malaysiakini logo
story-image
ADS

Anugerah Sastera Negara yang diberikan pada tahun 1981 dengan penerima pertamanya Sasterawan Negara Keris Mas merupakan anugerah tertinggi yang dikurniakan oleh kerajaan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu, yang memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi.

Sehingga kini, 13 orang tokoh sastera bergelar sasterawan negara dan kini seorang lagi tokoh sastera bergelar Sasterawan Negara yang ke-14 Dr Siti Zainon Ismail.

Empunya nama Siti Zainon Ismail dilahirkan pada 8 Disember 1949 di Gombak, Kuala Lumpur. Alumni Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur ini melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI) di Yogyakarta, Indonesia pada tahun 1969-1974 sehingga memperoleh Sarjana Muda Seni Lukis.

Pada tahun 1980, beliau memperoleh sarjana sastera dengan pengkhususan dalam bidang reka bentuk tradisional Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya, beliau memperoleh doktor falsafah dengan pengkhususan Busana Melayu dari Universiti Malaya pada tahun 1990. Kerjaya beliau bermula sebagai seorang jurulatih seni lukis di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sebelum beralih ke bidang pendidikan dengan menjadi tutor di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM.

UKM seterusnya melantik beliau sebagai felow penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) pada tahun 1995, Pengarah Kebudayaan UKM pada tahun 1996 dan pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Pada tahun 2006, beliau dilantik sebagai Profesor Luar Biasa di Universitas Jabal Ghafur, Aceh, Indonesia. Beliau kembali ke Malaysia pada tahun 2007 dan dilantik sebagai Sarjana Tamu Atma, UKM. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan diteruskan lagi dengan bertugas menjadi profesor sejarah dan estetika seni dan penyelaras kursus teras di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan di Universiti Malaysia Sabah pada tahun 2014. Begitulah serba sedikit latar belakang pendidikan dan kerjaya Siti Zainon Ismail.

Siti Zainon Ismail merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam kesusasteraan Melayu, kebudayaan Melayu dan kesenian Melayu. Kehadiran beliau dalam arena kepenyairan tanah air bukanlah asing kerana namanya dikenali sebaris dengan kemunculan penyair lain seperti Zurinah Hassan, Zaihasra, Anwar Ridhwan dan T Alias Talib.

Pengalaman awal beliau dalam bidang lukisan dan seni halus banyak membawanya merentasi bidang lain seperti penyelidikan dan penulisan pelbagai bidang seperti dalam penulisan puisi, novel, cerpen, cerita kanak-kanak, budaya dan kesenian.

Sehingga kini, Siti Zainon Ismail telah menghasilkan tiga buah novel, sembilan buah kumpulan cerpen, 25 buah kumpulan puisi dan 20 buah buku kajian. Karya-karya beliau diterbitkan oleh pelbagai penerbit terkemuka tanah air. Sebahagian besarnya masih diulang cetak dan menjadi rujukan. Karya beliau turut diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti Bulgaria, Hindi, Inggeris, Korea, Urdu, Jepun, Perancis, Thai dan Rusia.

Kelulusan, pengalaman luas

Dengan kelulusan dan pengalaman Siti Zainon Ismail yang meluas itu, garapan seninya melalui puisi dan cerita pendeknya digarap secara berestetika. Jika puisinya bernada tinggi bagi membela rakyat, dibawakannya dalam nada yang bukan propaganda. Ini boleh dilihat melalui puisinya “Romansa Petani di Gunung” yang memenangi Hadiah Karya Sastera pada tahun 1976.

Pada Siti Zainon Ismail, sesuatu idea itu tidak sepenuhnya visual atau tidak sepenuhnya verbal. Untuk mengolahnya sebagai bahan visual atau bahan verbal, satu cabaran kepada Siti Zainon Ismail yang melukis, dan Siti Zainon Ismail yang menulis sebagai pemerhati suasana yang fana dan adegan duka yang silih berganti.

Penyuaraan tentang dilema eksistensi ini dapat dilihat melalui kumpulan puisi beliau Kasih Bonda, Kampung Paya Kami terbitan DBP 2008. Kumpulan puisi ini mengandungi 47 buah puisi disertai 47 sketsa yang merakam zaman beliau membesar di Kampung Paya, di tebing Sungai Gombak. Suasana kedesaan di situ banyak menyumbang kepada pembinaan bakatnya sebagai pelukis dan penyair.

Melihat langgam karya Siti Zainon Ismail ini, mengingatkan kita kepada kata-kata penyair besar dunia, Rabindranath Tagore, kata beliau, “Kepercayaan ialah burung yang merasai kehadiran cahaya, dan menyanyi ketika fajar masih dibaluti kegelapan.”

Hasil karya beliau dalam pelbagai bidang ini memperlihatkan kematangan dan keintelektualan beliau. Hasil karya dan penulisan beliau jelas membuktikan usaha beliau untuk memartabatkan seni budaya bangsa Melayu melalui pemahaman dan apresiasi seni dan kesusasteraan.

Siti Zainon Ismail kerap mencirikan jati diri Melayu khususnya kelembutan wanita Melayu yang halus, bijak dan serba mengerti dalam karya-karyanya. Inilah juga kualiti yang terpancar dalam kelembutan palitan warna dan sketsa dalam karya seni visualnya pada kanvas, kertas dan buku puisinya.

Minat Siti Zainon Ismail yang mendalam dalam bidang penulisan puisi membawa beliau jauh merantau ke beberapa negara untuk membicarakan tentang puisi Melayu. Antaranya ke Filipina, Berlin, New Delhi, Korea, Rusia, Brunei Darussalam, Thailand, London dan di Indonesia. Beliau telah diundang untuk mendeklamasikan puisi, berbicara tentang puisi tempatan dan mengangkat sastera tempatan melalui kajian perbandingan karya dan tokoh tempatan dengan luar negara. Secara tidak langsung, beliau boleh dianggap sebagai Duta Kesusasteraan Melayu ke negara asing.

Dalam kalangan penyair dan peneliti puisi Asia Tenggara, nama Siti Zainon Ismail sudah tidak asing lagi, karya beliau kerap dijadikan bahan kajian dan penelitian. Puisi-puisi beliau menjadi pilihan para sarjana seperti SN Muhammad Haji Salleh, SN Kemala, Dr Hashim Awang, Harry Aveling dan Prof Dr Zakaria Ali untuk diteliti dan diketengahkan dalam persidangan dan dalam jurnal terbitan tempatan dan antarabangsa.

Sasterawan negara lain sambut baik

Dalam proses membuat keputusan untuk memilih Siti Zainon sebagai sasterawan negara, saya telah menghubungi sasterawan-sasterawan negara yang lain. Hampir kesemua mereka mengatakan Siti Zainon ialah pilihan yang terbaik. A Samad Said mengatakan, Siti Zainon kaya dengan karya-karya yang menyentuh kepelbagaian budaya. Kata Prof Muhammad Haji Salleh pula, Siti Zainon sepatutnya telah lama bergelar sasterawan negara.

Siti Zainon Ismail bergerak seiringan dengan tiga bakat seninya, iaitu seni sastera, seni lukis dan seni budaya, iaitu busana. Sejak tahun 1985, beliau telah menghasilkan 20 buah buku kajian yang menjadi rujukan budayawan, pengkaji budaya mahupun pelajar di dalam dan di luar negara. Hasil kajian beliau khususnya dalam bidang seni amat besar ertinya dalam memperkaya khazanah budaya bangsa di negara kita. Selain daripada Azah Aziz yang menjadi tonggak budaya dalam hal ehwal busana Melayu di nusantara, kini kepakaran itu berpindah kepada Siti Zainon Ismail.

Dengan pengalaman ilmu dan sebagai aktivis perjuangan seni budaya, Siti Zainon Ismail pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Balai Seni Lukis Negara, ahli Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, editor bersekutu majalah Dewan Sastera, pakar bidang Majlis Sastera Asia Tenggara, pakar rujuk tekstil dan busana Johor, Yayasan Warisan Johor, ahli lembaga penasihat Yayasan Usman Awang dan banyak lagi.

Siti Zainon Ismail menerima pengiktirafan karya sastera di peringkat kebangsaan melalui Hadiah Sastera Malaysia dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Seterusnya, beliau telah beberapa kali mendapat Tokoh Anugerah Budayawan dari kerajaan negeri, badan kerajaan serta badan swasta. Dalam bidang seni, beliau telah mendapat penghargaan dari Indonesia dan Korea.

Dari kerajaan Aceh, beliau telah mendapat penghargaan dengan gelar Teuku Chut Nyah Fakinah dan Anugerah Profesor Luar Biasa di Universitas Jabar, Ghafur, Aceh. Dalam bidang sastera, beliau telah terpilih menerima SEA Write Award pada tahun 1989.

Maka demikianlah latar belakang dan sumbangan Siti Zainon Ismail yang melayakkan beliau menerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 pada malam ini.

Akhir sekali, hayatilah petikan sajak karya Siti Zainon Ismail yang sangat indah dan penuh makna. Sajak ini bertajuk Senja Di Pelabuhan;

Akulah bidadari laut
Mengurai rambut basah lembut
Sambil
Menjalin bicara senja
Kaukah
Melengkungi sabda jingga
Yang tak tergapai itu
Adalah keinginan
Rahsia sutera termahal
Berhimpun
Seperti muatan kapal yang tak pernah sarat
Sedang pelabuhan kehilangan kelasi.


DR MASZLEE MALIK ialah menteri pendidikan.

Tulisan ini disesuaikan daripada teks sembah ucapan dan sembah kenal penerima anugerah sastera negara ke-14 yang dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen