malaysiakini logo
story-image
ADS

*Ini adalah belasungkawa pemergian susuk manusia bernama Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacub yang meninggal dunia pada 7 September 2019. Beliau dikenali dengan nama Raja, Kuis, Kuza, King atau Rajah. Beliau pernah diamanahkan sebagai setiausaha politik Mahfuz Omar, penolong setiausaha agung PAS Pusat, naib ketua Pemuda PAS Pusat, ketua Pemuda PAS Perak dan antara yang berperanan dalam penubuhan Amanah.

Tatkala ramai menyebut Raja Ahmad Iskandar bin Raja Yaacub sebagai kenalan, sahabat, guru, mentor, anak didik, pensyarah, ahli politik, pemimpin, aktivis masyarakat atau apa jua sekali pun gerangan, kini dia adalah seorang manusia yang sudah mati. Yang telah tiada. Saya memanggilnya Raja.

Segala silamnya akan kekal abadi dalam kenangan. Kemanusiaan manusia yang mati itulah kehidupan akan datang. Kemanusiaan yang dihidupkan oleh manusia yang memiliki manusiawi. Kemanusiaan mati adalah akibat tangan-tangan manusia yang kematian kemanusiaan dalam hidupnya.

Politik dibangunkan pada rasa dan jiwa kemanusiaan. Saat kemanusiaan itu hilang, pudar dan kelam dalam pertelingkahan politik, kalian lihat sendiri bagaimana Raja tidak sesekali undur dalam politik meskipun seinci.

Politik seharusnya membangun kasih sayang dan perhubungan sesama ciptaan Tuhan. Politik itulah yang menjadi prinsip perjuangan Raja. Bukan politik ikut-ikutan atau politik paksa-paksaan. Tidak politik blok-blok. Politik pecah-berai. Politik punah-ranah.

Politiknya menyatukan dalam kepelbagaian yang rencam. Bilik hospitalnya tempat pemimpin dan ahli PAS, Umno, Amanah dan lain-lain parti bersatu atas rasa kemanusiaan yang paling hidup dalam jiwa Raja.

Rasa kemanusiaan itulah yang menggerakkan kalian berhenti seketika mencari perbezaan. Rasa kemanusiaan yang sentiasa mencari keserasian dan persamaan.

Raja mengambil kudrat dan semangat kemanusiaan yang masih berbaki untuk membangun rasa kemanusiaan yang hilang akibat pertelingkahan, peperangan, kemiskinan dan kemunduran ilmu pengetahuan. Persoalan kemanusiaan tidak pernah mengenal rupa kulit, bangsa dan agama.

Bermula didikan kedua orang tua dan kerabat istana, Raja menjalani kehidupan orang biasa. Dibesarkan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Rumah ibu bapanya sepelaungan antara Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah. Tidak jauh dari Sungai Perak yang menjadi penyambung orang kiri dan kanan.

Tiada siapa tahu Sungai Perak pernah berbicara dengan Raja, hanya Tuhan yang Maha Kuasa lebih mengerti. Ambillah resam sungai. Airnya segar mengalir berzaman. Air yang memberi kesuburan dan kehidupan manusia, tumbuhan, haiwan serta segala hidupan.

Rela jadi petugas tanpa gaji

Raja adalah manusia yang hidup dengan idealisme perjuangan. Rela menjadi petugas parti tanpa gaji, tanpa KWSP demi idealisme perjuangan. Hanya sedikit saguhati dari infaq kawan-kawan sekeliling menampung kehidupan.

Saat kawan-kawan sekuliah mula membina kehidupan yang mewah dan selesa bersama keluarga, Raja memilih sebaliknya. Membawa diri dan anak isteri larut dalam idealisme perjuangan.

Setelah ada ruang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Phd di United Kingdom dengan pembiayaan Mara, Raja terbang bersama anak isteri ke tanah Inggeris itu.

Meski separuh pembiayaan pengajiannya terpaksa ditanggung sendiri dengan keyakinan pada Tuhan Pemberi Rezeki. Pengalaman hidup tanpa tongkat kerajaan, mengajar untuk menghargai makna kemerdekaan diri.

Bukan kepalang hidup di negeri orang, menyara hidup dengan kudrat empat kerat. Ini semua membina ikatan kekeluargaan yang sangat dalam.

Selepas kembali belajar dari luar negeri, Raja memilih untuk tinggal di kampong halaman. Meski cita-citanya ke kotaraya tetapi ditangguhkan kerana cintanya pada kampong halaman, Bukit Chandan.

