Pengiklanan

    Sg Lembing yang duka

    (Dikemaskini )

    Kebakaran bandar Sungai Lembing semalam meningatkan kami betapa bandar yang cantik itu telah dibangunkan dengan tidak cermat.

    Hal sebegitu juga sebenarnya berlaku di banyak kawasan tumpuan pelancong di sekitar bandar Kuantan. Hampir semua tempat tumpuan pelancong di Kuantan berada dalam kelas C dari semua segi, termasuk kebersihan dan kecantikan.

    Telok Cempedak misalnya, kini menjadi sebuah bandar mini yang terlalu sesak. Semua jenis perniagaan mahu disumbat di sana, manakala restoran makanan segera yang popular berlumba-lumba membuka perniagaan.

    Ada yang bertahan dan ada yang akhirnya mengalah dan menutup perniagaan masing-masing.

    Bangunan-bangunan baru dibina sesuka hati sehingga mencemarkan pemandangan di kawasan pusat peranginan Pahang itu.

    Pihak berwajib kelihatan hanya mementingkan keuntungan wang ringgit tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menjadikan kawasan itu lebih menarik.

    Tidak jauh dari situ, ada Pantai Cherating. Kawasan pelancongan pesisir pantai itu juga nampaknya mengalami nasib yang sama. Tidak ada lagi Kampung Cherating yang terkenal ke seluruh dunia satu masa dulu.

    Kini kebanyakan pelancong yang datang adalah warga tempatan. Ia berbeza berbanding suatu masa dulu apabila pelancong dari seluruh dunia berduyun-duyun bertumpu kepada kawasan kampung tradisional itu.

    Cherating kini tidak terjaga.

    Bangunan 'kerajaan' sangat

    Dari sebuah bandar yang terkenal dengan hasil bijih timah, Sungai Lembing kemudiannya menarik ramai pelancong ke sana. Selain bandar ala koboinya, tarikan utama Sungai Lembing tentulah Air Terjun Pelangi dan juga Bukit Panorama.

    Setiap minggu beratus-ratus kereta masuk ke Sungai Lembing untuk menikmati suasana yang menarik di dua tempat berkenaan. Namun begitu, artikel kali ini akan lebih tertumpu kepada bandar Sungai Lembing itu sendiri.

    Ia terdiri daripada beberapa barisan kedai atau bangunan lama. Apabila pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya mula melakukan tugas mereka, bandar itu dikerjakan sehingga bertukar menjadi seperti kawasan pelancongan biasa yang ditadbir oleh majlis perbandaran.

    Bosan dan sangat ‘kerajaan’.

    Sebuah bangunan stesen bas dibangunkan dan ianya langsung tidak mengambil kira hubungannya dengan bangunan lama yang ada disekitar bandar berkenaan.

    Air Tejun Pelangi di Sungai Lembing

    Di tengah-tengah kedai lama tinggalan zaman bijih timah dulu pula dibina sebuah bangunan yang tipikal sepertimana bangunan-bangunan yang direka oleh mereka yang tidak mementingkan alam sekitar.

    Seluruh permandang bandar menjadi rosak hanya kerana bangunan tersebut.

    Sepatutnya satu reka bentuk yang lebih baik dan tidak menggangu persekitaran direka dengan teliti bagi menambah lagi kecantikan bandar Sungai Lembing.

    Terdapat juga hotel dan rumah tumpangan yang baru dibina dikawasan perkampungan di Sungai Lembing. Dan hampir semuanya memusnahkan pesekitaran mereka, ditambah pula dengan corak binaan yang menyakitkan mata.

    Tidak ada kasih sayang di antara alam dan manusia. Semua memikirkan wang ringgit.

    Peniaga yang menyewa di dalam bangunan yang disediakan oleh majlis daerah pula lebih sesuai berjualan di warung-warung kayu kerana mereka tidak mempunyai daya kreatif yang tinggi untuk mengajak pelanggan datang.

    Sebenarnya warung kayu adalah tarikan yang bagus kepada Sungai Lembing. Lihat saja bagaimana Pulau Pinang berjaya mengekalkan beberapa gerai tepi jalannya dan menjadi terkenal ke seluruh dunia.


    Baca Bisnes jual beli takut


    Malang juga apabila hampir semua peniaga di Sungai Lembing hanya mengharapkan kesedapan masakan mereka sebagai daya tarikan tanpa mahu menghias gerai masing-masing dengan lebih baik.

    Dan tentu sekali semua akan mendakwa ‘mi jawa’ merekalah yang paling asli.

    Kepada yang tidak tahu, pekan Sungai Lembing amat terkenal dengan mi jawanya.

    Peniaga dan pihak berwajip sepatutnya mengambil peniaga genarasi baru yang kini menguasai kedai-kedai di Jalan Besar Kuantan sebagai contoh teladan.

    Lihat bagaimana mereka membangunkan kawasan berkenaan tanpa sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.

    Kumpulan yang menjayakan Jalan Besar Kuantan ini seharusnya diberikan sokongan yang kuat oleh semua pihak.

    Jika Sungai Lembing mahu dibangunkan setelah kebakaran baru-baru ini, maka pihak yang bertanggungjawab keatas kerja kerja pemulihan itu hendak datang kepada mereka mereka yang arif mengenai alam dan hubung kait bangunan yang bakal dibina.

    Jangan sesekali semberono dan tergesa-gesa.

    Mungkin kebakaran itu memberi Sungai lembing peluang kedua untuk kembali bersinar. Maka binalah kembali Sungai Lembing dengan rekaan yang betul dan menarik.

    Cari mereka yang benar-benar faham apa itu alam dan apa pula hubungannya dengan persekitaran.

    Jadikan Serambi Teruntum sebagai teladan. Reka bentuk binaan Serambi Teruntum tertinggal 30 tahun ke belakang.

    Semua barang dagang yang ada didalam Serambi Teruntum terdapat di mana saja di Malaya ini. Maka jika sebuah bangunan yang menarik rekaannya dibina, sudah tentu ianya menjadi sebab mengapa pelawat mahu ke sana.

    Hari ini Serambi Teruntum hanya dilawati pekerja jabatan kerajaan untuk bersarapan. Setelah itu bangunan berkenaan sepi seperti hatiku.

    Satu lagi kawasan yang semakin popular adalah Pantai Sepat. Kawasan itu mengingatkan kami kepada Telok Cempedak pada tahun-tahun 1970-an.

    Kini sedikit demi sedikit pembangunan meresap ke pantai tersebut dan sudah nampak kebosanan dan 'kekerajaan' dalam reka bentuk apa saja binaan di sana.

    Semoga Pantai Sepat cepat diselamatkan.

    Sungai Lembing sangat berpotensi untuk menjadi tarikan yang lebih bagus. Sejarahnya telah hampir 100 tahun dan dengan usaha yang lebih cermat Sungai Lembing tentu berupaya menjadi satu destinasi perlancongan yang lebih gah daripada apa yang mereka ada sekarang.

    Majulah sungai lembing untuk negara.


    ABDULLAHJONES ialah pelukis penulis penyair yang sering ke Lubuk Beruk di Sungai Lembing sebelum caj yang yerlalu mahal dikenakan kepada pelawat kawasan itu.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Belanjawan 2020
    • Infografik
      Carta & Graf
    • Kuiz
      Apa anda dapat?
    • Undian
      Suka atau tidak?
    • Laporan langsung
      Laporan langsung kami

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih