malaysiakini logo
story-image
ADS

Sejak termeterainya piagam PAS-Umno tempoh hari ,penganalis dan pemerhati politik menyarankan kedua dua parti itu mengwujudkan kerajaan campuran di negeri yang ditadbir mereka.

Mereka ingin melihat kerajaan campuran ditubuhkan di Kelantan dan Terengganu yang diperintah PAS serta Pahang dan Perlis yang ditadbir BN (realitinya hanya Umno kerana komponen lain kalah teruk pada PRU lalu).

Ura-ura kerajaan perpaduan PAS-Umno atau unity government, lebih dikenali sebagai UG sudah lama kedengaran sejak PRU12 pada tahu 2008 tetapi tidak menjadi kenyataan.

Oleh itu piagam PAS Umno yang dimeterai 14 September lalu dianggap boleh merealisasikan rancangan itu.

Kata penganalis dan pemerhati politik, langkah itu supaya PAS dan Umno membuktikan keikhlasan masing masing dalam menjalin perpaduan.

Lebih penting ia akan mempamerkan rupa bentuk, cara dan pendekatan yang PAS dan Umno boleh wujudkan.

Dalam erti kata lain satu contoh kerajaan campuran PAS-Umno yang mereka akan tawarkan kepada negara jika mereka berjaya memerintah Malaysia.

Sebenarnya sejak Mac lalu, penulis buku politik dan pemerhati PAS Mohd Sayuti Omar mengutarakan cadangan atau apa yang beliau panggil Formula 2-2-2-1.

Formula ini, jika PAS dan Umno mahu, boleh gunakan untuk menubuhkan kerajaan campuran di negeri yang mereka perintah.

Formula yang dicadangkan beliau disiarkan di blog beliau dan saya turut memetiknya untuk artikel saya terbitan The Edge Mac lalu.

Oleh kerana isu ini sedang diperkatakan ramai dewasa ini, rasanya elok saya melihat semula formula yang diajukan Sayuti.

Menurut Sayuti, Formula 2-2-2-1 memerlukan PAS merombak barisan exconya di Kelantan dan Terengganu manakala Umno melakukan perkara sama di Pahang dan Perlis.

Di Kelantan PAS boleh melantik dua daripada lapan ahli dewan undangan negeri Umno untuk jawatan exco. Dan untuk membuktikan keterbukaannya, PAS boleh menawarkan jawatan timbalan menteri besar kepada Umno, kata Sayuti.

Perlu ada yang ‘dikorbankan’

Di Terengganu pun PAS boleh beri dua jawatan exco portfolio penting kepada Umno demi membuktikan keikhlasannya, menurut Sayuti.

Di Terengganu Umno ada 10 ahli dewan undangan negeri.

Dan Umno pula kata Sayuti mesti membalas langkah baik PAS dengan mengambil tindakan sama di Perlis dan Pahang.

Di Pahang PAS ada lapan kerusi dewan undangan negeri. Lantas, kata Sayuti, Umno boleh melantik dua daripadanya untuk jawatan exco.

Di Perlis yang bilangan kerusi di dewan undangan negeri tidak banyak. Memadai Umno memberi satu sahaja jawatan exco kepada PAS.

Kesimpulannya, PAS beri dua jawatan exco di Kelantan, dua di Terengganu manakala Umno menyerahkan dua jawatan exco di Pahang dan satu jawatan di Perlis.

Itulah 2-2-2-1 yang dimaksudkan Sayuti.

Sama ada PAS dan Umno setuju atau tidak, formula berkenaan adalah satu langkah ke depan lanjutan Himpuan Penyatuan Ummah tempoh hari.

Kerajaan perpaduan atau campuran PAS Umno tentunya wajib dibarisi ahli exco mewakili kedua-dua parti.

Namun perlu diingat jika formula anjuran Sayuti itu atau apa pun kaedah yang digunakan untuk membentuk kerajaan campuran diwujudkan di negeri yang diperintah PAS dan Umno ia memerlukan pengorbanan besar kedua-dua parti.

Ia bersifat penyesuaian atau accommodating.

Apabila rombakan exco dilakukan, ada ahli exco sekarang yang terpaksa digugurkan untuk mengwujudkan kekosongan yang akan diisi oleh ahli exco baru daripada parti lain.

Dalam lain perkataan, ahli exco sekarang perlu “dikorbankan” atau berkorban dengan mengorbankan kedudukan atau jawatan yang sedang disandang.

Diakui ini pengorbanan besar – sesuatu yang bukan senang dilaksanakan.

Bagaimana langkah atau pengorbanan sedemikian diterima atau dilihat oleh ahli exco terbabit mahupun penyokong masing masing bagi saya tidak perlu dihuraikan sekarang.

Sekali lagi imbas kembali, kali ini kepada waktu menjelang pilihan raya kecil Rantau April lalu.

Terlalu awal

Calon BN iaitu timbalan presiden Umno Mohamad Hasan yang masa itu menjalankan tugas presiden parti menyatakan Umno mahu kerajaan campuran ditubuhkan di empat negeri yang diperintah pembangkang.

Bagaimanapun Iskandar Samad yang ketika itu naib presiden PAS dipetik berkata langkah itu “terlalu awal” kerana kedua-dua parti (pada masa itu) baru menjalinkan kerjasama pada peringkat pilihan raya kecil dan belum membincangkan hal hal lain.

Kenyataan itu menggambarkan PAS kurang berminat dengan apa yang dikatakan Mohamad. 

Tapi apa yang Iskandar katakan itu ada logiknya kerana sememangnya waktu itu PAS dan Umno mengambil langkah langkah awal kerjasama dan pendamaian.

Dan kita semua maklum hasrat Mohamad tidak kesampaian.

Mohamad Hasan 

Namun PAS dan Umno sekarang sudah meningkatkan kerjasama dan perpaduan dengan adanya piagam rasmi yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

Lantas pemerhati dan penganalis politik berpendapat waktunya sudah tiba kedua dua parti menubuhkan kerajaan campuran di negeri yang mereka perintah untuk membawa pengertian permufakatan .

PAS pada mulanya menunjukkan tanda atau isyarat mahu bergerak ke arah itu.

Pada 14 September lalu pada sidang media selepas Piagam Muafakat Nasional ditandatangani, presiden PAS Abdul Hadi Awang memberitahu, parti beliau merancang untuk membawa Umno menyertai pentadbiran Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun enam hari kemudian naib presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah yang juga timbalan menteri besar Kelantan, dilapor Sinar Harian sebagai berkata, tiada keperluan kerajaan campuran PAS Umno buat masa ini kerana ia “terlalu awal” - walaupun kedua-dua parti telah memeterai kerjasama.

Hadi Awang 

Dan pada hari yang sama iaitu 20 September Berita Harian melaporkan Hadi membuat kenyataan senada dengan kata kata Mohd Amar.

Hadi turut menyifatkan terlalu awal untuk PAS dan Umno menubuhkan kerajaan campuran kerana kedua-dua parti “ menjalinkan taawun siyasi yang bermaksud kerjasama bukan tahaluf siyasi yang bermaksud gabungan dua parti” .

Lalu persoalannya ke mana arah impian pengwujudan kerajaan campuran PAS-Umno?

Mungkinkah Umno yang patut mengambil langkah pertama dengan merombak barisan exco di Pahang dan Perlis dan membawa masuk Adun PAS memegang jawatan exco?

Lagi pun, individu awal yang mengusulkan cadangan kerajaan campuran ialah Mohamad Hasan.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen