malaysiakini logo
story-image
ADS

Baru-baru ini, Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Mohd Noor dalam satu wawancara bersama Malaysiakini, telah menyarankan supaya pendidikan – sekolah – menjadi kunci penyelesaian terhadap isu ‘Syiahfobia’. Beliau dilaporkan berkata; "Merujuk secara khusus kepada golongan Syiah - yang dianggap sebahagian agamawan di Malaysia sebagai ancaman kepada majoriti penganut Islam beraliran Sunni - rasanya pendekatan menerusi pendidikan adalah yang paling baik dan berkesan untuk mengatasi Syiah fobia ini."

Saya tidak dapat membayangkan jika saya menyarankan idea di atas. Saya telah pun menerima ugutan bunuh, ejekan, ancaman dan kecaman; baik di dunia maya mahupun di luar. Jika saya yang mencadangkan, tidak tahulah apa nasib saya di tangan ekstremis di luar sana.

Saranan Dr Wan Salim tersebut nampaknya disambut dengan positif meskipun penuh waspada oleh YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dengan kata-kata; "Itu nanti kita bincang dengan mufti Pulau Pinang,".

Sebenarnya, Wan Salim bukan orang pertama mencadangkan agar ajaran Syiah dimasukkan ke dalam sukatan pengajian Islam. Menurut saya, antara yang telah lama, dan dengan penuh berani menyarankan agar Syiah diajar di sekolah adalah sarjana besar tanah air, Profesor Dr Syed Naquib al-Attas, yang telah pun mengusulkan hal yang hampir sama di pentas antarabangsa. Pada tahun 1979, Profesor Al-Attas menyampaikan sebuah ucapan “Preliminary Thoughts on the Nature of Knowledge and the Definition and Aims of Education” di King Abdul Aziz University, Jeddah yang mana isu ini telah pun berbangkit.

Setahun kemudian, dalam buku beliau The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education telah menyorot lagi idea ini.

Dr Syed Naquib al-Attas

Dalam tulisannya yang bernas itu, Profesor al-Attas menyatakan pengajian fardu ain yang diterapkan dalam pendidikan Islam sebagai contoh haruslah membawa sama sentuhan Syiah (dan tentu sahaja Sunni). Beliau menyatakan pendidikan yang beliau maksudkan itu bukan sahaja di peringkat tinggi, iaitu universiti, tetapi juga mencakupi dunia pendidikan anak-anak di peringkat sekolah rendah. Sebagai bukti, tulisan beliau dirujuk di sini:

“The core knowledge representing the fardu ‘ayn, integrated and composed as a harmonius unity at the university level as a model structure for the lower levels, and which must invariably be reflected in successively simpler forms at the pre-university, secondary, and primary levels of the educational system thoughout the Muslim world, must reflect not only the Sunni understanding of it, but also accomodate the Shi’i interpretation.”

Nasihat bijak pandai

Pandangan (mungkin kata yang lebih tepat ialah impian) beliau di atas membawa kesan positif yang besar tentunya jika dipraktikkan untuk generasi Muslim yang ada. Malangnya, menurut kajian Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid (USM) dalam tahun 2010, gagasan murni Profesor Syed Naguib itu diketepikan malah tidak pun diperhitungkan sama sekali oleh pihak berkuasa negara ini Umno-BN demi menjaga status quo pemerintah:

“The ideal form and practice of an Islamic curriculum, as conceived for instance by Syed Naguib Al-Attas, remains far-fetched in state-sanctioned Islamic education in Malaysia. The outcome in terms of enforcement of narrowly interpreted religious law against Muslim non-conformists is all too obvious in Malaysia. Whereas Al-Attas’ scheme was broad enough to accommodate even Shi’a interpretations of the revealed sciences, Malaysia has been fastidious in instituting pre-emptive action against and punishment of Malay-Muslims who profess the Shi’a variant of Islamic faith deemed to have deviated from the path of Sunni orthodoxy.”

Dr Wan Salim Mohd Noor 

Seruan Dr Wan Salim, Mufti Pulau Pinang, dan Profesor Al-Attas jauh lebih awal itu sepatutnya tidak dipandang enteng oleh Kementerian Pendidikan. Eloklah kerajaan hari ini mendengar nasihat bijak pandai yang moderat dan terbuka.

Ini kerana pada 2 Oktober 1960, dalam ucapannya di pembukaan Kongres Ahli-Ahli Tarikat As-Sufiah Seluruh Malaya, bertempat di Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, ahli politik dan agamawan terkenal tanah air yang dikenali sebagai Dr Burhanuddin al-Helmi telah memetik pandangan Syed Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh besar Islam. Al-Afghani telah ditanyakan apakah makna “benih pembaharuan Islam” yang beliau gagaskan; al-Afghani dikatakan membalas pertanyaan itu dengan jawapan yang panjang, sebahagiannya berbunyi:

“Hendaklah kita pulihkan kembali kepada kebenaran perbalahan antara ahli sunnah dan ahli Syiah. Sesungguhnya perpecahan itu ialah rekaan raja-raja yang tamak...”

Menurut saya, ayat di atas adalah ayat paling rahmatan lil alamin. Ketika al Marhum Dr Burhanuddin al-Helmi menghimbau kembali alam remajanya, dalam ucapan di kongres tersebut, beliau menjelaskan betapa beliau asalnya “memusuhi jumud dan kolot, pada saya tasauf dan tarikat itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur aduk dengan bidaah”.

Beliau kemudian menyambung, “Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk Islam yang hanif ini terutamanya dan kesan-kesannya ialah daripada ulama syiah dan ulama tasauf samada ulama-ulama itu datang secara saudagar atau secara mubaligh, bukan masuk melalui ulama-ulama fekah, Islam masuk di Nusantara kita ini.”

Keluasan ilmu disingkatkan, dikotakkan

Kenyataan-kenyataan Dr Burhanuddin al-Helmi, orang kuat PAS di atas mengandungi makna tersendiri tentunya. Dalam kajiannya mengenai sistem pendidikan Islam di Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid memaparkan bagaimana keluasan ilmu telah disingkatkan dan dikotakkan oleh sistem pendidikan Islam tempatan, di mana pengkaji ini seterusnya mengulas pendapat Dr Burhanuddin al-Helmi itu seperti berikut:

“By stripping Islamic educatiopn of its pristine ideals, noble purposes and praiseworthy practices, the Malay-Muslim ruling establishment has transformed it into yet another area vulnerably bound to its largesse and patronage, which would ultimately be translated into political influence and support for Umno and BN. Political considerations explain the express prohibition of pluralisme within Malaysian Islam. Any sign of dissent from official Islamic orthodoxy is frowned upon as reflective of deviance that is liable to prosecution in religious courts. Yet, this homogenization of Islam runs against the grain of Islamic history, which is rich with contestations between sects, school of thought and factions. The sufi and Shi’a provenances of Malaysian Islam, as recognized by prominent Malay nationalist Dr Burhanuddin Al-Helmy, have not been fully acknowledge in Malaysia’s official Islamic discourse as it does not tally with the ruling elites’ hegemonic agenda based on carefully constricted version of Malay-Muslim unity. Thus, Malay Shi’as and sufis have been foremost at the receiving end of government heavy-handedness ostensibly based on the concern to maintain the purity of Islamic faith.”

Perenggan di atas menukilkan betapa selama ini Umno telah mendapat manfaat laba untung dengan pertelagahan mazhab. Pakatan Harapan tidak boleh mencontohi Malaysia Lama. Politikus seperti Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang terburu-buru mendukung tindakan mencabul hak asasi minoriti harus disekolahkan. Saya harap pasukan beliau membaca artikel ini dengan renungan dalam.

Amirudin Shari

Sebahagian besar objektif kajian Profesor Ahmad Fauzi Abdul Hamid yang dipetik di atas adalah untuk menunjukkan betapa sistem pendidikan Islam Malaysia telah dibelenggu oleh satu faham, satu sekte atau satu sekolah pemikiran yang statik. Pilihan sekte ini dilakukan oleh state atau negara dan dipaksakan kepada setiap individu Islam.

Adalah penting supaya gejala minda tertawan ini dibebaskan dari kekangan mazhab dan putus-tentu sebuah majlis agama yang hari ini telah menetapkan supaya Islam yang dipraktikkan di muka bumi Malaysia haruslah dari satu acuan, satu sekte, dan kita penganut Islam hanya boleh memuaskan diri semata-mata dengan satu mazhab yang telah ada. Selalunya alasan pihak majlis agama ialah kepelbagaian boleh mengakibatkan perpecahan. Gejala puas dengan satu sekte atau mazhab ini saya namakan sebagai homosektual. Lawannya adalah heterosektual.

Gejala satu sekte

Pendita Za’ba pernah memandang serong gejala satu sekte atau mazhab ini, kerana ia tidak dapat memberi kepuasan kepada seseorang Muslim memandangkan sebagai umat Islam kita harus dilatih melihat keluasan, bukan kesempitan ruang. Za’ba mengatakan dalam buku beliau Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat begini:

“Maka hanyalah orang-orang kemudian yang kurang pengenalan sahaja telah menyempitkan kawasan ini dengan menghukumkan tidak boleh berpindah-pindah dari satu mazhab kepada lain mazhab jika tidak diketahui semuanya kaedah-kaedah tiap-tiap mazhab itu sebagaia mana ahli-ahlinya sendiri. Padahal kita dan kebanyakan orang alim kita pun, pengajian atau mazhab Shafii atau Hanafi sahaja pun tidak boleh terhabiskan seumur hidup. Sesungguhnya inilah pemandangan orang yang sempit hatinya, sempit fikirannya dan sempit kira-kira – orang yang tiada harapan boleh maju dan bersendiri dalam hal ehwal pengajian agamanya.”

Untuk rekod Za’ba pernah dituduh sebagai berfaham muktazilah dan karya-karyanya telah diharamkan di Perak dalam tahun 1930-an. Sebagai mangsa pelarangan karya, Za’ba tidak mengalah malah seperti yang disebut lebih awal, beliau menekankan; “orang-orang kemudian yang kurang pengenalan sahaja telah menyempitkan kawasan ini dengan menghukumkan tidak boleh berpindah-pindah dari satu mazhab kepada lain mazhab.”

Hari ini, Dewan Bahasa dan Pustaka tanpa mengambil kira label kafir dan Muktazilah terhadap Za’ba telah menghargai karya-karya beliau kembali dan menerbitkannya semula dengan pakej baharu. Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin – felo Oxford – misalan dalam buku monumental beliau Mengemudi Bahtera Perubahan Minda menyatakan “Dewan Bahasa telah mengambil tanggungjawab yang betul dengan mencetaknya” kembali. Tentu sebagai felo Oxford beliau tidak percaya Za’ba sekerat-sekerat. Saya percaya beliau yakin dengan Za’ba secara kaffah.

Perluasan tasawur dalam bidang pendidikan yang dicadangkan oleh Syed Naguib al-Attas pada tahun 1980, bahawa “educational system throughout the Muslim world, must reflect not only the Sunni understanding of it, but also accomodate the Shi’i interpretation” kini boleh dikemukakan dalam bidang pendidikan memandangkan jalan moderat dan progresif telah ternganga luas.

Soalnya apakah mufti Pulau Pinang dan YB menteri pendidikan akan berani separuh-separuh, atau tunduk dengan suara daulah terpendam?

Itu kita tidak tahu.

Cuma pinta saya, mereka mengingat satu fakta yang sering terlupakan. Bahawa pemomokan yang dahsyat terhadap kelompok Syiah telah menyebabkan satu kes kehilangan paksa iaitu terhadap Amri Che Mat, yang mana inkuiri Suhakam mengesahkan latar kehilangan beliau melibatkan peranan polis, didorong oleh sekian banyak penindasan dan kempen Syiahfobia oleh jabatan agama.

Jangan benarkan ia berlaku lagi. Mengajarkan Syiah dengan adil di sekolah akan menamatkan Apartheid yang jahat ini. Sebagai orang Islam, kita semua tahu, kita mungkin tidak perlu menjawab di sini. Akan tetapi, suka atau tidak, kita akan tetap menjawab di sana.

Tuhan memerhati kita semua.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen