malaysiakini logo
story-image
ADS

Masalah hutang yang tidak dibayar Harakah sedikit sebanyak memberi kesan terhadap PAS - lebih “sebanyak” daripada “sedikit”.

Dalam erti kata lain PAS tercalar atau tercemar akibat masalah itu. Sesuatu yang tidak “molek” khususnya ketika PAS sedang gah memeterai secara rasmi kerjasama dengan Umno, Sabtu ini.

Kesan utamanya, PAS sebagai parti yang menamakan dirinya parti Islam itu boleh dituduh tidak mengikut apa yang dianjur agama.

Begini, Harakah milik PAS. Ia lidah rasmi PAS. Dan ia berhutang sekurang kurangnya RM3juta dengan sebuah syarikat pencetak. Ini diakui PAS sendiri. Namun menurut setiausaha agung parti Takiyuddin Hassan, Harakah mahupun PAS bukan “lari” daripada syarikat pencetak terbabit.

Sebaliknya, kata beliau, PAS punya “sebab tersendiri” memilih syarikat lain untuk mencetak Harakah.

“Sebenarnya syarikat yang dulu itu (pencetak lama) sudah muflis jadi sebab itulah tukar,” kata Takiyuddin seperti dipetik Malaysiakini tempoh hari.

Tetapi bagi penulis politik dan pemerhati PAS berpengalaman Mohamad Sayuti Omar, PAS “kena bayar hutang berkenaan”.

Pembayaran itu, kata beliau, sebagai menunjukkan PAS bertangggungjawab dan tidak boleh membiar atau lupus hutang itu atas alasan syarikat itu sudah muflis.

“Sebagai parti agama, tentu pemimpin PAS faham mengenai tanggungjawab membayar hutang. Islam sangat mementingkan hutang dibayar,” kata Sayuti .

Lantas menurut Sayuti, PAS kena “sucikan dirinya” dengan hutang berkenaan kerana “ia bukan hal menyentuh dasar perjuangannya tetapi perkara itu akan dijadikan isu”.

Itu kesan pertama. Kesan kedua terhadap PAS ialah parti itu boleh dituduh “cakap tak serupa bikin”. Ini ada berhubung kait dengan kempen utamakan barangan Muslim atau BMF – Buy Muslim First (BMF).

PAS menyokong kempen ini. Maknanya PAS sokong bukan sahaja barangan Muslim tetapi juga peniaga mahupun syarikat Muslim.

Namun dalam kes hutang Harakah, syarikat pencetak yang hutangnya tidak dibayar ialah syarikat milik Melayu Muslim. Dan syarikat pencetak yang PAS pilih untuk mengantikan syarikat Melayu Muslim itu bagi mencetak Harakah dipercayai milik bukan Melayu-Muslim. Wallahualam.

Namun jika ini benar, kata-kata PAS menyokong BMF tidak membawa erti. Malah boleh dipertikai.

Apapun hakikatnya Harakah dalam kesusahan dan mengalami masalah kewangan kritikal. Mengapa atau bagaimana ini berlaku? Banyak “cerita” yang saya dengar.

Namun saya tidak becadang menghuraikan satu persatu apa yang “diceritakan” pihak yang dikira “arif “ terhadap selok belok Harakah. Khususnya apa yang diceritakan mengenai pengurusan dan sebagainya .

Dulu ratusan ribu setiap keluaran

Cuma saya ingin imbas kembali waktu kegemilangan Harakah – ketika pengedarannya mencecah ratusan ribu setiap pengeluaran. Terutama pada era Reformasi dulu. Seorang pengarang Harakah pernah memberitahu saya, Harakah mampu beli bangunan tiga tingkat untuk jabatan editorialnya “sebab Anwar Ibrahim bagi duit”.

Beliau berseloroh. Tetapi yang ingin disampaikan ialah hasil gerakan Reformasi yang dicetus Anwar pada tahun 1998, Harakah yang membuat liputan meluas gerakan Reformasi dan sebagainya, menjadi akhbar pilihan sebahagian besar rakyat Malaysia, sekali gus meraih keuntungan kewangan.

Harakah ketika itu menjadi akhbar alternatif golongan yang bosan dengan akhbar “media perdana” yang prokerajaan BN ketika itu. Harakah bertindak menyajikan berita yang tidak disiar “media arus perdana”.

Sajian Harakah untuk semua, bukan sahaja untuk ahli PAS walaupun permit yang diluluskan kerajaan dulu ialah akhbar itu wajib beroperasi untuk memenuhi keperluan parti dan ahlinya sahaja.

Bagaimanapun lama-kelamaan Harakah mengubah dasar editorial yang menurut sumber lebih mementingkan soal parti dan kepimpinan. Difahamkan muka depan Harakah seolah-olah “wajib” menyiarkan laporan mengenai pemimpin PAS walaupun ketika isu nasional yang diketengahkan.

Ini kata mereka menjejaskan populariti Harakah dan mempunyai kesan terhadap pengedaran dan pengiklanan. Dan keadaan bertambah buruk apabila PAS berpecah yang menyaksikan tertubuhnya Parti Amanah Negara.

Bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila PAS berpecah pembaca Harakah turut berpecah.

Apakah penghujung kisah Harakah ini? Adakah cahaya di hujung terowong?

Sayuti mencadangkan PAS melancarkan kutipan derma kerana katanya ahli PAS “komited dan sedia menghulurkan bantuan”.

Dipercayai baru baru ini seorang naib presiden PAS menghantar mesej kepada pemimpin dan ahli PAS. Mesejnya agak “kasar’ tetapi sebenarnya terus terang tanpa selindung.

Dikatakan beliau memberitahu pemimpin dan ahli PAS, Harakah “dah nak mati” dan “Kalau Harakah mati, tuan-tuan yang kena bertanggungjawab”.

Menurut sumber, pemimpin itu memberitahu, Harakah kini dicetak 24 ribu naskah sahaja sebulan. Dan selain hutang tertunggak Harakah juga menanggung hutang baru yang jumlahnya agak besar.

Beliau memberi angka atau jumlah hutang hutang itu. Pada hemat saya tidak perlu saya sebut di sini.

‘Jangan bunuh Harakah’

Oleh demikian beliau memohon kawasan dan cawangan untuk kempen beli Harakah. Kalau tak baca pun kata beliau niat beli untuk sedekah.

Beliau seterusnya dipercayai berkata: “Tolong pakat beli. Kalau tak. kita terpaksa tutup Harakah. Saya merayu pada tuan tuan. Kalau tak beli bermakna kita membunuh Harakah.”

Saya cuba mendapat reaksi naib presiden PAS itu, terutama pengesahan mengenai mesej berkenaan. Sehingga artikel ini ditulis, beliau tidak beri tindak balas atau respons.

Mungkin beliau sedang sibuk dengan urusan pemeteraian piagam Umno –PAS dan perhimpunan penyatuan ummah yang dijadual berlangsung berapa hari lagi.

Pun begitu - sama ada beliau mengeluarkan mesej berkenaan atau tidak – mesej atau kandungannya tetap logik. Oleh kerana Harakah mengaku ia untuk ahli PAS maka ahli PAS-lah yang mesti menyelamatkannya.

Tetapi pemimpin, yang mendapat pelbagai manfaat daripada Harakah, juga tidak boleh lepas tangan.

Bagi seorang yang pernah bekerja di Harakah satu ketika dulu, saya berpendapat membereskan hutang hanyalah sebahagian daripada penyelesaian.

Yang diperlukan juga ialah pelan perniagaan mantap sesuai dengan zaman ini dan juga boleh mengharungi cabaran masa depan.

Walau apa pun usaha dan pelannya ia mesti dilakukan bukan sahaja untuk parti. Fikirkan juga nasib pekerja Harakah dan keluarga mereka. Itu wajib.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen