malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya dipanggil oleh bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Dubai Internet City untuk menganggotai syarikatnya, Dubai Port, Customs and Free Zone. Dia menjadi orang nombor dua selepas pengerusi, sebagai ketua operasi. Syarikat itu adalah yang terbesar di UAE.

Waktu itu Dubai Internet City mengalami perubahan. Banyak pertukaran dan orang baru masuk. Saya pernah disuruh melatih graduan tempatan, Arab yang baru bekerja. Ada empat orang dan mereka sudah mendapat latihan sebaiknya.

Keempat mereka naik pangkat selepas setahun, menggantikan tempat saya. Saya bertukar dari pengurus teknologi maklumat kepada pengurus perancang dan strategi bisnes. Kemudian bertukar lagi.

Saya bertiga dengan Aminah, orang tempatan yang kaya dan seorang lagi dari India dihantar ke Dubai Satellite, anak syarikat.

Saya ditugaskan merangka dan membuat bisnes berdasarkan satelit. Ini adalah tugas yang berat lagi mencabar.

Saya tidak pernah berurusan dengan komunikasi satelit. Namun saya menerima tugas ini sebaiknya.

Di tahun ketiga saya di Dubai Internet City. Begitu cepat masa berlalu.

Yusuf Islam atau Cat Stevens pada mulanya meminta saya membuat perancangan, merangka bisnes yang dia cuba bangunkan. Saya membuat pada hari yang sama. Saya telah banyak membuat perancangan seumpama. Cuma lain sedikit, dari seorang pendakwah.

Ini ada komplikasinya. Saya bekerja mengikut etika. Tetapi pada kali ini, saya bekerja mengikut seorang supestar yang diakui dunia. Mengikut masa dan selera seorang yang sentiasa sibuk.

Dia relaks sahaja, sedangkan saya serius.

Dia meminta saya untuk bertemunya. Dia berseorangan. Saya cepat bersetuju.

Saya mengambilnya di hotel dan membawanya di restoran Jepun. Saya mengambilnya waktu petang, dengan Kia Carnival. Dia berpakaian biasa tetapi branded. Nampak kemas.

Saya agak malu untuk bersua kerana persepsi dia yang terkenal. Apalagi hartanya cukup banyak. Antara saya dan dia, seperti langit dan bumi. Tidak terjangkau.

Yusuf Islam disenangi ramai. Ternyata dia popular. Ada sahaja orang bersalaman. Restoran itu agak sibuk. Ramai pelanggan orang putih. Mereka mengenali Cat Stevens.

Saya duduk minum teh sahaja, sudah makan. Yusuf menempah makanan Jepun, kegemarannya.

Kami berbincang dengan kasual. Yusuf mengulang penubuhan syarikat. Dia melihat kerja saya. Dia suka apa yang saya bentangkan.

Dia berkata saya boleh meneruskan cara saya. Dia akan pergi ke Amerika dan perlu beritahu dia berapa bajet yang perlu.

‘Sayalah orang itu’

Saya terdiam. Tidak sangka Yusuf berpuas hati. Dia hanya melihat sebentar dan menerimanya. Saya rasa Yusuf seorang yang sibuk dengan kerja-kerja. Mahu melepaskan bisnes kepada orang yang boleh dipercayai. Sayalah orang itu.

Saya menyatakan minat pada dia. Dia ketawa. Saya berpuas hati dapat menyatakan itu. Dia bertaraf dunia. Dihormati di mana sahaja. Albumnya terjual puluhan juta.

Saya tidak bertanya apa-apa. Hanya Yusuf bercakap.

Kami bergurau. Saya mula menyesuaikan diri. Dapat merasakan kesungguhan Yusuf untuk bermesraan.

Saya menghantar Yusuf pulang. Dia berangkat pergi. Saya menghubunginya melalui e-mel. Kami terus berkomunikasi.

Saya melakukan suruhan Yusuf. Mencari ofis di Dubai Media City yang baru ditubuhkan. Terus menempah. Bertanya tentang visa untuk beliau. Banyak yang perlu saya lakukan. Pejabat perlu dibuat pembinaan, dibeli perabot dan hiasan dalaman.

Saya membuat semuanya sendiri. Bertanya kontraktor dan mendapatkan sebut harga. Sambil melagukan, “Morning has Broken”, “Moonshadow”, “Peace Train” dan lain-lain.

Sementara itu beberapa bulan telah berlalu. Saya mendapat kerja baru di Dubai Port, Customs and Free Zones sebagai perancang. Ada kerja rahsia, sebagai tulang belakang Dubai Telecoms atau DuTel. Ketika itu Etisalat hanya satu syarikat telekomunikasi di UAE.

Dubai Port, Customs and Free Zones adalah syarikat terbesar di Dubai. Saya rasa bertuah ditugaskan untuk syarikat baru dan berkaitan telekomunikasi. Saya dikawal oleh ahli pengarah yang terdiri orang-orang tempatan, muda-muda sebaya dengan saya.

Saya dengan bekas bos saya, Dr Ali dari Bahrain ditugaskan sebagai tunjang syarikat. Dr Ali menjadi kemudi dan bekerja tanpa saya. Dia banyak bertemu orang-orang besar untuk mencari sokongan.

Kerja rahsia untuk menubuhkan Dubai Telecom yang bakal menjadi syarikat besar. Buat masa itu, Etisalat masih monopoli. Kami ditugaskan di bangunan baharu di Sheikh Zayed Road. Dengan seorang sekretari.

Kerja saya melibatkan Dubai Free Zones yang 60 peratus melanggan Etisalat. Saya perlu membuat kajian sama ada syarikat-syarikat Free Zones mahu syarikat baru yang moden. Bukan mudah. Saya perlu menemui 4,000 syarikat sekurang-kurangnya. Selain menemui Dubai Port dan Customs.

Semua perlukan strategi yang memuaskan hati. Saya diserahkan jawatan dengan perhatian Lembaga Pengarah. Dr Ali dengan tugasnya dan menyerahkan bulat-bulat kerja saya.

Saya berfikir bagaimana cara untuk menyiap kerja yang diberikan selama dua tahun. Bekerja dengan seorang yang berpengalaman, Dr Ali yang pernah menjadi ketua eksekutif di Dubai Internet City. Dia adalah bos saya yang pertama. Orangnya cukup baik.

Saya mencapai matlamat untuk bekerja dengan independen, bebas. Tidak perlu ada seharian di pejabat. Saya boleh memilih sendiri dengan memberitahu sekretari.

Akhirnya Yusuf memilih saya sebagai pengurus besar kepadanya dan syarikatnya, Mountain of Light. Sebenarnya saya mengharapkan setelah bekerja kuat untuk itu. Dia mempercayai saya.

Saya dapat dua kerja serentak!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


BERKAITAN: Cat Stevens

Lihat Komen