Cintanya pada Bukit Chandan, Kuala Kangsar terbit sejak dari kecil lagi. Di sinilah tanah tempat untuk menanam jasa dan jasad. Nyata, Raja membuktikannya.

Raja bersama anak-anak didiknya menubuhkan pertubuhan kemasyarakatan, Serantau Muslim (SARMY). Melalui wadah ini, sumbangannya tidak sekadar di pinggiran kaki lima sendiri tetapi melangkau laut samudera.

Katak tidak maju jika terus merasa tempurung adalah segala-galanya. Beliau juga adalah antara penggerak utama pertubuhan, Akademi Pendidikan Perak (ARUS) yang diasaskan di Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Menghidupkan kemanusiaan

Bangsa Rohingya bukan sekadar simbol bangsa persona non grata tetapi simbol kemanusiaan yang mati. Raja dan pertubuhannya bukan sekadar menggali ratusan telaga mencari air di kem pelarian tetapi usahanya itu mencari rasa kemanusiaan sesama manusia. Rasa kemanusiaan itu mesti dihidupkan.

Pertubuhan ini membawa misi kemanusiaan merentasi semua batas sempadan. Bagi Raja, batas dan sempadan terbina dari kerangka pemikiran manusia sendiri. Seharusnya manusia memikirkan soal di luar kotak. Manusia yang bebas sahaja mampu berfikir melawan sekatan, halangan dan tembok.

Dua tahun hidup melawan amukan kanser bukan calang-calang manusia. Manusia seperti Raja bukan sekadar ada ahli keluarga, rakan taulan, kenalan yang bersama membina ketahanan menghadapi dugaan ini.

Akan tetapi, Raja ada rasa kemanusiaan paling dalam yang menjadi senjata berdepan situasi itu. Rasa kemanusiaan itu tidak pernah ditulis atau dilakarkan.

Akan tetapi kemanusiaan itu ada dalam denyutan hubungan sesama mereka. Sesiapa sahaja yang pernah mengenalinya, pasti memiliki rasa kemanusiaan itu.

Rasa kemanusiaan itulah yang harus dibangunkan dan disuburkan. Biarlah Raja mati sebagai manusia. Ini kerana kesempurnaan manusia ada hidup dan ada mati. Kemanusiaan Raja harus kekal hidup. Kemanusiaan itu boleh hidup pada sesiapa sahaja.

Sudah berpuluh tahun Raja tinggalkan kehidupan kampus dan mahasiswa. Itu tidak pernah melonggarkan kehidupannya dengan denyut jantung mahasiswa dan universiti.

Jawatan terakhirnya adalah Pengerusi Sekretariat Mahasiswa Perak diterima dengan penuh amanah meski sedang dalam bertarung dengan kanser tahap empat.

Mahasiswa, anak muda dan universiti adalah lubuk kuasa perubahan dalam masyarakat. Pengalaman menjadi Presiden Perwakilan Mahasiswa UIAM membina kepimpinannya.

Bagi Raja, mahasiswa adalah agen perubahan yang harus digembleng potensi mereka. Acap kali, Raja menyuarakan di dewan kuliah universiti atau di podium umum tanpa rasa bosan, penat dan lelah.

Kehidupannya sebagai anak muda, mahasiswa sentiasa mewarnai pemikirannya. Raja sentiasa rasa muda dan bertenaga. Hidupnya sebagai manusia penuh dengan perlawanan tetapi tetap menghargai persahabatan, persaudaraan dan kemanusiaan.

Dalam buku terbarunya Pesanan Buat Pemimpin yang disiapkan beberapa minggu sebelum beliau pergi, beliau menulis, ‘Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah’.

Buku itu ditulis adalah wasiat beliau buat kita semua. Raja memang merancang begitu waktu beliau menulis.

Ucapan beliau terakhir dalam Program Selangkah Ke Menara Gading anjuran Yayasan Perak pada 25 Ogos lalu di bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, katanya: "Pendidikan itu merupakan satu yang amat penting. Untuk kita pastikan, anak-anak kita ini dapat meneruskan sebagai mereka yang meneruskan agenda terbaik kita sebagai insan."

Begitulah akrab persoalan pendidikan, kemanusiaan dalam kehidupan Raja.

Manusia (insan) akan mati. Jangan biarkan kemanusiaan itu mati.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen