malaysiakini logo
story-image
ADS

Hari itu hari seperti biasa di Dubai Internet City saya orang pertama di pejabat. Saya mengikuti bas yang membawa tukang cuci, tukang kebun dan beberapa orang lagi.

Saya seorang pegawai dalam bas itu. Tidak mengapa asal dapat pengangkutan percuma. Saya tidak layak naik bas itu, dengan kedudukan sebagai pegawai, tetapi pemandu pejam mata.

Saya baik dengan semua orang. Sebagai rakyat Malaysia yang pertama bekerja, saya mudah menjadi kawan. Tidak kira siapa.

Saya adalah pegawai yang ke-20 di Dubai Internet City. Kini sudah hampir seratus orang bekerja.

Pukul tujuh lebih sedikit sudah sampai. Bas itu mengambil saya dari rumah yang terakhir dan perjalanan lebih kurang 30 minit.

Dubai Internet City

Ramai tidur sewaktu bas bergerak. Ketika itu tahun 2000. Dubai pertama kali membangun dengan Dubai Internet City. Ia projek pembangunan lapan bulan dengan tiga bangunan.

Kami bekerja keras, terus bekerja dengan penambahan bangunan dan pelbagai projek. Syarikat membesar dan berkembang dengan cepat.

Pagi-pagi di pejabat menyenangkan. Seorang diri sambil membuat kerja yang belum siap, kalau ada, selalu siap cepat.

Saya menghabiskan sebelum orang lain tiba pada pukul lapan. Jam tiga sudah pulang. Begitu untung untuk kerja dengan kerajaan Dubai. Gaji besar tetapi kerja balik awal.

Hari itu saya tiada kerja, termenung sekejap. Duduk di tingkat satu menghadap ke bawah. Ofis saya kubikal. Bilik bos hanya sebuah, yang lain kubikal.

Tingkat bawah adalah terbuka boleh nampak dari atas. Saya duduk melihat tingkat bawah yang kosong. Saya membaca akhbar yang baru tiba.

Tiba-tiba ada seorang masuk. Saya melihat lelaki itu yang seolah hilang punca. Dia melihat sekeliling. Mencari-cari. Tiada sesiapa mahu melayan.

Saya pun turun melalui lif.

Saya jadi terkejut melihat lelaki itu. Benarkah? Saya melihat hanya gambar-gambar.

Mukanya seolah-olah orang yang sama.

“Are you Cat Stevens?”

Lelaki itu tersenyum. Memandang saya. Senyumannya manis.

“I guess so!”

45 minit sebelum jam 8

Saya terperanjat. Tidak tahu apa nak buat. Cat Stevens adalah penyanyi pujaan saya. Lagu-lagu jadi kesukaan ramai, “Father and son” jadi pujaan dan banyak lagi.

Dia sentiasa segar dalam ingatan.

Dia datang pagi-pagi ke pejabat. Saya seorang diri menyambutnya. Satu kebetulan?

Saya lantas menyuruh Cat Steves duduk. Saya beritahu ofis dibuka jam 8, lagi 45 minit.

Tetapi saya boleh melayan beliau, walau bukan tugas saya. Saya waktu itu sebagai pengurus perancang dan strategi bisnes Dubai Internet City.

Cat Stevens faham. Dia datang awal kerana bangun pagi dan tidak tahu apa hendak dibuat. Hotelnya berdekatan sahaja. Lantas saya bertanya apa yang beliau mahu.

Dia diam, memandang saya. Kemudian berkata dia mahu membuka syarikat untuk mengatur perjalanan hidupnya.

Dia memilih Dubai kerana cukai percuma dan banyak tawaran lain kerana masih baru. Dubai menawarkan bebas dari cukai.

Saya tersenyum. Pihak syarikat, Dubai Internet City memang membuat tawaran. Pelbagai inisiatif dalam mencari pelabur luar.

Kami berjaya mendapat Oracle, Sun, Microsoft dan pelbagai syarikat besar di dunia untuk pindah ke Dubai.

Pejabat Oracle Dubai

Microsoft misalnya mengambil satu bangunan untuk memindah operasi dari Seattle. Bangunan enam tingkat dengan 200 orang pekerja.

Pelbagai syarikat mengikuti. Waktu itu Dubai Internet City membina banyak bangunan daripada bangunan asal tiga buah.

Kami telah siap tiga bangunan. Termasuk ibu pejabat Dubai Internet City sebangunan.

“Itu kerja saya!”

Saya terus melontarkan hujah. Memang kerja saya berhubung dengan syarikat-syarikat untuk merancang dan strategi bisnes mereka.

Saya dengan syarikat TV Arab terbesar, MBC membeli satu bangunan di Dubai Media City, berpindah dari London.

Pindah Dubai untuk elak cukai

Itu adalah perpindahan terbesar stesen TV melibatkan sebuah syarikat yang besar. Saya telah bekerja rapi untuk hal itu dan berjaya memindahkan MBC dalam masa tiga bulan.

Saya terus bertanya kalau-kalau dia menyerahkan tugas itu kepada saya. Saya mengharapkan sesuatu. Bekerja secara percuma, untuk Cat Stevens. Saya tidak mengharapkan upah. Gaji saya cukup baik.

Cat Stevens terus bersetuju tanpa persoalan dan pertanyaan. Dia belum kenal saya, tetapi terus bersetuju secara langsung. Dia tidak langsung bertanya peribadi saya, mungkin ada kelemahan. Banyak kelemahan.

Stevens dalam persembahan di Jerman Barat pada 1976, foto William McElligott

Adakah saya layak untuk mengatur segalanya? Saya terfikir juga. Tetapi Tuhan telah mengaturkan.

Dia begitu sibuk dengan kerja dakwah. Tiada masa untuk bisnes. Dia bekerja di seluruh dunia. Dia mahu pindah dari England untuk mengelakkan cukai. Dubai adalah tempat yang sesuai.

Saya teruja. Dia meminta saya membuat perancangan, bajet dan sebagainya. Kalau boleh seminggu dua. Dia akan pergi ke Amerika Syarikat. Mengharapkan saya berbuat apa yang disuruh.

Dia tidak ada masa. Pertama kali datang ke Dubai. Orang yang pertama dia jumpa adalah saya. Sungguh sesuai. Tuhan punya kuasa untuk menemui saya dengan Cat Stevens.

Saya tidak bermimpi langsung untuk bertemunya. Apalagi seorang diri di pejabat Dubai Internet City, syarikat terbesar Dubai waktu itu. Terkenal dengan glamor. Pekerja-pekerja yang profesional.

Kami bertukar nombor telefon dan alamat emel. Dalam setengah jam, Cat Stevens dapat apa dia mahu. Dia meminta izin untuk pergi.

Jam masih belum pukul lapan dan ofis masih kosong. Tiada orang mengenali Cat Stevens. Kami berdua sahaja. Saya menghantar beliau.

Saya masih dalam mimpi bertemu Yusuf Islam atau Cat Stevens!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen