malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Sebab kita perlu sokong Kempen Beli Produk Muslim
ADS

Seruan menggalakkan masyarakat membeli produk Muslim sudah wujud sejak sekian lama. Namun, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif untuk melancarkan secara rasmi pada 2 April yang lepas.

Kita hairan, mengapakah kempen ini menjadi polemik lima bulan selepas itu? Yang lebih menghairankan lagi ialah polemik ini diperbesar dan dimainkan secara bertubi-tubi dari ahli-ahli politik Pakatan Harapan. Seolah-olah kempen ini telah 'mengganggu' kepentingan mereka.

Malah, dengan segala kuasa dan pengaruh yang ada, mereka seolah-olah cuba mensabotaj kempen ini dengan pelbagai label dan naratif. Paling sedih sekali ialah apabila menteri agama tidak bersependapat dengan mufti-mufti yang menyokong kempen ini secara tidak berbelah bahagi.

Dalam penulisan kali ini, saya ingin menerangkan tentang kebaikan kempen ini yang mana kempen ini sebenarnya menguntungkan banyak pihak.

Menyemai semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam

Melalui kempen ini, semangat perpaduan dalam kalangan umat Islam dapat dicapai dengan prinsip tolong menolong sesama saudara Muslim. Ini terbukti apabila satu kumpulan komuniti Facebook yang membincangkan mengenai barangan Muslim ini mendapat sambutan yang luar biasa. Kini, kumpulan komuniti Facebook tersebut sudah mencecah 1.6 juta keahlian.

Ahli-ahlinya bersemangat berbincang dan berkongsi maklumat tentang barangan Muslim. Ada yang berjumpa di lapangan untuk membuat kenalan dan networking. Ada yang membuat poster-poster promosi produk milik orang lain yang mereka tidak kenal pun tetapi secara sukarela dan sebagainya.

Inilah semangat perpaduan ummah yang saya maksudkan dalam penulisan saya sebelum ini.

Membantu meningkatkan kutipan zakat

Antara slogan yang kita bawa ialah 'menyokong peniaga pembayar zakat'. Kita perlu ingat bahawa zakat bertujuan untuk memerangi kemiskinan. Pembayar zakat adalah Muslim dan yang menerimanya adalah Muslim juga.

Logiknya mudah, zakat pendapatan yang perlu dibayar adalah berdasarkan pendapatan yang diperolehi. Jika pendapatan usahawan-usahawan Muslim meningkat maka mereka perlu membayar zakat pendapatan yang lebih tinggi.

Kita sering merungut dan menghentam pihak berkuasa zakat di mana ramai orang miskin yang tidak mendapat bantuan dan sebagainya. Saya yakin, jika kutipan zakat meningkat maka jumlah penerima zakat akan meningkat. Malah, jumlah penerima tajaan pendidikan oleh institusi zakat juga akan meningkat.

Tidakkah kita mahu membantu saudara-saudara kita yang miskin? Lebih-lebih lagi melalui satu mekanisme yang disyariatkan oleh Islam, iaitu zakat.

Usaha untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum

Majoriti besar umat Islam di Malaysia adalah dari kalangan Bumiputera. Maka, kempen ini secara tidak langsung membantu orang-orang Bumiputera di mana golongan ini jauh ketinggalan di belakang orang Cina dan India dari aspek ekonominya.

Kita hanya rakyat biasa, tiada kuasa untuk membuat polisi dan bantuan-bantuan secara terus. Kempen inilah caranya untuk kita sebagai rakyat untuk membantu negara dalam merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

Menghapuskan monopoli syarikat besar

Kita mahukan keadilan dan monopoli dalam perniagaan adalah satu perkara yang bercanggah dengan prinsip keadilan. Fenomena ini memberikan ketidakadilan kepada dua pihak, iaitu pengguna dan syarikat-syarikat kecil.

Pengguna akan terkesan dengan harga yang tinggi manakala syarikat-syarikat kecil akan 'dimatikan' kerana persaingan di mana syarikat besar mempunyai segala kelebihan dan kemampuan.

Cara yang paling mudah untuk memecahkan monopoli oleh syarikat-syarikat besar ialah mewujudkan satu suasana yang benar-benar kompetitif antara syarikat besar dan kecil.

Rata-rata syarikat kecil adalah milik Muslim. Maka, memperkasakan mereka mampu memecahkan monopoli yang berlaku oleh syarikat-syarikat besar yang akhirnya memberikan manfaat kepada para pengguna.

Mampu meningkatkan kualiti barangan keluaran Muslim

Peningkatan pendapatan syarikat-syarikat Muslim akan memberikan peluang kepada mereka untuk melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk mereka. Maka, sudah pasti kempen ini mampu membantu meningkatkan kualiti barangan keluaran Muslim.

Segelintir umat Islam yang begitu 'anti' dengan kempen ini dengan alasan kononnya "produk Muslim tidak berkualiti" sepatutnya menyokong kempen ini jika benar-benar peduli dengan kualiti produk.

Membantu industri kecil sederhana

Syarikat dan pengusaha kecil mempunyai hak untuk mendapat peluang peniagaan yang selayaknya terutamanya dari segi pemasaran dan kapital. Kebanyakan pengusaha kecil hanya memasarkan produk mereka di kedai-kedai runcit di kawasan-kawasan terpencil.

Dengan wujudnya kempen ini di akar umbi, secara tidak langsungnya kita membantu meningkatkan promosi dan penjualan mereka melalui promosi di media-media sosial dan platform-platform lain yang bakal diwujudkan.

Memperkasa Malaysia sebagai hub halal

Produk-produk keluaran Muslim yang halal pasti memberikan impresi yang lain kerana seorang yang beriman pasti mempunyai sensitiviti dan kefahaman yang lebih mengenai prinsip-prinsip dalam Islam terutamanya dalam soal halal dan haram.

Maka, industri halal pastinya perlu dikuasai oleh Muslim. Malah, apabila menteri mengumumkan bahawa majoriti produk halal utama adalah milik syarikat bukan Muslim. Oleh itu, sebagai Muslim kita perlu berusaha agar produk-produk keluaran Muslim diperkasakan menjadi produk-produk halal yang terkemuka.

Menggalakkan rakyat berniaga

Kebimbangan rakyat biasa dalam memulakan perniagaan adalah mereka bimbang tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat besar.

Kementerian Pembangunan Usahawan baru-baru ini menuduh bahawa bantuan kerajaan adalah punca golongan Bumiputera kurang berniaga. Malah, kementerian tersebut juga mahu menghentikan konvensyen buat usahawan Bumiputera. Ini pastinya menambahkan lagi kebimbangan golongan tersebut. Akhirnya, perniagaan milik Muslim masih lagi sedikit.

Kempen Beli Produk Muslim ini sedikit sebanyak memberi semangat dan sokongan kepada golongan ini untuk berniaga kerana kerajaan dilihat tidak lagi mahu membantu mereka.

Sebenarnya sudah terbukti Kempen Beli Produk Muslim ini memberi manfaat kepada banyak pihak selain usahawan-usahawan Muslim. Banyak lagi kebaikan dan bukti keberkesanan kempen ini yang masih belum kita nampak.

Kerajaan tidak seharusnya mudah melatah dan menentang kempen ini tanpa usul periksa. Kami masih menunggu kesediaan menteri-menteri untuk berjumpa dengan pihak sekretariat untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Isma.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen