malaysiakini logo
story-image
ADS

Assalamualaikum Tun,

Terlebih dahulu saya mendoakan YAB Tun dan keluarga berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah SWT.

Yang dihormati Tun,

Saya bukanlah seorang yang layak memberikan nasihat kepada Tun. Tun bukan sahaja seorang perdana menteri tetapi seorang negarawan yang dikagumi seluruh dunia. Kemampuan Tun untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun tidak boleh dipertikaikan. Tun terkenal seorang yang kuat bekerja, sangat berdisiplin dan seorang yang sangat teliti. Pendek kata sukar untuk negara mencari seorang negarawan yang hebat seperti Tun.

Namun sebagai rakyat marhaen yang merasai kesusahan dan keperitan hidup, seorang Muslim yang prihatin terhadap agama Islam, mungkin ada perkara yang saya rasai tidak dapat dirasai oleh Tun. Atas dasar itu saya gagahkan jari jemari untuk menulis sepatah dua kalam sebagai luahan hati kepada Tun.

Saya bukan seorang ahli politik tetapi sekadar bergerak di atas nama NGO kerana menyedari betapa perlunya ada insan yang meneliti keadaan bangsa dan agamanya di akar umbi masyarakat.

YAB Tun,

Saya tidak berhajat menceritakan keadaan yang berlaku hari ini tetapi bagaimana orang-orang Melayu merasa sangat tertekan apabila bangsa dan agama mereka dihina oleh bangsa lain. Saya yakin Tun pasti sedar dan faham realiti yang sedang berlaku ini. Tidak tahu apa lagi yang mampu saya ucapkan apabila hampir setiap hari ada saja kenyataan-kenyataan yang merendah-rendahkan orang Melayu dan agama Islam. Ratusan malah mungkin ribuan laporan polis telah dibuat tetapi semuanya dingin menyepi. Tetapi kalau orang Melayu yang bercakap tentang bangsa lain, saya yakin hari esok mereka akan ditangkap dan didakwa.

Sedih sungguh Tun, apalah salah dan hinanya orang Melayu sehingga dilayan sedemikian rupa di bumi tumpah darah sendiri. Asal bercakap saja, kami terus dilabel sebagai rasis dan ekstremis walhal Tun pun tahu orang Melayu adalah satu bangsa yang sangat lemah lembut dan mudah bertolak ansur. Orang Melayu rela berkongsi tanah, berkongsi tempat tinggal, berkongsi makan dan minum tetapi malangnya sikap sebegini telah diambil kesempatan oleh orang lain untuk memijak-mijak maruah orang Melayu, setelah mereka berjaya.

Tidak dapat dinafikan orang Melayu memang ada kelemahan tetapi kami tidak pernah mengenepikan orang lain apatah lagi menindas mereka. Walaupun kami bukan orang kenamaan dan tidak ada pangkat dan harta yang banyak tetapi kami tidak sanggup mendengar bangsa kami dan agama kami dihina sebegini rupa, Tun. Kami bukannya mahu mengambil hak orang lain tetapi sekadar menuntut dan mempertahankan hak kami sebagai anak watan di bumi bertuah ini. Apakah itu salah, Tun?

YAB Tun,

Jasa Tun kepada negara tidak terkira, sumbangan Tun juga terlalu banyak untuk dihitung. Untuk sebuah negara mendapat seorang pemimpin seperti Tun mungkin sukar. Namun apa yang berlaku hari ini membuatkan saya bimbang akan menukar pandangan orang Melayu terhadap Tun. Saya bimbang, jika Tun tidak berbuat sesuatu, maka sejarah akan mencatat bahawa Tun adalah punca kejatuhan orang Melayu. Tun akan dihina oleh generasi anak cucu Melayu ribuan tahun ke hadapan. Semua jasa Tun sebelum ini akan dilupai dan hilang seperti debu yang berterbangan. Lebih malang lagi, kalau ada yang akan menggelar Tun sebagai pengkhianat bangsa. Apakah Tun mahu ini berlaku disaat-saat hujung usia Tun? Saya yakin tidak.

Selaku pemimpin nombor satu negara, tidak ada sesiapa pun yang mampu merubah keadaan dan nasib bangsa Melayu dan agama Islam sekarang melainkan Tun sahaja. Tun mampu menentukan arah dan hala tuju bangsa. Tun jugalah yang boleh menyatukan kembali orang-orang Melayu dengan kuasa dan kedudukan yang ada.

Oleh itu saya merayu, dengan penuh rendah hati, agar Tun merenung dengan sedalam-dalamnya mengenai untung nasib bangsa Tun sendiri. Bertafakur dan bermuhasabahlah serta bermunjatlah kepada-Nya agar diberi petunjuk dan kerendahan jiwa untuk memulakan penyatuan ummah agar bangsa dan agama Tun kembali dijulang. Mudah-mudahan dengan ini, apabila tiba saat Tun menutup mata, Tun kembali kepada-Nya dalam keadaan tenang dan penuh kebahagiaan. Insya-Allah.

Amin.

AMINUDDIN YAHAYA

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen