Pengiklanan

    Negara yang kita rebutkan

    (Dikemaskini )
    Abdullahjones  |  Kolum

    Kita ini memang suka menyalahkan orang lain dalam semua masalah dan tidak berbuat apa-apa kecuali sedikit untuk membetulkan keadaan.

    Dengan berkembangnya teknologi dan media sosial, tingkah laku kita dalam mencari silap orang dan mendedahkannya kepada umum menjadi cara hidup yang diraikan beramai-ramai.

    Kami selalu mengesyorkan supaya kita lakukan saja sendiri apa yang kita rasa gagal dilakukan oleh mereka yang bertanggungjawab atas apa juga hal.

    Jika taman perumahan kita kotor, maka kita bersihkan. Jika kerajaan kelihatan jahat, maka kita jatuhkan. Misalnya.

    Begitu saja kita ini, semua perkara adalah mengenai partai, mengenai politik. Sedang 'pisau' ada di tangan kita. Mahu membunuhkah, atau mahu memotong ayam buat makankah, keputusannya terletak di tangan kita ini.

    Pada 1999, Abdul Razaq Ahmad telah memulakan satu usaha membantu pelajar-pelajar yang kurang cermerlang dan daripada keluarga miskin untuk diberi peluang melangkah ke universiti.

    Keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak seorang pun ahli keluarganya pernah belajar di menara gading.

    Abdul Razaq

    Pelajar-pelajar dipilih sendiri oleh Abdul Razaq. Beliau pergi menjelajah ke kampung-kampung untuk melihat dan memilih sendiri calon-calon yang akan dilatih.

    Pelajar yang dipilih terdiri daripada semua kaum, termasuk Orang Asli.

    Hasilnya hari ini Akademi Menara Gading adalah antara gerakan rakyat yang berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dengan sebahagian besar daripada mereka kini berjaya dalam bidang yang mereka pilih.

    Yang di-Pertuang Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah penaung Akademi Menara Gading.

    Membentuk masyarakat diidam

    Di Kuantan pula terdapat satu kumpulan yang berusaha membetulkan masa depan anak-anak daripada keluarga yang kurang peluang dalam pembelajaran.

    Kumpulan yang diketuai oleh pesilat, pejuang busana dan juga jurufoto amatur yang gemar memasak iatu Syed Azimal. Mereka mula memberikan kelas tambahan percuma kepada murid sekolah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pak Mahat.

    Syed Azimal dan beberapa rakannya meluangkan masa dan tenaga bagi membantu kanak-kanak yang tidak mendapat ruang dalam pelajaran tambahan.

    Ianya mendapat sambutan yang sangat mengalakkan, baik daripada kanak-kanak yang memerlukan batuan pelajaran itu, atau masyarakat setempat.

    Pihak berkuasa tempatan pula menyediakan sebuah bilik di PPR tersebut untuk digunakan sebagai kelas.

    Guru Seni Silat Ayam Den Lopeh Syed Azimal dan kumpulannya bukan saja menyediakan kelas percuma untuk pelajar malah mereka juga kerap menyiapkan sarapan percuma kepada semua pengunjung pantai di Taman Gelora setiap pagi Ahad.

    Syed Azimal

    Pada Ramadan, kumpulan itu akan menyediakan juadah berbuka kepada semua yang mahu atau memerlukan. Juga tanpa meminta apa-apa bayaran.

    Sokongan daripada semua pihak tentu saja akan memberi semangat yang lebih kuat kepada pihak memiliki kesedaran dalam membentuk sendiri masyarakat yang diidamkan.

    Di Johor Bahru pula ada Sekola Baroka.

    Gusar melihat anak-anak peniaga bazar karat yang berkeliaran sementara menunggu ibu bapa mereka berniaga, Rayhan Ahmad pada mulanya hanya mengadakan kelas untuk anak-anak tersebut secara sambilan.

    Namun setelah beberapa tahun, beliau dan beberapa rakannya mula mengambil serius kegiatan itu dan menyewa tingkat atas sebuah kedai lama di kawasan tersebut untuk dijadikan Sekola Baroka.

    Ditambah pula dengan kumpulan-kumpulan yang menyediakan makanan percuma kepada gelandangan dan juga kumpulan membaiki jalan raya yang rosak tanpa mempunyai agenda politik, kita semua boleh mencapai apa yang kita idamkan selagi kita bersatu dan tidak minta dikenang semasa hidup atau setelah mati.

    Minta dikenang selalu adalah ciri khas seorang ahli politik. Kita tentu saja tidak mahu jatuh teruk hingga ke situ, yakni berbuat baik untuk menang pilihan raya.

    Percayalah apabila kami katakan bahawa politikus adalah orang jahat.

    Berbuatlah sesuatu kerana mahukan negara ini menjadi yang lebih baik. Belilah barangan buatan siapa saja kerana kamu yakin ianya akan memakmurkan negara ini.

    Atau pilihlah "Mandarin only" juga kerana kamu yakin bahawa ianya akan menyatukan semua bangsa di negara ini.

    Negara yang kamu rebutkan ini adalah negara milik semua.


    ABDULLAHJONES ialah pelukis, penyair, penulis, peminat foto dan si bodoh yang mencintai negaranya.

    Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih