malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Mungkinkah Utusan bergabung dengan Berita Harian?
ADS

Utusan Melayu Berhad tenat bukan berita baru. Bagi kakitangan yang sedang menderita tidak ada ada yang lebih utama selain munculnya satu pelan menyelamat, rescue plan supaya Utusan terus hidup.

Lantas kesengsaraan dan penderitaan selama ini dikurang malah dihapuskan sama sekali.

Harapan kakitangan yang menerima tawaran Utusan untuk berhenti kerja secara sukarela atau VSS pula, ialah wang pampasan yang dijanjikan tetapi masih belum dibayar sepenuhnya dapat dibereskan secepat mungkin.

Sehingga kini tidak ada pelan menyelamat yang diumumkan pengurusan Utusan.

Mungkin pengurusan “enggan”atau tidak dapat menerima “lamaran” pihak yang ingin bertindak sebagai penyelamat kerana masih perlu menjaga kepentingan Umno. Wallahualam.

Parti itu dikatakan sudah melepaskan semua kepentingan dalam Utusan tetapi ramai percaya pengurusan khususnya pengerusi eksekutif Abd Aziz Sheikh Kadir adalah proksi Umno yang menjaga kepentingan parti sehingga sekarang.

Cukup setakat itu, tidak perlu ulangi apa yang sudah saya tulis pada artikel lalu.

Bagi artikel ini ingin saya menampilkan faktor jutawan Syed Mokhtar Albukhary. Beliau antara pemegang saham paling besar dalam Utusan. Syed Mokhtar memegang kepentingan ekuiti 19.72 peratus dalam syarikat berkenaan menerusi Nilam Setar ( M) Sdn BHd.

Tapi Aziz memiliki 30 peratus kepentingan dalam Utusan menerusi “kenderaan ” pelaburannya Opulence Asia Sdn Bhd. Dan Umno pula dikatakan memegang 18.16 peratus dalam syarikat itu.

Bermakna jika Syed Mokhtar mahu melakukan sesuatu, satu persetujuan dengan Aziz (dan Umno?) perlu terjalin. Itu atau Aziz (dan Umno?) melepaskan semua kepentingan dalam Utusan. Namun itu dilihat sebagai sesuatu yang sukar berlaku kerana wujudnya percaturan Umno dalam sifir berkenaan.

Mungkinkah faktor Umno yang menghalang Syed Mokhtar atau lain lain pihak yang berminat daripada tampil dengan pelan menyelamat Utusan masing masing ?

Julai lalu muncul berita bahawa Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan Syed Mokhtar, muncul di Media Prima Bhd dan terus mengumpul saham syarikat media itu.

Memetik laporan The Edge Malaysia Weekly tempoh hari, menurut pemfailan terbaru di Bursa Malaysia, Aurora Mulia memiliki 20.5 peratus saham tertunggak (outstanding) Media Prima.

Dalam erti kata lain Syed Mokhtar berada pada posisi baik untuk menguasai Media Prima.

Dan menurut The Edge lagi, laporan Public Invest Research mengenai Media Prima, menyebut pengurusan Media Prima melihat hubungan dengan Syed Mokhtar sebagai sesuatu yang positif kerana “ ia berpotensi menwujudkan sinergi dan penyambungan (synergy and connections) yang lebih baik”.

Meneliti apa yang diperkatakan itu, The Edge melontar persoalan adakah pencantuman penerbitan produk cetak Utusan dan Media Prima dalam perancangan? Kita tahu Media Prima memiliki Berita Harian bawah New Straits Times Press (M) Bhd atau NSTP.

Selain Berita Harian, satu lagi akhbar (tabloid) bahasa Malaysia milik Media Prima ialah Metro.

The Edge memetik pemerhati industri sebagai berkata penyatuan Utusan dengan Berita Harian dan Kosmo! dengan Metro “sesuatu yang bekemugkinan”.

Apatah lagi dengan cabaran yang dihadapi lanskap media cetak dewasa ini.

Bagaimanapun mereka membuat catatan bahawa penyatuan, pencantuman atau penggabungan demikian mungkin juga bermasalah atau “problematic”, mengambil kira “budaya” berbeza antara kedua dua syarikat.

Di samping itu Utusan dan Berita Harian (NSTP), kedua-duanya mengalami kerugian. Lalu pemerhati industri agak kemusykilan samada pencantuman satu langkah bijak.

Dan seorang pemerhati industri pula dipetik berkata “jika merger antara kedua-dua penerbitan berlaku, pemegang saham minoriti akan rugi”.

Berdasarkan itu semua serta fakta dan keadaan semasa, belum ada cahaya di hujung terowong berhubung masalah Utusan.

Tetapi faktor utama seperti yang dikatakan tadi ialah soal pendirian pengurusan Utusan khususnya Aziz, saham yang dipegang dan tentunya keputusan Umno.

Ini saya ulangi. Ramai termasuk warga Utusan yang sedia ada dan yang bekas kakitangan beranggapan Aziz perlu melepaskan pegangannya dalam syarikat. Begitu juga Umno perlu “membebaskan” Utusan.

Kata mereka itu sahaja cara Utusan boleh diselamatkan. Mungkinkah ada benarnya kata-kata mereka itu ? Sekali lagi wallahualam.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen