Saya tidak memiliki jawapan yang tuntas tetapi saya percaya persatuan belia perlu dengan pantas beradaptasi dengan dua cabaran besar ini dengan meneroka pelbagai model-model organisasi yang lebih inovatif seperti keusahawaan sosial dan sebagainya.

Namun sebagaimana dinyatakan pada awal makalah ini, perubahan ini memerlukan anjakan padigma dalam kalangan kepimpinan belia kita. Soalanya, adakah persatuan belia kita bersedia?


SHEIKH ‘UMAR BAGHARIB ALI ialah anggota Dewan Undangan Negeri Paloh merangkap pengerusi jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Atikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen